Shahril Apa Kena Mengena Pru Awal Dengan Kes Mahkamah
malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 12, 2022 12:13 PM
Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menyelar dakwaan parti itu mahu mengadakan pilihan raya umum awal kerana presidennya takut dipenjara
Soal Shahril, apa kaitan PRU15 dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu.
"Bahawa disebabkan BN menang, tiba-tiba hakim akan dipaksa tukar fikiran?
"Kalau itu tuduhannya, sebut sahaja tanpa berselindung kerana itu tuduhan amat berat bukan kepada Zahid tetapi terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara," katanya pada kenyataan media, hari ini.
Gambar fail
Shahril mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dan menyifatkannya tuduhan yang berat.
"Dia takut masuk penjara kalau PRU lambat.
"Talian hayat dia untuk elak masuk penjara hanyalah cuba merebut kuasa untuk memastikan kluster mahkamah dapat diselamatkan daripada hukuman melalui campur tangan kerajaan baharu," kata Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS itu, lapor FMT, semalam.
Sementara itu, Shahril menjelaskan Ahmad Zahid tidak mendesak PRU segera sebaliknya cuma meminta supaya tidak terlalu lewat atas pertimbangan strategik untuk parti dan negara.
"Sebagai presiden Umno dan pengerusi BN, beliau hendak parti menang dan hendak Malaysia mendapat manfaat dari keadaan politik yang lebih stabil tanpa persoalan PRU membayangi. Apapun, soal ini akan dibincangkan oleh top 5 parti.
"Parti lain tak perlu masuk campur tentang perbincangan dalaman Umno," jelasnya.
Tambahnya, sekarang pun perdana menteri daripada Umno dan berdasarkan keputusan majlis kerja tertinggi Umno kalau BN menang, Ismail Sabri Yaakob masih menjadi perdana menteri.
"Kes masih berjalan. Jadi apa kena mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?
"Tambahan lagi, tiada jaminan BN akan menang PRU. Suara yang menantikan PRU dan mandat baru ada dalam kalangan ahli parti dan rakyat. Mereka tiada kes mahkamah," tegas Shahril lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/06/shahril-apa-kena-mengena-pru-awal.html