Pengalaman Berharga Menuntut Ilmu Kepimpinan
Walaupun aku dah lebih awal berkecimpus dalam dunia NGO, sejak dari zaman remaja, pernah pegang jawatan sebagai Setiausaha dan juga jadi pekerja, tapi itulah main redah je sebenarnya. Takde ilmu sangat pun macam mana nak 'membawa' persatuan tu dengan baik dan sistematik. Aku follow je jawatankuasa lain punya perancangan dan pentadbiran. Asalkan berjalan dan aktif. Redahkan je. Sejenis menurut je aku ni ha. Begitulah
Tapi bila aku join Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), masyaAllah, banyak sangat yang dah aku belajar dalam persatuan ni dari pelbagai program yang dijalankan. Alhamdulillah. Tak silap percaturan yang aku buat dan dengan izin Allah semuanya terjadi. Aku yakin Allah yang lorongkan langkah aku ni

Terpilih Menyertai MKS 2.0Aku memang sangat aktif menyertai apa sahaja program yang SRR buat. Secara online terutamanya sebab aku kan jauh di Terengganu. Masuk pertandingan yang jawatankuasa Suri Got Talent anjurkan, semua aku dapat tempat sebagai pemenang. Apply jadi jawatankuasa Penyelidikan SRR sebab nak cari pengalaman baru. Join Sidang Redaksi untuk penerbitan Buku Panduan Istimewa Suri Rumah Malaysia
Program besar pertama SRR yang aku all out menyumbang ialah Konvensyen Suri 2025 (Konsuri 2025) pada bulan September. Dan inilah program pertama aku sertai secara fizikal. Nanti aku kongsikan pengalaman sertai program ni di artikel lain
Tanpa aku sangka, pelibatan aktif aku dalam persatuan ni 'membuka mata' Majlis Tertinggi SRR yang nampak 'kebolehan' aku untuk pergi lebih jauh dalam SRR.
Awal bulan Oktober 2025 yang lalu, selepas beberapa minggu selesai Konsuri 2025.
Awak..ada proposal ni. Tawaran untuk awak ialah sebagai peserta dan PIC Unit Media. Awak berminat tak?
Sumpah masa dapat mesej tu, aku terketar-ketar dan terharu. Bergenang air mata bila terima pinangan tersebut. Memang rezeki berharga yang Allah kirimkan buat aku. Dah tentulah aku tak menolak
Satu lagi program besar SRR yang aku dapat sumbangkan idea dan juga air tangan (graphic design). Tak sangka, kali ni pun dapat abadikan hasil design dalam program besar SRR.🥹
Yang paling 'mahal' tu sebab diberikan juga peluang untuk menuntut ilmu kepimpinan. Aku terpilih di antara 30 orang suri lain yang SRR nampak berpotensi untuk memimpin SRR. MasyaAllah. Alhamdulillah
Jadi, artikel kali ni aku nak coretkan kenangan manis dan pengalaman serta ilmu yang aku dapat sepanjang menyertai Modul Kepimpinan Suri 2.0 : Bengkel Pengukuhan Kepimpinan & Organisasi (MKS 2.0)
MKS 2.0 Fasa 1Pagi 9 Disember 2025, berlangsung Program Modul Kepimpinan Suri 2.0 anjuran Persatuan Suri Rumah Rahmah di bawah geran Perantis Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk Fasa 1 secara online
Program untuk Fasa 1 adalah Bengkel Kesihatan Mental & Emosi Pemimpin yang disampaikan oleh 2 orang Panel, Dr. Wardah (Tokoh Kepimpinan Suri) dan Puan Haida (Pegawai Psikologi KKM).
Banyak sangat input berharga yang aku dapat belajar masa ni, walaupun di belakang tabir sebenarnya banyak cabaran juga. As usual, dah tentulah dari anak² dan mak mentuaku yang manjahhh. Hobi depa kan memerap aku. 😂 Tapi syukur alhamdulillah, Allah izinkan semuanya berjalan dengan baik.

MKS 2.0 Fasa 1
Bak kata Dr.Wardah, bukan mudah sebenarnya nak jadi seorang pemimpin. Kena kuat dari segi emosi dan mental. Kena pandai sesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Dan banyak lagi cabarannya
Tapi itu bukanlah halangan untuk seorang suri berbakti kepada komuniti sebagai seorang pemimpin. Lagipun dalam rumahtangga, suri secara tak langsung dah memainkan peranan sebagai 'pemimpin' kepada anak-anak.
Masa sesi dengan Dr. Wardah ni, beliau minta kami semua untuk tulis tentang Refleksi Diri - Apa Tujuan Sertai SRR? Menurut kata Dr. Wardah, apa sahaja yang kita buat mestilah sentiasa bermula dengan adanya TUJUAN

Inilah Refleksi Diri aku.
Kongsi kat sini juga supaya sentiasa boleh refresh bila aku lupa.
Aku juga sangat suka dengan perkongsian yang disampaikan oleh Puan Haida berkenaan kesihatan mental. Bermula dengan statistik tentang masalah kesihatan mental di Malaysia sehingga kata-kata inspirasi buat wanita yang mahu berbakti dalam dunia kepimpinan
Berikut merupakan topik-topik tentang kesihatan mental yang dikongsikan oleh Puan Haida :Pengenalan tentang pemimpin wanitaDefinisi kesihatan mentalCiri-ciri kesihatan mental yang baikSpektrum kesihatan mental2 jenis stress (distress dan eustress)Penjagaan kendiri untuk mengimbangi emosi3 tanda wanita yang sihat mentalKesan sakit mental pada fizikalFaktor yang mempengaruhi kesihatan mental wanitaCiri pemimpin wanita yang sejahtera mentalCabaran unik kepada pemimpin wanitaSelf care untuk pemimpin wanitaKekuatan semulajadi wanitaIntervensi psikologiPenilaian asas kesan emosiTeknik B-R-E-A-T-H-EModel 4D dalam kepimpinanBanyak betul ilmu tentang kesihatan mental yang aku dapat dalam sesi dengan Puan Haida ni. Sangat terkesan dengan kata inspirasi yang beliau kongsikan juga
Wanita yang memimpin TIDAK PERLU SEMPURNA. Cukup dia sedar dirinya BERHARGA, mengurus emosi dengan BIJAK, dan BERANI terus melangkah.

Statistik kesihatan mental di Malaysia

Cara Mengendali Kesihatan Mental Yang Baik
MKS 2.0 Fasa 225 Disember 2025, aku bermusafir ke Negeri Sembilan demi menuntut ilmu kepimpinan dari suri² hebat yang pernah dan sedang menerajui SRR secara bersemuka pula. Tapi aku tak keseorangan sebab semestinya aku usung suami dan anak-anak juga. Tinggalkan sekejap mentua berdua di rumah dan pass baton kat adik beradik suami yang lain pula untuk santuni depa.
Inilah salah satu sebab aku aktif dengan SRR. Bila ada program, aku berpeluang 'keluar' sekejap jauh dari rumah untuk release 'tabung emosi' yang dah sarat dengan macam-macam rasa. Bukan mudah urus orang tua yang tak sihat tau. Walaupun keberatan tapi demi 'tabung emosi' aku dengan Encik CH sentiasa dalam keadaan sejahtera, inilah salah satu caranya. Ambil 'cuti' sekali sekala dan menjauh dari mentua buat seketika
Alhamdulillah. Sebenarnya Allah yang izinkan juga. Terima kasih buat suami tercinta yang sentiasa memahami dan support aku serta sudi bawa diri ini untuk mencari ilmu. ❤️
Perjalanan ke Negeri Sembilan lancar walaupun sampai sedikit lewat dari jangkaan sebab ada kemalangan berlaku di Pahang dan menyebabkan jammed yang agak lama. Mujur aku dah tempah awal bilik hotel di tempat nak berbengkel tu. Tak risau dah pasal penginapan. Keesokannya kami check in bilik lain pula yang ditaja SRR di hotel yang sama

Bergambar dengan banner yang aku design 😊
Hari Pertama26 Disember 2025Banyak sungguh ilmu yang dapat hari ni. Baru 1st day, dah rasa melimpah ruah dah 'tangki' kosong yang dibawa dari Terengganu. 🥰
Program dimulakan dengan kata aluan dari Pengarah Program, Dr. Syahirah Hayati dan diikuti dengan bacaan doa oleh Puan Faeiqa. Lepas tu, Puan Farhana (Presiden SRR) ambil alih untuk sedikit sesi ice breaking sebelum sesi pertama bermula.
Masa ni pun dah best dah. Happening je. Puan Farhana minta semua peserta untuk memperkenalkan diri. Tapi unik sangat cara yang beliau minta kami perkenalkan diri masing-masing. Beliau minta kami pilih sesuatu sebagai simbolik yang menggambarkan diri sendiri dan reason kami pilih benda tu
Aku pilih bunga mawar. Lepas aku buat pilihan ni tetiba terimbas kembali masa remaja waktu belajar nak reka tandatangan. Dulu aku suka lukis mawar di bawah tandatangan nama aku sebagai garisan. Entah la kenapa aku buat macam tu. Sekarang baru aku nampak sebabnya dengan jelas walaupun aku dah tak lukis lagi bunga mawar di dalam tandatangan aku.
Bunga mawar memang kena sangat dengan diri aku sendiri. Nanti aku kongsikan sebab aku memilih bunga mawar sebagai simbolik diri aku di artikel lain ya
SESI PAGI - SESI INSPIRASI

Lepas sesi ice breaking, bengkel diteruskan dengan sesi inspirasi dari mantan Presiden yang dah menerajui SRR selama 2 penggal berturut-turut. Secara peribadi aku sangat kagum dengan kredibiliti Puan Rose Jazimah yang nampak sangat berkarisma
Untuk sesi ni, Puan Rose berkongsi tentang Visi, Misi, Core Business SRR & Business Concept SRR. Tujuannya nak kami semua lebih jelas tentang hala tuju SRR. Selain tu beliau turut berkongsi tentang :- 4 cara kepimpinan berkesan (360° Leadership - Your Ultimate Cheat Sheet)- 6 faktor kejayaan kepimpinan suri rahmah- 6 tanda kepimpinan suri berjaya
Aku suka dengan ayat dari beliau masa sesi perkongsian ni :'Semua yang hadir di sini adalah orang yang terpilih oleh Allah untuk menyumbang sesuatu melalui SRR. Allah tak pernah memilih orang yang salah.' ❤️
SESI PETANG - PERWARISAN & PENGHAYATAN KEPIMPINAN

Sesi petang pula merupakan slot Dr. Wardah dan Puan Nurul Huda. Dua wanita hebat ni merupakan antara orang terawal yang 'melahirkan' SRR. Kini mereka berdua sudah menjadi wanita bekerjaya tapi hati masih terikat dengan SRR. Jadi, slot ni mereka berdua berkongsi pengalaman sepanjang mereka 'membawa' SRR dari tahun 2019
Masa slot ni, aku rasa sangat kagum dengan semangat suri-suri yang menjadi perintis awal penubuhan SRR. Demi nak memperkasa dan memberdaya suri rumah di seluruh Malaysia, mereka nekad untuk mengukuhkan SRR dan melatih pelapis yang bakal memimpin SRR di masa-masa mendatang. Maka terwujudlah program Modul Kepimpinan Suri ini. Aku bersyukur sebab antara yang terpilih untuk menyertai program ni. Alhamdulillah
Selain tu, Dr. Wardah dan Puan Nurul Huda turut berkongsikan tentang :1. Tahap Kepimpinan (Borned with / acquired)2. 11 Leadership Truth3. Common Leadership Challenge
Aku bersama ahli kumpulan. Kami Kumpulan 2.
Di akhir slot, kami ditugaskan untuk mencari maklumat tentang SUMBANGAN DAN CIRI KEPIMPINAN tokoh pemimpin suri di zaman Rasulullah SAW dan zaman kini yang telah ditetapkan untuk setiap kumpulan. Kumpulan 1 : Saidatina Khadijah r.a dan Dr. Fauziah Mohd HassanKumpulan 2 : Saidatina Aisyah r.a dan Tengku Maimun Tuan Mat.Kumpulan 3 : Ummu Salamah dan Dr. Wan Azizah Wan IsmailKumpulan 4 : Saidatina Fatimah r.a dan Pn. Fadzilah Enda SulaimanKumpulan 5 : Nusaybah Kaab dan Datuk Dr. Harlina Harliza SirajDi akhir slot, Dr. Wardah mengingatkan tentang 3 kepentingan tarbiyah dalam menjalani amanah kepimpinan iaitu :- Pengetahuan & insights- Peringatan (tazkiyah)- Halatuju kepimpinan
Gambar selepas habis sesi. Comel je candid. Hihi..
SESI MALAM - PERKONGSIAN PENGURUSAN PROJEK

Untuk sesi malam, bengkel diteruskan dengan slot Perkongsian Pengurusan Projek. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Suzilah dan Puan Farhana. Mereka berdua berkongsi pengalaman sepanjang memegang jawatan yang berperanan dalam menguruskan projek di bawah SRR
Aku sebenarnya masih tak hilang lagi rasa kagum dengan jawatankuasa dan kepimpinan tertinggi SRR yang bagi aku sangat power menganjurkan program/projek berskala besar. Contohnya Konvesyen Suri, Masra dan Modul Kepimpinan Suri. Sebab projek ni melibatkan organisasi luar. Belum lagi yang berskala kecil yang hanya melibatkan dalaman SRR saja. Itu pun dah hebat tau. Terfikir macam mana la depa ni handle
Masa sesi ni baru aku nampak dengan jelas semuanya. Sangat teratur dan strategik pengurusan pihak SRR dalam mengendalikan sebarang projek. Salute
Hari Kedua27 Disember 2025Hari kedua Bengkel Kepimpinan Suri, enjoy sangat! Banyak gelak ketawa sampai rasa krem pipi. 😆
SESI PAGI - TEAM BUILDING

Bergambar dulu sebelum start team building
Semua mak-mak dah macam budak sekolah punya seronok buat team building sambil bersukan. Pakat layan 'inner child' memasing lettew. 🤭
Ada 6 aktiviti yang kami kena buat untuk tengok kerjasama berkumpulan :1. Lari dalam gelung2. Ambil dan bawa bola pingpong guna chopstik3. Ambil air guna mangkuk-bawa guna kain-masukkan air dalam botol4. Pass gelung sambil pegang tangan tanpa putus (Rantaian kasih sayang)5. Perah air dari kain yang dicelup ke dalam botol6. Lumba terompah gergasi

Game berpasukan yang dijalankan.
Dalam sesi ni, ilmu yang aku dapat :- Bersepakat dalam membuat keputusan - Critical thinking nak selesaikan masalah
Kumpulan kami sampai coach gelar 'Kumpulan Kuat Bermesyuarat'. 🤣🤣
Yang paling kelakar, coach stress layan suri² yang ketegaq. Sampai berkali-kali dia cakap, 'Saya yang buat keputusan!' bila suri² duk sorak kumpulan mana yang kena menang masa game perah air dari kain dalam botol. Hahaha. Ampun coach
.jpg)
Bersama coach.
Bakal pemimpin suri yang awesome..insyaAllah!
.jpg)
Kami Kumpulan 3! Kumpulan Kuat Bermesyuarat. Hahahaha
Antara refleksi dari rakan² suri yang sempat aku take note masa sesi perkongsian lepas selesai Team Building :Kak ira - Ingat akan kalah sebab fizikal, rupanya bila ada strategi dan yakin, sebenarnya boleh je buat dan menang.Kak syikin - Kita rancang Allah dah tentukan. Jangan kecewa bila kita tak dapat something yang terbaik. Menerima dengan hati terbuka dan percaya ada yang lebih baik akan datang.Syud - Memimpin dengan fun. Tak perlu terlalu stress.Amy - Perlu selfish kekadang bila buat keputusan untuk selfcare.Fye - Trust. Letakkan kepercayaan kepada ahli kumpulan yang lain untuk tunjukkan potensi dan buat yang terbaik.Teha - Rasa seronok jadi peserta. Selalu jadi jawatankuasa penganjur program, teringin nak buat apa yang peserta buat. Hari ni dapat rasa keseronokan bila dapat jadi peserta.Hawa - Kita rasa kita dah betul tapi rupanya salah. Bila dah tahu kita salah, kita mampu bertindak pantas untuk betulkan semula.Nana - Sebenarnya arahan dah tepat/ada, tapi apabila salah penyampaian akan buat orang tak faham/kurang jelas. Sesetengah dari kita juga memang suka 'melawan' arahan. Memang gitu le manusiaaa. 😂Enjoy betul masa team building ni. Walaupun lepas tu pakat sakit kaki dan badan. Hahahaha. Aku la tu. Malas lagi nak bersenam secara rutin. Rasakan
SESI PETANG - IMAGE & PUBLIC SPEAKING

Best sangat slot dengan Puan Wawa Idris ni. Suka dengan cara dia kendalikan slot. Enjoyable dan happening tapi masih nampak elegant dan professional. ❤️
Yang paling tak percaya tu, umur dia dah nak 50. Nampak muda sangat
Dalam sesi ni, ilmu yang dapat dipelajari :- Teknik bercakap dengan yakin- Penampilan yang menampakkan diri kelihatan presentable

Bersama Puan Wawa Idris
Rasa macam sekejap je slot dengan Puan Wawa walaupun sebenarnya dah 4 jam. Tak puas! Enjoy dengan cara penyampaian dia. Pandai tackle audiens. Sakit pipi asyik gelak je. 😆
Harapnya lain kali SRR boleh buat lagi program khas dengan Puan Wawa. Sumpah best gilerrrr! Suka tagline dia - 'Nak lawa follow Wawa!'
SESI MALAM - BENGKEL MINI (PROJEK KOMUNITI)

Dah malam ni, sesi santai² je. Perkongsian dari Pn. Shareena (Kak Sher) dan Pn. Ila Salida (Kak Ila) cara nak handle projek/program yang berimpak besar dan kecil. Mereka berdua kongsikan tentang Analisa Keutamaan Program dari segi kewajaran dan impak/usaha. Ada cara pengiraannya okay. Bukan main redah je
Baru aku tahu, bukan senang nak plan sesuatu program/projek. Ada rules & guidelines yang kena ikut. Power betul orang kuat SRR yang mampu buat program berimpak besar macam Konsuri dan program² lain contohnya MKS yang macam aku join ni. Salute! 💪🏻

Tinggal kami berempat je buat brainstorming. Sorang dah kena balik, sorang lagi sibuk deal dengan pihak hotel.
Untuk sesi ni kami kena buat tugasan berkumpulan. Bincangkan satu program komuniti yang kami bercadang nak buat. Keesokan hari kena buat pembentangan.
Alhamdulillah, hasil brainstorming berkumpulan yang efektif, kami dapat idea yang pada aku marvellous sangat. Kesimpulannya, di hari ke-2 ni, makin banyak ilmu yang aku dapat tentang perancangan projek/program
Hari Ketiga28 Disember 2025Hari terakhir bengkel. Macam sedih sebab dah nak habis bengkel. Tak puas nak tuntut ilmu. Tapi itulah, kena ikut jadual yang telah direncanakan
SESI PEMBENTANGAN

Kumpulan kami lepas buat pembentangan
Pagi hari terakhir ni setiap kumpulan kena bentangkan proposal yang dah dibincangkan malam sebelumnya. Dahsyat kemain memasing rancang program. Kesan diberdaya menjadi pemimpin suri selama 3 hari 2 malam. Hihi
Kumpulan 1 : Sweetnic - Program Road to Konsuri Kumpulan 2 : Srikandi Dirai - Karnival Kesihatan Sempena Hari WanitaKumpulan 3 : Program Suri Sihat - Kepentingan Pemakanan Sihat
Kumpulan 4 : Bengkel Penulisan - Bengkel Pemberdayaan Suri MenulisKumpulan 5 : Family Fun Run SRR
Gimik last minute kumpulan kami menjadi masa sesi pembetangan ni. Tak sangka tau. Geliga sungguh la otak ahli kumpulan aku yang lain. Kagum betul aku dengan depa. Hebat tahap critical thinking depa. Aku pun terpinga-pinga masa tu. Hahaha
Hasil dari slot ni, pihak Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) meminta setiap kumpulan untuk membuat kertas kerja bagi mendapatkan dana dari mereka. Alhamdulillah, satu berita baik untuk SRR. Moga kami semua dapat buat kertas kerja yang terbaik, insyaAllah
MAJLIS PERASMIAN PENUTUP

Peserta MKS 2.0 bersama Puan Zarinah.
Lepas minum pagi, tibalah masanya untuk slot terakhir iaitu Majlis Perasmian Penutup program MKS 2.0. Majlis dirasmikan oleh Puan Zarinah Mohd Yusoff (Timbalan Pengarah, JPW Negeri Sembilan)
Aku suka dengar Puan Zarinah berucap. Tegas tapi comel. Hihi. Cara dia meraikan kami suri rumah yang berimpian tinggi nak jadi pemimpin suri pun sangat bagus. Takde prejudis. Tak pandang rendah. Terima kasih puan. Women empower women!
Pengalaman Yang BerhargaWalaupun program MKS 2.0 sudah berakhir, tapi itu bukanlah penamat. Itulah permulaan untuk diri ini 'melangkah' mempraktikkan segala yang telah dituntut selama 3 hari 2 malam tempoh hari
Seronok bila dapat sertai program dengan SRR ni. Padat dengan ilmu yang 'mahal'. Pastu bukan setakat dapat sijil, siap ada goodies bag lagi. Meriah pulak tu isi goodies bag. Nanti kita unboxing. Terima kasih pada jawatankuasa MKS 2.0 yang berusaha dapatkan sponsorship. Hebat!☺️
Selain tu, aku juga berpeluang jumpa orang yang bekerjaya hebat tapi 'pandang tinggi' suri rumah. Contohnya macam Puan Wawa Idris dan Puan Zarinah

Aku bersama Puan Zarinah, Puan Farhana, Dr. Syahirah dan sijil. 😄
Dan yang paling awesome tu tentulah sebab dapat kenal lebih dekat dengan rakan sepejuangan yang bukan biasher-biasher semuanya. Diam-diam aku admire kesemua 29 peserta suri yang lain. Depa sangat 'bersinar bagaikan permata'. Merelip merelap. Silauuuu!
Terima kasih SRR atas peluang yang diberikan. Moga Allah reda dan bimbing diri ini sepanjang 'perjuangan' untuk memperkasa diri dan juga suri² lain di sekeliling. InsyaAllah. 💪🏻
Terima kasih juga buat pakwe tercinta Encik CH yang selalu support dan jadi 'tulang belakang' minat isteri 'serba boleh' dia ni. 🤭
Macam Puan Zarinah cakap, 'Suami puan-puan pun kena dapat sijil penghargaan jugak ni sebab 'berkorban' di sebalik tabir.'
Tapi betoi jugak eh. Spesis rare suami² kami rupanya. Nak tengok kami 'terbang tinggi' walaupun suri rumah, depa bagi sokongan padu yang bukan biasher-biasher. Kena buat program khas ni untuk depa gamaknya. 😆
Mampukah Aku Jadi Pemimpin?Mampu ke aku seorang suri rumah untuk jadi 'pemimpin' dan beri manfaat kepada komuniti terutamanya suri rumah yang lain?
InsyaAllah aku akan praktikkan segala ilmu yang dah diperolehi dari Program MKS ni. Terima kasih kepada pemimpin tertinggi SRR yang sudi memilih dan beri peluang keemasan ni pada aku. ❤️🌹
Dan moga Allah sentiasa reda dengan pilihan yang diri ini buat untuk bergiat aktif dalam SRR dan pimpin aku dengan baik supaya tak tersasar dari tujuan. Aaminn
Bisik-bisik :: Tak sangka sejauh ini aku dah melangkah dan diberdaya melalui SRR. Saya bukan suri rumah biasher-biasher tau!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.shahadafauzi.com/2026/01/pengalaman-berharga-menuntut-ilmu-kepimpinan.html