Pesona Alam Dusun Tok Wak Desa Baling Kedah
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Alhamdulillah, semoga anda semua berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Baiklah, kali in aku nak kongsikan satu lagi tempat menarik yang anda boleh kunjungi di daerah Baling, Kedah
Seperti yang aku janjikan sebelum ini, in shaa Allah aku akan kongsikan tempat-tempat menarik yang aku rasakan berbaloi untuk dikunjungi kerana terdapatnya pelbagai tarikan yang sungguh menarik, unik dan sesuai untuk dikunjungi buat semua lapisan masyarakat.
{tocify} $title={KANDUNGAN}
PESONA ALAM DUSUN TOK WAK DESA, BALING, KEDAH
Dusun Tok Wak Desa merupakan sebuah lokasi yang sangat indah, diusahakan sejak tahun 2016 oleh Mohd Akhir Ismail atau lebih mesra dipanggil sebagai Pak Long. Terletak di jalan Ulu Legong, Baling, Dusun Tok Wak Desa ini merupakan sebuah tarikan menarik bagi penggemar aktiviti pelancongan-eko
Sampai sahaja kami ke Dusun Tok Wak Desa ini di bahu jalan, kami perlu meniti jambatan yang menyeberangi Sungai Legong. Kemudiannya, aku terpesona dengan keindahan Dusun Tok Wak Desa ini yang dijaga dengan begitu rapi dan bersih
Ketibaan kami di Dusun Tok Wak Desa disambut mesra oleh pihak pengurusan serta Pak Long sendiri. Kami dihidang menu mee goreng madu lebah kelulut dan kopi madu lebah kelulut. Tiada sebarang gula yang biasa anda lihat di pasar mini diletakkan dalam menu yang kami jamah pada petang tersebut
Rasa kopinya betul-betul kaw, melekat dan manis! Bagi aku seorang yang kurang menggemari kopi, bagi aku kopi ini rasanya unik dan penuh dengan rasa madu + kopi asli. Anda yang datang ke sini wajib cuba kopi ini ya
Untuk anda yang ingin datang dan beriadah bersama keluarga di sini, sebaiknya anda bolehlah membuat tempahan awal kerana khuatir kawasan ini mempunyai acara dan sebagainya. Menariknya di sini, anda boleh menempah untuk pakej-pakej makan tengahhari atau makan malam.
Di Dusun Tok Wak Desa ini juga terdapat aktiviti makan di dalam sungai. Untuk anda yang berminat, seperti biasa tempahan awal diperlukan serta minima adalah untuk 10 orang sahaja
Untuk menu pula, pihak pengurusan akan menyediakan lauk-lauk kampung seperti nasi di dalam buluh, sup kambing herba madu kelulut, gulai daging batang pisang, daging rebus air asam, kangkung goreng belacan, ikan pekasam sungai, sambal belacan dan kopi madu kelulut. (Terliur pula sambil menaip perenggan ini)
Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di sini selain berkelah adalah seperti berkhemah (camping). Untuk yang tidak mempunyai khemah sendiri jangan risau, anda boleh menyewa di sini dengan kadar bayaran yang sangat berpatutan
Untuk kemudahan pula, di sini kemudahan yang tersedia memang lengkap. Antara yang tersedia adalah seperti tandas dan bilik mandi, pondok di tepi sungai dan juga surau.
Menariknya lagi, sekiranya anda mempunyai permintaan atau 'request' contohnya untuk makanan sarapan, aktiviti-aktiviti seperti menelusuri sungai dan sebagainya, pihak pengurusan akan menyediakannya untuk anda
Selain itu, di sini memang banyak pokok buah-buahan yang mana anda boleh petik dan makan hasilnya sendiri. Walaupun begitu, kebanyakan pokok buah-buahan ini adalah bermusim, jadi ada waktu dan tarikh yang anda perlu ikut sekiranya ingin menjamah buah-buahan tempatan di Dusun Tok Wak Desa ini
Baiklah, selepas selesai kami semua makan mee goreng madu kelulut dan kopi madu kelulut, tibalah masa untuk berendam di dalam sungai. Sungainya mengalir agak deras dan aku pada awalnya agak waswas adakah sesuai untuk aku berendam. Adakah dasar sungai ini cetek dan sebagainya? Rupanya tidak!
Mandi manda, bersembang serta menikmati keindahan alam dan sungai merupakan aktiviti yang sangat sesuai digandingkan bersama. Alhamdulillah, sempatlah kami semua berendam beberapa jam dan aktiviti seterusnya adalah BBQ
Makan malam pada malam tersebut adalah BBQ yang telah disediakan oleh pihak pengurusan Dusun Tok Wak Desa ini. Jangan risau, mereka sendiri yang akan panggang dan masak BBQ untuk anda
Sekali sekala ada juga antara kami yang cuba memanggang menu-menu pada malam itu. Oh ya, bercakap pasal menu, menu BBQ pada malam tersebut adalah udang bakar, ayam dan daging yang diperap kemudiannya dibakar sempurna, sosej bakar, tembikai segar, nasi goreng istimewa dan bihun goreng
Alhamdulillah, makan BBQ bersama-sama dan diraikan oleh bunyi-bunyian hutan membuat aku terbuai dan lupa akan bunyi-bunyian di bandar yang agak mengganggu. Ya, aku sebenarnya sudah lama tidak berada di persekitaran sebegini
Selepas makan, kami sempat mendengar cerita-cerita menarik daripada Pak Long sendiri. Melihat kepada perwatakan Pak Long, beliau merupakan seorang yang sangat ramah. Cerita-ceritanya penuh dengan nasihat, komedi serta membuatkan aku sendiri terpegun dengan usaha beliau memajukan kehidupannya. Gaya bahasa beliau bercerita juga unik yang mana membuatkan semua orang menantikan setiap percakapan yang keluar daripada mulut beliau
Alhamdulillah, sempat bergambar beramai-ramai bersama Pak Long dan pekerja-pekerjanya. Sememangnya, Dusun Tok Wak Desa ini menawarkan sesuatu yang sangat diperlukan oleh semua generasi. Berdamai dengan alam, menikmati keindahan alam adalah sesuatu yang perlu dilakukan, tidak kira walaupun cuma sekali dalam setahun
Setidaknya kunjungan ke Dusun Tok Wak Desa ini mengingatkan kita kepada alam sekitar, walaupun hari seharian kita dipenuhi dengan kerja yang bertimbun di hutan batu
Sebelum menutup artikel kali ini, ada dua buah tapak perkelahan dan perkhemahan yang aku nak kongsikan iaitu Sebarau Park Campsite dan Teratak Simpul
SEBARAU CAMPSITE
Sebarau Park Campsite merupakan sebuah lokasi perkhemahan dan perkelahan di Baling yang tidak kurang cantik dan menariknya. Sebuah lokasi dengan sungai yang sangat cantik dan indah.
Pelbagai kemudahan turut tersedia seperti tandas dan bilik air, pondok serta tapak perkhemahan. Ramai yang datang ke sini untuk berkhemah dan berkelah seisi keluarga
LOKASI : Sebarau Park Campsite, Weng Dalam, Baling, KedahHUBUNGI : 011-6488 1464FB : https://www.facebook.com/sebaraupark/
TERATAK SIMPUL
Untuk lokasi kedua adalah Teratak Simpul. Terdapat beberapa pakej yang disediakan seperti pakej perkhemahan, pakej perkelahan, pakej sewaan pondok, BBQ Set dan sebagainya. Air sungai yang mengalir sangat jernih dan yang paling penting pemandangan disini memang sangat cantik
LOKASI : Teratak Simpul, Kampung Weng Dalam, Baling, KedahHUBUNGI : 013-513 8487FB : https://www.facebook.com/people/Teratak-Simpul/100066622615961/
DUSUN TOK WAK DESA SENTOSA
LOKASI : Jalan Ulu Legong, K702, 09100 Baling, Kedah
HUBUNGI : 019-508 8258FACEBOOK : https://www.facebook.com/dusuntokwakdesasentosasince2016/INSTAGRAM : https://www.instagram.com/imohdakhir/TIKTOK : https://www.tiktok.com/@mohdakhir58
#JomMaiKedah #KembaRojak #KedahWhereItAllBegan #EscapeToBeautifulNature #QttGroupTravel #NatureBasedTravelers #KolaGlobalTravel
Artikel ini dihasilkan dari program QTT X KembaRojak FAM TRIP BALING yang berlangsung dari 13 Januari 2024 - 17 Disember 2024 anjuran QTT Group PLT, Global Travel Sdn Bhd (KOLA) & KembaRojak.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aerill.com/2024/01/pesona-alam-dusun-tok-wak-desa-baling.html