Ph Umum Kerjasama Di Johor Ruu Anti Lompat Parti Diteruskan
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat semalam membuat keputusan dalam beberapa perkara terkait strategi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan berkenaan meneruskan Rang Undang Undang Akta Anti Lompat Parti dalam sidang Parlimen sesi Mac 2022.
Mengenai PRN, Majlis Presiden akan menyediakan siri tawaran khusus buat bangsa Johor di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ bagi dihazam oleh rakyat menjelang hari mengundi.
“Hal itu merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.
“Majlis Presiden juga memutuskan akan mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” kata mereka.
Pada masa sama, Majlis Presiden turut khuatir berkenaan jangkitan Covid 19 varian Omicron yang mencanak sehingga memungkinkan penilaian semula, apakah wajar PRN diteruskan pada bulan Mac atau ditangguhkan sementara.
“Majlis Presiden memandang serius gelombang Covid-19 dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam. Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka Kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.
“Sekiranya Kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan. Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana telah terbukti gagal sebelum ini,” kata kenyataan itu.
PH juga dalam kenyataan sama memberi amaran agar Kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron yang rata-rata bergejala ringan.
Selain itu, kenyataan itu juga turut mengambil maklum siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bersama Ahli-ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam.
“RUU Anti Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat PH dan Kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan dan PH.
“Perkara 2.4 menyatakan RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022.
“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MoU tersebut,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/34046