Mahu Kabinet Dirombak Biarkan Bersatu Kalah Di Semenyih Nanti
Antara perkara yang menjadi rungutan ramai tentang kerajaan PH, termasuk daripada ahli-ahli Bersatu sendiri ialah berkaitan prestasi menteri-menteri yang dianggap tidak memuaskan hati.
Mereka secara majoritinya dilihat berprestasi rendah, kerap bercakap atau mengeluarkan kenyataan merapu dan menyombong diri.
Kesombongan tahap gaban juga dilihat daripada reaksi dan pengucapan beberapa mereka, antaranya Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan dan Menteri Pengangkutan.
Disebabkan hutang PTPTN yang dijanji hanya setelah peminjam berpendapatan RM4000 baru perlu membuat bayaran balik, tetapi nampaknya tidak mahu ditunaikan setelah menjadi kerajaan, Mazlee dengan wajah sombongnya berkata, dalam apa keadaan pun hutang memang wajib ditunaikan.
Isunya bukanlah hutang wajib dibayar atau tidak, tetapi di mana janji ia hanya perlu dibayar setelah bergaji RM4000 sebagaimana yang dilaungkan ketika menagih undi dahulu?
Kalau membayar hutang sebagai wajib, apakah menunaikan janji bukan wajib?
Zulkefly Ahmad dilaporkan sedia kalah pilihanraya dan Anthony Loke pula bertegas tidak peduli dengan apa juga rungutan rakyat berhubung keghairahan masing-masing mahu menguatkuasakan larangan merokok dan perlaksanaan serta pertambahan kamera AES di lebuhraya.
Tidakkah bercakap dengan mengatakan sedia kalah kalah pilihanraya dan tidak peduli apa juga rungutan rakyat itu bernada sombong bunyinya?
Soalnya, kenapa begitu sombong nada suara setelah menjadi kerajaan berbanding lembutnya lidah menabur janji ketika berkempen dan memuatkan kata-kata manis dalam Buku Harapan dulu?
Kegagalan mencapai kemenangan di Cameron Highlands, malah kalah dengan undi lebih besar berbanding PRU14 lalu walaupun PH sudah menjadi kerajaan adalah petanda jelas betapa merosotnya sokongan rakyat itu.
Rata-rata penganalisa politik dan penyokong PH tanpa ragu-ragu menyimpulkan kemerosotan sokongan rakyat di Cameron Highlands itu antaranya adalah disebabkan prestasi menteri-menteri yang mengecewakan yang sudah pun menjadi bualan umum di mana-mana saja.
Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu adalah antara yang paling kerap menegur menteri-menteri “menghabiskan beras” ini, bahkan pernah mencadangkan perlunya mereka itu “disekolahkan”.
Dalam tulisan terbarunya, Kadir menggariskan menteri dan timbalan menteri yang tidak mesra, tidak serajin ketika menjadi pembangkang dahulu, gagal memenuhi harapan penyokong sendiri serta memiliki pembantu yang tidak cekap, birokratik dan menjauhi rakyat adalah merupakan masalah yang dihadapi kerajaan PH ketika ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan sudah tiba masanya mereka menjadikan kekalahan di Cameron Highlands sebagai pengajaran atau bersedia berhadapan tunutan yang mahukan mereka disingkirkan.
Kata beliau, semasa berkempen di Cameron Highlands, bebeapa di antara mereka didapati hanya bergaul sesama sendiri di meja VIP dan bukannya bercampur bersama dengan rakyat.
Isyarat bahaya jelas telah diberikan dalam keputusan yang dicapai PH di Cameron Highlands lalu, tetapi nampaknya tidak ada apa-apa yang berubah, termasuk dalam diri Perdana Menteri sendiri yang mengatakan kekalahan itu kerana mainan sentimen kaum dan agama oleh pembangkang.
Kemudiannya, Tun Mahathir juga menolak kajian yang mengatakan sokongan orang Melayu kepada kerajaan telah pun merosot.
Bermakna, kekalahan di Cameron Highlands tidak mampu mengubah apa-apa berhubung kedudukan menteri-menteri yang mengecewakan rakyat yang ada dalam kerajaan sekarang ini.
Tun Mahathir sepertinya mahu terus mempertahankan kedudukan menteri-menteri yang ada sekarang ini berdasarkan responnya terhadap kekalahan PH di Cameron Highlands dan merosotnya sokongan rakyat kepada kerajaan sebagaimana hasil kajian Ilham Center bersama Penang Institute.
Untuk itu, di sinilah mustahaknya pengundi memberikan kekalahan sekali lagi kepada PH selepas Cameron Highlands, kali ini di Semenyih pada 2 Mac nanti di mana kali ini ia adalah kali pertama wakil Bersatu akan bertanding dalam pilihanraya kecil.
Mungkin dengan kalahnya Bersatu, sebuah parti Melayu yang diwar-warkan mahu menjadi ganti kepada UMNO, kecundang pula di suatu kawasan majoriti pengundi Melayu, barulah Tun Mahathir sedar betapa benarnya hakikat bahawa sokongan rakyat kepada kerajaan benar-benar telah jatuh serta merosot.
Kalahnya PH di Cameron Highlands yang ditandingi oleh DAP barangkali belum cukup memberikan kesedaran berbanding kecundang di Semenyih yang ditandingi oleh Bersatu.
Ya, kalahnya Bersatu di Semenyih nanti lebih berpotensi memungkinkan berlakunya rombakan kabinet, selain pastinya juga janji-janji manifesto tidak menunggu dekat-dekat lima tahun baru hendak ditunaikan . (ShahbudinHusin 04/02/2019)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://shahbudindotcom.blogspot.com/2019/02/mahu-kabinet-dirombak-caranya-biarkan.html