Sabar Selesaikan Kes Mahkamah Baharu Pru 15 Hassan Karim
agendaily.com06/06/2022
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Karim mahu kes mahkamah melibatkan pemimpin UMNO diselesaikan terlebih dahulu.
Sikap terburu-buru Barisan Nasional (BN) khususnya kumpulan Kluster Mahkamah yang mendesak agar pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan adalah tidak wajar, kata Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata daripada mendesak supaya PRU-15 diadakan adalah lebih baik pemimpin UMNO yang sedang berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah menyelesaikan kes mereka terlebih dahulu kerana rakyat kini sedang berdepan kesusahan.
“Jadi kepada anggota kluster mahkamah ataupun yang bukan kluster mahkamah, mana-mana pihak yang sudah teruja untuk kembali berada di tampuk kuasa dan takhta diminta untuk bersabar sedikit.
“Selesaikan dahulu kes mahkamah masing-masing, boleh juga jika mahu diadakan pemilihan parti politik masing-masing. Kawal inflasi supaya tidak masuk ke tahap hiper inflasi sehingga rakyat biasa boleh ‘mati’,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemimpin lama PKR itu berkata kerajaan perlu mencari jalan menyelesaikan isu rakyat yang lebih utama seperti isu kesihatan dan inflasi daripada memikirkan mengadakan PRU-15 semata-mata.
“Selepas keadaan sesuai dan sejahtera serta Covid-19 tidak lagi menjadi ancaman bahaya terhadap kesihatan awam, maka ketika itu, silalah adakan PRU15 sesegera mungkin,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, pihaknya menyokong pendirian Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu beliau tidak boleh mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal menentukan tarikh PRU-15.
“Jika Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Seri Paduka bagi membubarkan Parlimen ke-14 seberapa segera dalam tahun ini kerana didesak kiri dan kanan, maka ada kemungkinan permohonan itu ditolak.
“Aiblah bagi seorang Perdana Menteri jika Seri Paduka menolak nasihatnya seperti yang pernah berlaku ke atas Perdana Menteri sebelum ini. Itu mungkin sebab mengapa Ismail Sabri perlu berhati-hati supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’,” katanya.
Jelasnya, sistem negara berlandaskan Raja Berperlembagaan dan Agong mempunyai kuasa untuk menolak nasihat PM untuk membubarkan Parlimen.
“Malaysia bukan negara kuasa rakyat sepenuhnya, sebaliknya sistem Raja Berperlembagaan masih berfungsi.
“Seri Paduka boleh menolak nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(b) iaitu menggunakaan budi bicara untuk tidak memberi izin terhadap permohonan pembubaran Parlimen terlalu awal dari tarikh yang wajar dan sepatutnya,” jelasnya.
Terdahulu semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, pemimpin utama BN sekali lagi memberi isyarat secara tidak langsung yang mahu Ismail Sabri menyegerakan PRU-15 diadakan.
Ismail Sabri pula membalas tidak akan melambatkan PRU-15 walau sesaat apabila tiba masanya nanti
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/06/sabar-selesaikan-kes-mahkamah-baharu.html