Kekal Dalam Kerajaan
𝐊𝐞𝐤𝐚𝐥 𝐃𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐊𝐞𝐫𝐚𝐣𝐚𝐚𝐧
Saya konsisten dengan pendirian ini ; UMNO dan Barisan Nasional tidak perlu keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Biarlah dihabiskan sehingga tamat penggal. Sejarah sudah mengajar kita, dahulu PAS masih kekal dalam Kerajaan Negeri Selangor sehingga habis penggal walaupun secara politik sudah berpisah dengan Pakatan Rakyat. Itu contoh kematangan berpolitik yang membezakan antara emosi politik dan tanggungjawab kuasa.
Matlamat berpolitik ini jelas, iaitu untuk berkuasa. Apabila kuasa sudah diberikan, mengapa perlu dipulangkan semula dengan tangan sendiri? Kuasa bukan sekadar simbol, tetapi alat untuk menjaga kepentingan rakyat, membentuk dasar, dan memastikan suara yang diwakili tidak terpadam dalam pentadbiran negara.
Tambahan pula, Kerajaan Perpaduan ini bukan ditubuhkan sebelum PRU. Ia terbentuk selepas keputusan pilihan raya yang tergantung. Maka, dari awal lagi tidak wujud keterikatan politik rasmi atau perjanjian ideologi mutlak antara BN dan PH. Ia adalah kerjasama bersifat praktikal dan situasi semasa. Dalam keadaan seperti ini, kebijaksanaan membaca realiti politik jauh lebih penting daripada keputusan tergesa-gesa yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Jika BN keluar kerajaan, yang hilang bukan sekadar jawatan. Yang hilang adalah peranan. Hilangnya suara UMNO dalam kementerian, agensi dan institusi penting yang berkait rapat dengan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Politik ini sangat dinamik. Jika UMNO keluar, tidak mustahil BERSATU pula yang masuk menggantikan. Lebih mengejutkan, PAS juga boleh berada dalam kerajaan dan UMNO akhirnya terpinggir sendirian. Dalam politik, apa sahaja boleh berlaku kerana yang diutamakan ialah kepentingan dan keuntungan kuasa.
Dalam masa yang sama, walaupun tidak bersetuju UMNO keluar kerajaan, tetapi saya sangat menggalakkan agar semangat Muafakat Nasional diteruskan tetapi cukup antara UMNO dan PAS sahaja. Tidak perlu melibatkan BERSATU. Malah, pada pandangan saya, BERSATU lebih wajar dibubarkan dan ahlinya kembali ke UMNO atau PAS. Cukuplah satu parti berteraskan bangsa Melayu dan satu lagi berteraskan Islam. Untuk apa terlalu banyak parti yang membawa naratif, sasaran dan tujuan yang hampir sama? Akhirnya yang rugi adalah orang Melayu sendiri kerana berpecah kepada terlalu banyak wadah yang bersaing antara satu sama lain.
Akhirnya, kita kena jujur dengan realiti. Politik tetap politik. Tiada kawan dan lawan yang kekal. Yang ada hanyalah sekutu dan seteru, dan kedua-duanya boleh bertukar peranan mengikut keadaan. Dalam dunia politik sebenar, yang paling penting bukan siapa paling lantang bersuara, tetapi siapa yang paling bijak membaca situasi, menjaga posisi, dan bertahan sehingga ke penghujung penggal demi kepentingan yang lebih besar.
—-
Jamal Rafaie Jakiran
Ketua Penerangan
Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor
PENAFIAN : Pendapat ini bersifat peribadi, tidak bermaksud melawan arus suara Pemuda secara majoriti. Pemuda Cara Kita, Tetap Bersetia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://jamalrafaie.com/2026/01/kekal-dalam-kerajaan-2/