Sesuaikan Diri Lepas Kahwin Dengan 10 Perkara Baru Ini Paling Penting Belajarlah Terima Pasangan Seadanya
Sesuaikan Diri Lepas Kahwin Dengan 10 Perkara Baru Ini! Paling Penting Belajarlah Terima Pasangan Seadanya.. Kehidupan ketika bercinta tentunya tidak sama dengan alam perkahwinan. Ini kerana sebaik sahaja bergelar suami isteri pastinya banyak perkara baharu tentang pasangan yang bakal anda ketahui.
Ada ketikanya membuatkan anda rasa sukar untuk menyesuaikan diri kerana masing-masing belum mengenali sedalam-dalamnya. Untuk mengelakkan rasa kekok yang mungkin boleh menimbulkan salah faham, penting untuk anda berdua ketahui 10 benda baharu ini.
1. Pasangan manusia tak sempurna dan ada kekurangan
Selalunya ketika zaman bercinta memang sukar untuk anda ketahui sifat buruk pasangan. Mesti masing-masing cuba sembunyikan daripada pengetahuan pasangan. Apabila sudah berkahwin, baru nampak kelemahan masing-masing kerana setiap manusia dilahirkan tak sempurna.
Jadi jangan sesekali anda mengharapkan kesempurnaan daripada pasangan. Belajarlah untuk menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada pasangan dengan sama-sama membaikinya ke arah yang lebih baik.
2. Kena ambil masa untuk fahami dan kenali pasangan
Walaupun anda mengenali pasangan sejak sekian lama sebelum memutuskan untuk berkahwin, ini tidak bermakna anda mahupun pasangan mengenali diri masing-masing dengan sedalam-dalamnya. Apabila sudah tinggal sebumbung ambillah masa untuk lebih mengenali dan memahami diri pasangan. Dengan cara itu anda dan pasangan boleh bertoleransi dalam banyak perkara.
3. Jangan ingat pasangan boleh membaca fikiran anda
Jangan sesekali mengharapkan pasangan boleh membaca apa yang anda rasa atau fikirkan. Mungkin anda boleh tapi pasangan anda mungkin tidak dapat meneka apa yang terlintas di minda, mahupun apa yang anda suka atau tidak suka. Oleh itu untuk membuatkan rumah tangga harmoni, komunikasi dua hala penting agar anda dan pasangan faham apa yang masing-masing inginkan.
4. Masalah duit boleh jadi isu utama
Tidak dinafikan bulan pertama selepas kenduri ramai pasangan yang kekeringan kerana banyak duit telah dihabiskan untuk majlis perkahwinan. Lagipun nak pinjam daripada orang tua mahupun keluarga, gerenti anda dan pasangan segan. Jadi adalah lebih baik anda dan pasangan membuat tabung kewangan lebih awal iaitu sebelum berkahwin sebagai persediaan untuk waktu-waktu kecemasan seperti ini.
Apatah lagi selepas berkahwin, banyak tanggungjawab yang anda berdua harus pikul bersama. Jika tidak bijak mengatur tabungan kewangan ada kemungkinan boleh membawa pada pergaduhan. Oleh itu, carilah penyelesaian agar kewangan anda berdua kembali stabil.
5. Luahkan apa yang anda rasa
Hidup berdua memerlukan anda berkongsi rasa. Jadi apabila ada sesuatu perkara penting yang ingin anda katakan, sebaiknya luah dan beritahu pasangan dengan cara yang baik dan berhemah.
Jangan sesekali memendam rasa atau memberitahu pasangan dalam keadaan yang tidak bersedia atau dalam keadaan marah. Perbincangan penting agar anda berdua dapat mencari penyelesaian untuk perkara tersebut.
6. Belajarlah untuk menjadi satu pasukan
Alam rumah tangga memerlukan satu pasukan yang mantap agar hubungan yang dibina kekal bahagia. Dalam satu pasukan anda berdua hendaklah saling bantu-membantu dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Misalnya dalam perihal rumah tangga, suami tidak boleh membebankan isteri seorang diri menguruskan segala perkara. Urusan rumah tangga haruslah dilakukan bersama agar ia memberi kemudahan dan kesenangan dalam kedua-dua belah pihak. Kerjasama ini akan menjadikan rumah tangga anda berdua lebih harmoni.
7. Banyakkan bersabar dan muhasabah diri
Kunci dalam perkahwinan memerlukan anda untuk banyak bermuhasabah diri dan bertolak-ansur. Dalam perkahwinan tidak ada istilah menang atau kalah. Tingkatkan kesabaran dalam apa jua hal yang anda dan pasangan hadapi. Jika sedang bergaduh, anda berdua tidak perlu lawan bercakap kerana bimbang boleh merosakkan hubungan dan membawa pada pergaduhan yang lebih parah.
Bukan itu sahaja, elakkan daripada mencabar pasangan lebih-lebih lagi suami kerana lelaki ada egonya yang tersendiri. Bimbang jika dicabar boleh membawa keburukan dalam hubungan rumah tangga. Jadi berusahalah untuk menjadi pasangan yang terbaik dan bersikap positif.
8. Belajar untuk memohon maaf
Tak dinafikan kalau dah hidup berdua mesti ada salah dan silapnya. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Apabila menjadi suami isteri, anda hendaklah belajar untuk memohon maaf jika melakukan kesalahan, selain memaafkan kesalahan pasangan.
Terapkan dalam diri untuk saling bermaafan agar segala apa yang anda berdua fikirkan tidak berpanjangan dan memendam rasa kerana ia boleh menjadi racun dalam rumah tangga. Lepaskan segala ego yang ada dalam diri anda agar anda menjadi seorang yang pemaaf.
9. Banyakkan bertanya
Selepas berkahwin memang banyak tanggungjawab yang harus anda berdua fikirkan. Anda berdua juga akan hadapi segala macam benda dan hidup sendiri tanpa bantuan ibu bapa. Kadang-kala tanggungjawab yang banyak ini boleh menjadi punca berlakunya perbalahan. Untuk melengkapkan ilmu tentang alam perkahwinan, jangan malu untuk bertanya lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kerana mereka lebih banyak makan garam.
Malah anda dan pasangan juga harus banyak membaca tentang ilmu rumah tangga bagi memantapkan lagi pengetahuan dan mengelakkan salah faham. Anda berdua juga boleh bertanyakan kepada kawan-kawan tentang pengalaman mereka dan cara mereka mengendalikan masalah. Sekurang-kurangnya perkongsian ini akan memberi anda pengalaman berharga apabila berdepan dengan sesuatu perkara.
10. Apa yang diimpikan sebelum berkahwin tak semestinya tercapai
Pastinya sebelum berkahwin anda dan pasangan impikan pelbagai perkara setelah berumah tangga nanti. Ketahuilah bahawa tidak semestinya apa yang anda berdua rancang dan impikan itu akan menjadi sebagaimana yang anda inginkan.
Ada ketikanya perancangan itu menjadi sukar untuk dicapai atas sebab-sebab tertentu atau setelah anda mengetahui karakter diri pasangan masing-masing. Oleh itu jangan keterlaluan mengharapkan yang indah-indah sahaja. Belajarnya untuk memberi dan menerima dengan seadanya.
Sumber: Pesona Pengantin
The post Sesuaikan Diri Lepas Kahwin Dengan 10 Perkara Baru Ini! Paling Penting Belajarlah Terima Pasangan Seadanya.. appeared first on .
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.apakes.com/sesuaikan-diri-lepas-kahwin-dengan-10-perkara-baru-ini-paling-penting-belajarlah-terima-pasangan-seadanya/