Ain Angkat Tong Gas Demi Rezeki
Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
WALAUPUN terpaksa mengangkat tong gas yang berat, ia tidak menjadi masalah buat Kamarul Ain Kamaruzaman demi mencari rezeki. – UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NORSEREMBAN: Pekerjaan sebagai penjual gas petroleum cecair (LPG) biasanya dilakukan golongan lelaki kerana memerlukan lebih kudrat dan tenaga untuk mengangkat tong gas yang berat.
Namun itu tidak menjadi penghalang buat wanita berusia 25 tahun, Kamarul Ain Kamaruzaman yang menceburi pekerjaan tersebut sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, pekerjaan itu bukanlah sesuatu yang asing kerana telah lama diusahakan keluarganya.
“Semuanya bermula selepas ayah dan ibu tidak dapat mencari pemandu lori untuk melakukan kerja-kerja penghantaran. Saya buat keputusan membantu dengan mengambil lesen memandu vokasional (GDL).
“Selain mengangkat tong gas, saya juga memandu lori sendiri, seronok sebenarnya, banyak pemandu lori selalu beri sokongan bila mereka nampak saya memandu,” katanya ketika ditemui Utusan
Malaysia di Taman Tuanku Jaafar dekat sini baru-baru ini.
Kamarul Ain berkata, kerjayanya sebagai penjual tong gas memerlukan dia mengangkat sebanyak 100 hingga 150 tong gas setiap hari.
“Ada cara yang betul untuk mengangkat barang yang berat seperti tong gas tersebut. Kalau tidak betul cara mengangkatnya memang boleh buat badan kita sakit.
“Saya sendiri masa mula-mula buat dahulu dua tiga bulan sakit badan. Apabila buat dengan langkah yang betul memang tiada masalah,” katanya.
Berkongsi kisah pengalaman sepanjang bekerja, Kamarul Ain memberitahu, pengalaman terpaksa bergelut dengan pencuri tong gas paling tidak boleh dilupakannya sehingga dia juga mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Ketika bergelut, pencuri itu melepaskan tong gas lalu terkena atas kaki saya. Dua bulan juga baru kaki saya sembuh. Selain itu ada juga orang yang telah buat tempahan tetapi bila sampai orang yang menempah tersebut tiada,” katanya. UTUSAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/03/ain-angkat-tong-gas-demi-rezeki.html