Muhyiddin Sudah Boleh Berkemas Awal Kecuali
Mengikuti perbahasan Belanjawan 2021 setakat ini, masih tidak ternampak ada ruang untuk ia diluluskan dengan mudah.
Baik melalui perbahasan oleh Anwar Ibrahim, Najib Razak dan lain-lain pemimpin sama ada daripada PH atau BN, rata-ratanya meletakkan syarat sebelum sedia memberi sokongan.
Sehingga ini, sekurang-kurangnya ada empat halangan atau tuntutan yang menyukarkan Belanjawan 2021 daripada diluluskan – pengeluaran RM10 ribu daripada Akaun 1 KWSP, lanjutan moratorium wajib selama enam bulan lagi, peruntukan propaganda Jasa sebanyak RM85.5 juga dan dana RM8.5 juta untuk NGO Penggerak Komuniti Negara.
Anwar selaku Ketua Pembangkang ketika berucap membahaskan Belanjawan 2021 berkata, jika tiada pindaan terhadap empat perkara tersebut, blok PH tidak akan menyokongnya.
Pemimpin PH daripada DAP dan Amanah juga melontarkan syarat yang sama, jika tidak, mereka turut tidak memberi sokongan.
Bagi BN pula, khususnya melalui ucapan Najib selaku Pengerusi BNBBC, penekanan khusus mereka adalah berkaitan kebenaran pengeluaran RM10 ribu KWSP dan lanjutan moratorium yang disifatkan dapat memberi kelegaan kepada rakyat meringankan beban kehidupan di musim Covid19 ini.
Tidak saja dalam ucapannya Najib menyatakan sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 adalah bersyarat, malah dalam posting di laman sosial sehingga hari ini juga bekas Perdana Menteri itu terus berkeras agar dua tuntutan itu dipenuhi jika kerajaan mahukan sokongan mereka.
Dengan sentimen penolakan di Parlimen itu, tanpa ragu-ragu kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan adalah sekitar 60 peratus.
Tambah memburukkan keadaan, sementara Muhyiddin Yassin terus sejuk dan membisu, pihak KWSP, Bank Negara dan Kementerian Kewangan sendiri nampaknya kekal keberatan untuk bertolak ansur.
CEO KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, beliau lebih rela dibenci daripada menunaikan pengeluaran wang daripada Akaun 1 yang diminta itu.
Alasan beliau, KWSP mahu melindungi masa depan pencarum selepas mereka bersara nanti.
Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus pula menjelaskan, melanjutkan lagi moratorium selama enam bulan hanya akan merencatkan ekonomi negara.
Jelasnya, moratorium menyeluruh adalah tidak baik untuk ekonomi kerana ia hanya memberi lebihan wang jangka pendek kepada rakyat.
Melalui pendirian KWSP dan Bank Negara itu, ia menjadikan penolakan di pihak rakyat terhadap Belanjawan 2021 adalah antara 75 hingga 80 peratus.
Ini kerana, mereka yang hilang pendapatan, diberhentikan kerja dan tiada sumber pendapatan begitu memerlukan RM10 ribu untuk menyelesaikan urusan kehidupan atau bagi memulakan perniagaan baru secara kecil-kecilan.
Namun, dalam kenyataan terbarunya hari ini, KWSP mengumumkan kebenaran untuk kira-kira 2 juta pencarum yang hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan mengeluarkan wang daripada Akaun 1 tertakluk kepada baki simpanan masing-masing.
Bagi mereka yang mempunyai baki tidak lebih RM90 ribu dibenar mengeluarkan sehingga RM9000, sementara yang ada simpanan lebih daripada itu dibolehkan mengeluar sehingga RM60 ribu.
Di sebalik KWSP mula berlembut, walaupun kebenaran yang diberi tidak menyeluruh iaitu hanya untuk 2 juta pencarum berbanding kira-kira 4.7 juta pencarum di bawah Skim I-Lestari melalui tuntutan asal, tetapi Bank Negara dan Kementerian Kewangan belum lagi mengubah pendirian mereka berkaitan moratorium.
Bermakna, tuntutan yang diminta oleh PH dan BN belum lagi dipenuhi sepenuhnya.
Begitu pun, dalam cubaan untuk meraih simpati, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, gaji kakitangan awam dan petugas barisan hadapan Covid19 tidak akan mampu dibayar oleh kerajaan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.
Sementara ramai yang menyifatkan Tengku Zafrul cuba melakukan ugutan dengan hujah dangkalnya tersebut, kemudian hampir semua suara menolak kenyataan beliau itu.
Kata mereka, tiada kaitan penolakan
Belanjawan 2021 dengan bayaran gaji kakitangan awam kerana selepas belanjawan ditolak dan kerajaan yang ada jatuh, kerajaan yang baru terbentuk nanti boleh membentangkan semula atau mengemukakan usul Bajet Interim khusus untuk pembayaran gaji saja.
Dengan Bajet Interim itu, bayaran gaji kakitangan awam, pembelian vaksin Covid19 dan pemberian tunai kepada rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.
Yang penting, apabila Belanjawan 2021 ditolak kerana tuntutan yang diminta tidak dipenuhi, kerajaan PN dan Muhyiddin yang tidak peka terhadap keperluan rakyat akan jatuh dengan sendirinya.
Meskipun Muhyiddin masih ada ruang untuk memohon kepada Agong untuk pembubaran Parlimen selepas belanjawan ditolak, besar kemungkinan permintaan itu tidak ditunaikan kerana kes Covid19 yang masih meninggi setiap hari.
Jalan selamat ialah Agong harus membenarkan pembentukan kerajaan baru untuk menyelesaikan kekusutan politik yang melanda negara.
Oleh kerana, baik PH atau BN, asas mereka menolak Belanjawan 2021 adalah kerana kerajaan tidak sedia membenarkan pengeluaran KWSP, enggan melanjutkan moratorium enam bulan lagi dan berkaitan dana untuk Jasa dan NGO Penggerak Komuniti Negara, belanjawan baru yang akan dibentangkan selepas itu tentu saja akan mengambil kira perkara-perkara tersebut.
Dengan yang demikian, kerajaan baru yang terbentuk selepas itu adalah sebuah kerajaan yang disukai dan diterima rakyat kerana mengambil kira keperluan sebenar mereka.
Sentimen setakat ini, baik di Parlimen atau di kalangan rakyat, memperlihatkan Muhyiddin mungkin terpaksa berkemas awal daripada pejabatnya.
Satu-satunya cara untuk mengelakkan Muhyiddin berkemas awal ialah memenuhi semua tuntutan PH, BN dan blok pembangkang dalam Belanjawan 2021 yang mana ia juga bererti beliau harus mengalah untuk memberi suatu kemenangan buat Anwar dan Najib dalam perjuangan mereka demi rakyat. (Shahbudindotcom 16/11/2020)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/11/muhyiddin-sudah-boleh-berkemas-awal.html