Hari Pertama Inques Zara
Hari pertama inkues Zara Qairina, saksi yang dipanggil adalah akar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu.
Saya terbaca beberapa petikan-petikan laporan berita tentang keterangan beliau di mahkamah. Antaranya:-
“…ukuran dari lantai ke palang besi paling atas pada tembok konkrit tingkat tiga adalah 118 sentimeter (cm), manakala ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm.“Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi itu ialah 36 cm, yang mana lebih tiga perempat daripada ketinggiannya dan berada di atas pusat gravity..”
“Berdasarkan ukuran itu, tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri berhampiran penghadang konkrit,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis setebal lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.”
Mengulas mengenai laporan perubatan, beliau berkata pemeriksaan menunjukkan si mati mengalami kecederaan parah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi, termasuk patah berderai tulang tumit kiri (kalkaneum), patah pada tulang tibia kiri dan kanan, terkehel buku lali kiri, patah tulang belakang lumbar kedua hingga keempat, selain hematoma otot psoas dan tisu pelvis.
“Si mati dipercayai mendarat terlebih dahulu pada kaki kiri, diikuti kaki kanan sebelum jatuh ke belakang pada bahagian kiri tubuh yang menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan, lengan bawah, siku kiri serta belakang kepala.
“Hentakan pada kepala pula menyebabkan pendarahan subdural dan subaraknoid yang membawa kepada bengkak otak dan sawan,” katanya.
Sambil saya baca ini, macam-macam dalam kepala saya dan sudah tentu bayangan kita dan tafsiran kita ini tidak boleh seperti dalam drama-drama atau siri-siri CSI atau siri siasatan yang lain. Ini realiti. Bukan fiksyen yang diada-adakan.
Sudah tentu macam-macam pandangan, anggapan atau spekulasi. Kita nak tahu kebenaran dan kita mahu Zara dapat keadilan dan bagaimana dia boleh jatuh? Apa situasinya sehingga dia boleh jatuh? aya cukup tak gemar kalau ada tulisan yang mengambil peluang untuk menuduh arwah Zara mengambil nyawanya sendiri. Spekulasi yang tidak disokong bukti menyeluruh begini akan menyebabkan fitnah pada arwah.
Macam-macam kebarangkalian. Jangan mudah mengadili dengan tuduhan berat.
Bila saya terbaca kecederaan retak di kaki dan keterangan yang mangsa mendarat atas kakinya, saya teringat jenis kecederaan beberapa laporan berita tentang suspek ingin melarikan diri dari pihak berkuasa dan terus terjun sehingga patah riuk.
Kes tahun Nov 2020, seorang lelaki patah kaki kanan dan kiri serta tulang belakang kerana panik larikan diri dari polis. Kes tahun 2019, seorang lelaki warga asing patah kaki terjun dari bangunan melarikan diri dari polis. Link laporan saya sediakan di ruang komen.
Bila suspek-suspek ini panik, mereka lari dan ingin menyelamatkan diri. Tidak terpikir kesan dan/atau impak sehingga mereka memutuskan untuk bertindak. Kalau kes-kes begini jelas kerana keadaan yang mendesak.
Kecederaan tubuh badan ini memberikan gambaran bagaimana mangsa jatuh tetapi bukti-bukti lain seperti saksi mata boleh memberikan gambaran sebenar kejadian. Sebab itu segala bukti-bukti ini saling melengkapi.
Prosiding masih panjang. Dilaporkan oleh Buletin TV3 pada 11/9/2025 Koroner, pihak berkepentingan dan saksi-saksi yang terlibat akan melawat lokasi kejadian bagi pengecaman lokasi tempat Zara ditemui.
Semoganya berjalan dengan lancar di atas kebenaran dan keadilan.
Oleh Nor Zabetha
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/09/hari-pertama-inques-zara.html