Solat Sunat Dan Kelebihannya
Solat sunat atau ‘nawafil’ adalah solat-solat selain daripada yang telah difardhukan. Amalan sunat dilakukan bertujuan menampung (melengkapi) sebarang kekurangan dalam amalan fardhu. Memperbanyakkan solat sunat juga dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, disamping mengharapkan pahala dan Keredhaan-Nya.
.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat adalah solatnya, jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah ia. Dan jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?”Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.” (HR At-Tirmizi r.a.)
Peluang Meraih Ganjaran
Bagi meningkatkan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT di samping meraih ganjaran pahala seberapa banyak yang mungkin, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya mengerjakan berbagai jenis solat sunat dimana baginda sendiri mengamalkannya. Dalam sehari semalam, terdapat lebih lima puluh jenis solat sunat yang boleh diamalkan mengikut waktu-waktu tertentu ataupun bila-bila masa yang sesuai.
Jenis Solat-Solat Sunat
Terdapat berbagai jenis solat sunat yang boleh diamalkan, antaranya;
Sila ‘Klik’ pada Solat-solat sunat yang dikehendaki di bawah;
1. Solat Sunat Wuduk
2. Solat Sunat Tahiyatul Masjid
3. Solat Sunat Rawatib
4. Solat Sunat Awwabin
5. Solat Sunat Tahajjud
6. Solat Sunat Taubat
7. Solat Sunat Hajat
8. Solat Sunat Istikharah
9. Solat Sunat Tasbih
10. Solat Sunat Witir
11. Solat Sunat Isyraq
12. Solat Sunat Dhuha
13. Solat Sunat Khusuf (Gerhana Bulan)
14. Solat Sunat Kusuf (Gerhana Matahari)
15. Solat Sunat Asyura
16. Solat Sunat Nisfu Syaaaban
17. Solat Sunat Tarawih
18. Solat Sunat Witir Tarawih
19. Solat Sunat Tarawih Lapan Rakaat
20. Solat Sunat Lailatul Qadar
21. Solat Sunat Aidil Fitri
22. Solat Sunat Aidil Adha
23. Solat Sunat Zawal
Dua Kategori Solat Sunat
Kesemua solat sunat terbahagi kepada 2 jenis iaitu;
1. Solat-solat sunat Mu’akkad (dituntut atau digalakkan)
2. Solat-solat sunat Ghair Mu’akkad. (tidak dituntut).
Dua Bahagian Solat Sunat
1. Solat-solat sunat Rawatib (solat sunat mengiringi solat fardhu sama ada Qabliyyah atau Ba’diyyah).
2. Solat-solat sunat selain dari Rawatib.
.
Solat Sunat Afdal Di Rumah
Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik solat ialah solat seorang lelaki di rumahnya kecuali yang fardu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW bersabda lagi: “Solat yang dikerjakan oleh seorang lelaki di rumahnya merupakan cahaya. Maka sesiapa yang mengkehendakinya, ia dapat menyinari rumahnya sehingga bercahaya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
.
Solat Sunat Yang Afdal Berjama’ah
Misalnya solat sunat 2 Hari Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha), solat Tarawih dan solat Gerhana Bulan dan Matahari.
.
Waktu Yang Di Larang Solat
1. Selepas solat fardhu Subuh hingga terbit matahari.
2. Mulai terbit matahari hingga matahari naik kadar segalah atau 7 hasta.
3. Waktu ‘Istiwa’ (rembang) iaitu matahari tepat di atas kepala sehingga gelincir matahari kecuali pada hari Juma’at.
4. Selepas solat fardhu Asar hingga terbenam matahari.
5. Waktu cahaya matahari kekuningan di ufuk (syafa’ merah) hingga ia terbenam.
.
Kelebihan Dan Fadilat Solat Sunat
Menurut hadis-hadis Rasulullah SAW, setengah-setengah solat sunat itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri, bukan sahaja dari segi ganjarannya tetapi juga fadhilat, hikmah dan faedahnya.
• Misalnya orang yang mengamalkan solat Tahajjud ditengah malam, ia bakal dikurniakan ketetapan iman, dimurahkan rezeki, di samping dipercayai dan dihormati oleh orang ramai serta doanya dimakbulkan Allah SWT.
• Begitu juga mereka yang mengamalkan solat sunat Dhuha, rezekinya tidak putus dan dimudahkan segala urusannya.
• Orang yang mengerjakan solat Tarawih di Bulan Ramadhan pula diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
• Orang yang mengamalkan solat sunat Isyraq pula dikurniakan pahala seperti pahala Haji dan Umrah. Dan bergitulah pada solat-solat lain, ada keistimewaan yang tersendiri.
.
Hikmah Solat Sunat
• Mendekatkan diri kepada Allah.
• Dapat membentuk peribadi yang mulia.
• Dapat membentuk akhlak diri yang terpuji.
• Menampung kekurangan dalam solat fardu.
• Memperolehi ketenangan diri dan perasaan.
• Menjadikan diri sebagai mukmin yang sejati.
• Menghindarkan diri daripada segala larangan Allah.
• Menjadikan mukmin sentiasa mengingati Allah SWT.
• Sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah.
• Mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan pada Allah.
• Mencegah diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
• Mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan akhirat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://rahmanhatim93.blogspot.com/2020/08/solat-sunat-dan-kelebihannya.html