48 Tempat Menarik Di Bali Panduan Bercuti Ke Pulau Cinta


Inginkan percutian yang sempurna? Rasanya tak perlu fikir panjang lagi, Bali adalah jawapan yang anda cari. Pulau eksotik ini menawarkan banyak tarikan menarik yang terdiri daripada pantai-pantai yang indah, kuil-kuil kuno dengan seni bina yang begitu unik dan banyak lagi.
Boleh dikatakan hampir kesemua destinasi di Bali ini menyajikan pemandangan yang memukau jiwa sehinggakan ia dianggap sebagai syurga dunia.
Sumber: Dimitri Dim Lokasinya yang begitu dekat dengan Malaysia janganlah dilepaskan begitu sahaja. Anda tak perlu mengeluarkan belanja yang banyak sepertimana ke negara indah yang lain. Apa lagi yang anda tunggukan kalau artis Hollywood pun ramai yang idamkan percutian ke sini?
Mungkin ada yang merasakan Bali sebagai destinasi yang terlalu padat dengan pelancong, tapi sebenarnya banyak juga lokasi yang tersorok dan dapat anda nikmati dengan privasi bersama keluarga.
Nak tahu di mana? Jom baca kupasan-kupasan tempat menarik di Bali ini. Hati-hati, kemungkinan besar anda tidak mahu pulang bila dah mengenali dengan lebih dekat pulau indah ini.
Anda Mungkin Suka:
Destinasi Menarik Di Bandung Tempat Menarik Di Surabaya Destinasi Terbaik Di Jakarta Senarai Tempat Menarik Di Indonesia 01. Pantai Suluban Sumber: Velvet d’Amour Official Fan Page Pantai Suluban adalah sebuah pantai yang agak tenang kalau dibezakan dengan pantai yang lain kerana kedudukannya yang agak mencabar untuk diakses.
Untuk ke pantai ini, anda perlu menaiki tangga batu yang agak curam, kalau anda bawa anak-anak kecil, pastikan keselamatan mereka ketika di sini.
Waktu yang paling best untuk datang ke pantai ini adalah sekitar pukul 12.00pm kerana pada waktu ini air agak surut untuk anda bermandi-manda.
Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini kalau anda berani adalah meluncur ombak kerana ombak di sini kuat dan tidak mudah pecah. Selain itu, anda juga boleh berenang di dalam kolam kecil yang ada di sekitar air laut. Yang syoknya lagi, dalam kolam-kolam kecil ni juga anda dapat melihat ikan berenang.
Alamat: Jalan Pantai Suluban, Pecatu
02. Yellow Bridge Di Nusa Ceningan Sumber: Marta Brrgn Nama lain bagi Yellow Bridge yang terletak di Nusa Ceningan ini adalah Jambatan Cinta kerana jambatan ini sering dijadikan lokasi gambar pra-perkahwinan.
Mesti ada sebabkan kenapa jambatan ini menjadi pilihan ramai pasangan untuk bergambar?
Kalau anda nak tahu, jambatan yang berkepanjangan 140 meter ini sangat fotogenik kerana berlatar belakangkan panorama indah lautan dan langit yang kebiruan. Sekiranya anda ingin datang ke sini, waktu yang terbaik adalah pada waktu matahari naik atau tenggelam, pemandangannya memang wow!
Alamat: Jungutbatu, Nusapenida, Klungkung Regency, Bali 80771
03. Air Terjun Cepung, Bangli Sumber: Ketut Kirana Bali Driver Ini lagi satu tempat yang agak susah nak sampai tapi kalau dah berjaya, memang susah nak dilupakan keindahan air terjunnya!
Air Terjun Cepung yang berketinggian 15 meter ini kalau sekali dipandang seperti jatuh dari langit kerana silauan cahaya matahari, disebabkan ini jugalah air terjun ini turut dipanggil sebagai air terjun dari langit. Macam best je nak wefie dengan keluarga dekat sini kan?
Alamat: Tukad Cepung Waterfall, Jl. Tembuku, Dusun Penida Kelod, Tembuku, Bangli, Tembuku, Kabupaten Bangli, Bali 80671
04. Uluwatu Surf Villas Sumber: Uluwatu Surf Villas Pemandangan? 10/10. Makanan? 10/10. Kemudahan? 10/10. Semuanya tip-top di Uluwatu Surf Villas. Bayangkanlah, keluar sahaja dari vila peribadi anda, anda dapat menikmati pemandangan air laut dari tebing, kata orang, pemandangan di sini adalah ‘million dollar view,’ siapa tak nak percutian yang sempurna seperti ini.
Di laut ini juga, terkenal dengan aktiviti lasak meluncur ombaknya. Kalau anda sekeluarga inginkan aktiviti yang lebih santai, jangan lepaskan peluang untuk melakukan senaman yoga yang diadakan setiap pagi di kawasan terbuka dengan panorama indah tak terkata terhidang di depan mata.
Alamat: Uluwatu Surf Villas, Jalan Pantai Suluban, Uluwatu, Pecatu, 80364, Bali
05. Air Terjun Aling-Aling, Singaraja Sumber: Aling-Aling Waterfall Di Singaraja ini sebenarnya terdapat 7 buah air terjun, tapi air terjun yang paling ‘diva’ sekali adalah Air Terjun Aling-Aling.
Berketinggian dalam 35 meter, air terjun ini agak berbeza daripada yang lain sebab air yang mengalir daripadanya terpecah kepada dua air terjun yang saling bersebelahan.
Pemandangan air terjun ini diindahkan lagi dengan kawasan hutan tropika yang terdapat di sekelilingnya.
Di bahagian bawah air terjun ini pula terdapat kolam yang berkedalaman sekitar 4 meter, tapi, jangan terjun di sini ya sebab terdapat pusaran air yang agak berbahaya. Kadangkala, sesuatu yang cantik itu lebih baik dihargai dari jauh.
Alamat: Desa Sambangan | Secret Garden Sambangan Information Center ( Aling Aling Information), 81161
06. Air Terjun Kanto Lampo Sumber: Ken Schattenberg Untuk menuju ke Air Terjun Kanto Lampo ini anda perlu melalui jalan yang sama untuk ke Desa Beng.
Sampai sahaja di kawasan meletak kenderaan Kanto Lampo ini, anda boleh membeli makanan dan minuman yang dijual di sini terlebih dahulu.
Kemudian, barulah anda memulakan perjalanan ke kawasan air terjun yang cukup indah ini. Sebaik tiba di kawasan air terjun, anda dapat merasakan kesegaran air  terjun yang mengalir laju dari ketinggian 15 meter.
Bunyi air yang memecah masuk ke dalam sungai juga sangat menyegarkan deria.
Alamat: Banjar Kelod Kangin, Desa Beng, Kecamatan Gianyar, Kabupaten Gianyar
07. Pura Luhur Uluwatu Sumber: @Sudarma_55 ‘Ulu’ di dalam bahasa melayu bermaksud atas dan ‘watu’ pula adalah batu, kombinasi kedua-duanya membawa maksud ‘atas batu.’
Dari namanya sahaja sudah mencerminkan kedudukan kuil ini yang agak tinggi. Pura Luhur Uluwatu ini terletak di atas tebing berketinggian 250 kaki dari aras Lautan Hindi yang mengelilinginya.
Di samping pemandangannya yang indah, anda juga boleh menyaksikan persembahan tarian tradisional Kecak yang diadakan setiap hari pada pukul 6 petang berlatar belakangkan pandangan matahari terbenam.
Alamat: Pecatu, South Kuta, Badung Regency, Bali
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
08. Pura Lempuyang Sumber: The World Pura Lempuyang merupakan salah satu daripada kuil hindu di Bali yang tertua dan terpenting.
Dikatakan juga bahawa kuil kuno ini telah wujud lebih lama daripada kebanyakan kuil yang terdapat di pulau indah ini.
Ini adalah kerana kedudukannya yang sangat tinggi di atas Gunung Lempuyang yang berketinggian 1,175 meter dari aras laut.
Jangan terkejut, untuk sampai ke sini, anda sekeluarga perlu mendaki 1,700 anak tangga yang curam.
Kalau gayat atau stamina tak cukup tinggi, terpaksalah anda lupakan hasrat untuk menikmati pemandangan dari sini, tapi, ‘di mana ada kemahuan,di situ ada jalan,’ bersenamlah dari sekarang ya.
Lagi satu, bukan setakat stamina sahaja yang kena mantap sebelum mendaki tangga setinggi ini, dikatakan yang anda tak boleh langsung merungut dan berkata perkara yang tak elok sewaktu menaiki tangga-tangga ini, kalau tak, anda tak akan berjaya sampai ke puncak. Jangan lupa untuk memakai pakaian yang tebal sebab di atas ini nanti suhunya agak sejuk.
Banyak pula cabaran nak ke puncaknya kan, tapi, kalau dah sampai nanti, pemandangan yang disajikan cukup indah sampai terlupa betapa penatnya anda berjalan.
Kawasan kuil ini turut digelar sebagai ‘Gateway to Heaven’ atau pintu masuk ke syurga oleh pelancong-pelancong yang pernah sampai ke sini. Kalau anda teringin merasa bagaimana rasanya menyentuh awan, di sinilah tempatnya!
Alamat: Gunung Lempuyang, Kampung Bunutan, Karangasem, Timur Bali
09. Candi Gunung Kawi Sumber: Gratia Mikha Wikita Candi Gunung Kawi bukanlah tempat biasa, bagi pencinta sejarah, pengalaman ke kawasan candi ini pasti akan menjadi salah satu memori indah yang sukar dilupakan.
Bukan mudah nak jumpa peninggalan dari zaman yang sepurba ini, untuk pengetahuan anda, candi ini dibina pada abad ke-11 masihi.
Betapa lamanya usia candi ini, macam sukar dipercayai yang ia masih wujud lagi untuk dilihat sehingga kini.
Untuk sampai ke kawasan candi ini, anda perlu melalui 315 anak tangga yang terletak berdekatan Sungai Pakerisan, dari tangga ini juga anda sekeluarga dapat menikmati pemandangan mengasyikkan kawasan sawah padi yang terbentang luas di kiri dan kanan.
Alamat: Banjar Penaka, Tampaksiring, Kabupaten Gianyar, Bali 80552
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 6.00pm)
10. Pura Ulun Danu Bratan Sumber: Beautiful Destinations Terletak di Tasik Bratan di pergunungan Bedugul, Pura Ulun Danu Bratan yang dibina pada tahun 1633 ini menawarkan panorama indah tasik di sekeliling, tanah yang menghijau dengan bunga-bungaan serta pemandangan gunung-ganang.
Untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan, anda sekeluarga juga boleh menaiki bot yang disediakan di tasik ini, dari kawasan air baru cantik nak menangkap gambar kuil kuno ini.
Selain dapat menghabiskan bateri kamera anda, di sini juga anda boleh menyewa joran dan umpan untuk memancing ikan yang terdapat di tasik. Dapatlah anda menikmati pemandangan sepuas hati dan pulang dengan ikan segar di tangan, tak ke best macam tu.
Sekiranya anda ingin datang ke sini pada waktu pagi, datanglah sekitar pukul 9 ke 11 pagi walaupun sebenarnya kawasan ini dibuka seawal 8 pagi, ini kerana kalau datang terlalu awal, mungkin anda tak dapat menikmati pemandangan yang ditawarkan kerana kabus agak tebal.
Alamat: Jl. Bedugul – Singaraja, Candikuning, Baturiti, Candikuning, Baturiti, Kabupaten Tabanan, Bali 82191
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)
11. Gunung Batur Sumber: Kkevinhendra Bagi anda yang berjiwa kental, mai daki Gunung Batur. Kenapa jiwa kental je? Sebab gunung ini sebenarnya masih lagi aktif, kali terakhir gunung ini melepaskan lavanya adalah pada tahun 2000.
Apa-apa pun, pemandangan yang dihidangkan dari puncak gunung yang berketinggian 1,717  meter dari aras laut ini memang indah, terutama sekali pemandangan matahari naik.
Sebaik anda sampai ke puncaknya, anda boleh bersantai di kawasan kem yang lengkap dengan kerusi dan meja sementara menunggu pemandangan yang mengasyikkan ini.
Alamat: Mt Batur, South Batur, Kintamani, Bangli Regency, Bali
12. Tanah Lot Temple Sumber: The Earth Nama asal Kuil Tanah Lot ini adalah Tengah Lod yang bermaksud ‘di dalam laut,’ agak masuk dek akal juga kerana kedudukannya yang dikelilingi air laut.
Agak unik sebenarnya lokasi kuil ini. Al-kisahnya, kuil kuno ini dibina oleh seorang Hindu yang datang dari Majapahit sekitar tahun 1489.
Sewaktu berjalan di sekitar laut, pengembara ini terlihat sebuah batu besar di tengah laut yang kelihatan seperti pulau.
Tertarik dengan apa yang dilihat, batu ini dijadikan tempat meditasinya dan kuil ini pun dibina.
Sekiranya anda datang ke sini, anda akan mendengar bunyi kicipan burung yang tak henti-henti di samping bunyi ombak laut. Bukan sahaja menyedapkan telinga, pemandangannya juga memang mempesonakan.
Alamat: Jalan Raya Tanah Lot, Beraban Village, Kediri, Tabanan
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 7.00pm)
13. Ujung Water Palace Sumber: Smailing DMC Ujung Water Palace ini merupakan istana yang telah dibina oleh Raja dari Karangasem.
Istana ini dulunya pernah mengalami kerosakan yang dahsyat akibat limpahan gunung berapi Gunung Agung pada tahun 1963 dan gempa bumi pada tahun 1979.
Namun, proses pemulihan telah banyak dijalankan sejak dari itu untuk memberi peluang kepada generasi muda melihat kemegahan istana purbakala ini.
Kalau dilihat secara terperinci, seni bina istana ini memiliki kombinasi reka bentuk Bali dan Eropah.
Alamat: Tumbu Village of Karangasem, Bali
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)
14. Ubud Monkey Forest Sumber: Dee Mansion Monyet memang haiwan yang comel, tapi… jangan sangka yang comel itu selamat didekati ya.
Kalau anda ingin memasuki Ubud Monkey Forest ini, pastikan anda simpan semua barang-barang yang mudah dicapai haiwan ini seperti topi, cermin mata, botol air dan lain-lain lagi di dalam beg anda dengan kemas.
Selain itu, jangan juga melihat mata monyet-monyet ini kerana bagi mereka, itu petanda anda mencabar mereka.
Mesti anda tertanya-tanya kenapa ramai yang datang ke sini kalau se‘ekstrem’ ini anda kena berjaga? Sebabnya di kawasan hutan ini juga anda boleh mengakses dua buah kuil hindu iaitu Pura Beji dan Pura Prajapati.
Di samping itu, bagi pencinta haiwan, takut-takut pun dikentalkan juga hati untuk melihat lebih daripada 700 ekor monyet yang terdiri daripada 180 spesies yang terdapat di sini. Mana nak cari monyet sebanyak ini!
Alamat: Jl. Monkey Forest, Ubud, Kabupaten Gianyar, Bali 80571
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 6.00pm)
15. Bali Safari & Marine Park Gianyar Sumber: Bali Safari and Marine Park Kalau anda nak berseronok sepuas hati di Bali Safari & Marine Park ini, datanglah seawal pagi yang mungkin, barulah berbaloi-baloi bayaran tiket anda sekeluarga.
Bukan sikit nak dilihat di sini, ada dalam 80 spesies dan sekitar 400 spesimen yang didatangkan dari negara Afrika, India dan Indonesia sendiri.
Antara yang menjadi daya tarikan di sini adalah harimau putih yang didatangkan dari India, dan kawasan perkampungan gajah.
Mesti anak-anak anda seronok punyalah melihat haiwan-haiwan di sini. Nak lagi seronok? Bawa mereka menaiki trem untuk penjalanan safari yang syok tak terkira. Banyak yang dapat anak-anak pelajari dari lawatan ke sini.
Alamat: Jl. Bypass Prof. Dr. Ida Bagus Mantra Km. 19,8, Serongga, Kec. Gianyar, Kabupaten Gianyar, Bali 80551
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)
16. Bali Horse Riding Sumber: Bali Horse Riding Banyak sebenarnya pakej menunggang kuda yang ditawarkan di Bali ini dan ini adalah salah satunya, Bali Horse Riding Tour.
Bukan selalu dapat merasa naik kuda macam orang kaya ni kan, alang-alang dah sampai ke Bali, gunakan peluang berada di kawasan indah ini untuk menikmati pemandangan dengan menaiki kuda.
Antara kawasan yang dilalui adalah Pantai Serangan, air terjun, kawasan-kawasan kuil, gua kelawar dan banyak lagi. Jangan lupa untuk pakai cermin mata gelap dan kasut yang selesa sebelum menunggang kuda.
Alamat: Jalan Tukad Penataran, Gang Kokak No.5, Serangan, Denpasar Selatan, Bali 80229
17. Bali Bird Park Sumber: Bali Bird Park Taman yang berkeluasan 2 hektar ini, Bali Bird Park, menempatkan hampir 1000 burung eksotik yang bukan sahaja dari Indonesia, malahan dari seluruh dunia. Burung yang terdapat di sini termasuklah burung merak dan burung kakak tua.
Anda juga dapat melihat pertunjukan Flight Bird Show yang mana burung pemangsa akan terbang untuk mencapai makanan yang dipegang penjaga burung.
Bukan burung sahaja yang ada di sini ya, kerana di taman burung ini juga terdapat Taman Reptilia yang menempatkan haiwan-haiwan seperti buaya, penyu, kura-kura dan banyak lagi.
Alamat: Jl. Serma Cok Ngurah Gambir, Singapadu, Batubulan, Sukawati, Kabupaten Gianyar, Bali 80582
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.30pm)
18. Elephant Safari Park Lodge Sumber: Mason Elephant Park & Lodge Kalau anda inginkan akses tanpa had ke Elephant Safari Park & Lodge, anda boleh membawa keluarga anda menginap di resort mewah milik taman ini. Bilik-bilik yang ditawarkan tidaklah banyak, hanya 25 buah sahaja, jadi, siapa cepat, dia dapatlah.
Resort ini terletak betul-betul di tengah taman gajah ini. Jangan risau, gajah-gajah di sini semuanya baik-baik.
Seperti yang dikatakan tadi, resort-resort ini agak mewah, tapi sangat berbaloi kerana anda dapat pergi ke taman gajah ini secara percuma sepanjang penginapan.
Antara aktiviti yang boleh dibuat dengan gajah-gajah yang ada di sini adalah memberi mereka makan, bermain, menunggang dan mempelajari lebih mendalam tentang spesies-spesies gajah yang ada di sini.
Lawatan yang bukan sahaja menyeronokkan, malahan cukup bermanfaat untuk anak-anak yang bersifat ingin tahu.
Alamat: Jalan Elephant Park Taro, Taro Village, Tegallalang, Ubud Bali 80561
19. Goa Gajah Gianyar Sumber: Bali Fans Goa Gajah merupakan sebuah kawasan yang agak sejuk dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok rendang yang berusia ratusan tahun, gua ini juga dikatakan telah wujud sejak abad ke-11 lagi.
Sampai sahaja di pintu masuk gua ini, anda dapat melihat ukiran 2 buah patung yang menjadi penjaganya.
Di sekitar permukaan gua ini anda dapat melihat banyak motif-motif haiwan dan tumbuhan yang diukirkan. Pada bahagian dalam gua ini pula, pada zaman dahulukala merupakan tempat pertapaan.
Walau bagaimanapun, bagi wanita yang dalam haid, tidak dibenarkan masuk ke kuil ini sepertimana kuil-kuil yang lain.
Alamat: Bedulu Village, Jalan Raya Goa Gajah, Blahbatuh, Gianyar
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 4.00pm)
20. Kintamani Sumber: @ndravens Kintamani merupakan kawasan perkampungan yang terletak di sebelah barat Gunung Batur. Untuk pengetahuan anda, di sinilah terletaknya Pura Tuluk Biyu yang merupakan tablet batu yag berusia lebih daripada 1,000 tahun.
Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai dengan cuaca sejuk di kawasan perkampungan ini kerana lokasinya di kawasan tanah tinggi dan berdekatan dengan pergunungan, memang menggeletar badan.
Di kawasan seperti ini, bayangkanlah pemandangan yang disajikan, sangat indah dan sukar diungkapkan dengan kata-kata. Kawasan tanah di Kintamani juga sangat subur, antara tanaman yang dapat dilihat di sini adalah pokok-pokok lemon, koko dan kopi.
Alamat: Kintamani, Bali 80652
21. Istana Puri Saren Ubud Sumber: Alicia Sanabria Chópite Istana yang dibina pada abad ke-19 ini dibina oleh Tjokorda Ida Putu Kandel yang memerintah dari tahun 1800 sehingga 1823.
Sebaik anda sampai ke istana ini, anda dapat melihat betapa megahnya bangunan ini daripada tembok merahnya yang berdiri teguh.
Dari dinding yang mengelilingi Istana Puri Saren Ubud ini, anda dapat melihat ukiran-ukiran motif. Berjalan lagi, anda dapat melihat di kiri dan kanan pintu masuk istana ini diapit oleh patung yang kelihatan tegas menjaga istana. Dari luar lagi sudah terasa betapa kukuhnya istana klasik ini.
Istana Puri Saren Ubud bukan sahaja tempat untuk anda melihat kemegahan seni bina tradisional Bali, di sini juga anda dapat melihat pementasan tarian tradisional Bali yang berbeza setiap hari iaitu:
Isnin: Legong Selasa: Ramayana Ballet Rabu: Legong dan Barong Khamis: Legong Jumaat: Barong dan Keris Sabtu & Ahad: Legong Yang mana yang anda nak lihat dipersembahkan di depan mata
Alamat: Jl. Raya Ubud, Puri Saren Palace, Ubud 08671
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 7.00pm)
22. Tegallalang Rice Terraces Sumber: Stephen Wayda Persis sebuah lukisan yang indah, Tegallalang Rice Terraces, memang menjadi lokasi pilihan ramai pelukis pemandangan.
Di kawasan sekitar sawah padi ini juga terdapat banyak gerai-gerai makan untuk anda sekeluarga mengisi perut yang kosong sambil menikmati pemandangan penuh kehijauan yang terbentang luas di depan mata.
Alamat: Jalan Tegallalang, Tegallalang, Kabupaten Gianyar, Bali 80561
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 6.00pm)
23. Hot Spring Volcano Sumber: Patrick Bali Driver Berendam di dalam air panas gunung berapi selepas penat mendaki Gunung Batur sangatlah melegakan otot-otot yang penat.
Sensasi berendam dalam air panas bersuhu 38 ke 39 darjah celsius ini memang memuaskan lebih-lebih lagi dengan kawasan persekitaran gunung yang sangat sejuk, pergh! Dikatakan juga, air panas ini berkesan untuk menyembuhkan penyakit-penyakit kulit. Apa lagi? Jom!
Alamat: Desa Pekraman Batur, Toya Bungkah, Kintamani, Bangli, Bali
24. Seminyak Sumber: Wonderful Indonesia Kalau di Malaysia, KL lah lokasi yang agak up-to-date, tapi untuk Bali pula, Seminyaklah tempatnya untuk anda membeli-belah dan menjamu selera di restoran-restoran mewah.
Penginapan-penginapan yang terdapat di sini juga kebanyakannya bertaraf antarabangsa dan lengkap dengan spa.
Kalau anda ingin memberikan keluarga anda percutian yang istimewa dan mewah di Bali, Seminyaklah destinasinya.
Dalam masa yang sama, Seminyak memiliki banyak kawasan pantai yang indah untuk anda bersantai bersama keluarga.
Alamat: Seminyak, Kuta, Badung Regency, Bali
25. Pantai Kuta Sumber: Valeria Pagano Dahulunya, Kuta merupakan perkampungan nelayan yang tenang  dan jauh dari sebarang pembangunan, namun kini, ia merupakan kawasan yang menjadi tarikan ramai pelancong, terutama pada bulan Julai hingga Ogos dan musim cuti Krismas dan Tahun Baru.
Kawasan sekitar Pantai Kuta dipenuhi dengan kedai-kedai makan dan tempat-tempat penginapan termasuklah tempat hiburan.
Kalau anda inginkan ketenangan sewaktu percutian, mungkin ini tempat terakhir yang menjadi pilihan anda. Tapi, sekiranya anda tak kisah dan sukakan kemeriahan, lawatilah Pantai Kuta.
Alamat: Kuta Beach, Kuta, Badung Regency, Bali
26. Bedugul Bali Sumber: Maya Ubud Resort & Spa, Bali, Indonesia Terletak di altitud 1,500 meter dari aras laut, kawasan sekitar Bedugul ini membersihkan paru-paru anda daripada sebarang pencemaran, sangat menyegarkan.
Antara destinasi-destinasi yang patut anda sekeluarga lawati kalau ke sini adalah Taman Botani Bali yang berkeluasan 160 hektar, Air Terjun Munduk yang sangat indah, Pura Ulun Danu Bratan yang merupakan kuil ikonik di Bali dan banyak lagi tarikan semulajadi yang lain.
Selain itu, kawasan hutan hujan di sekitar Bedugul juga sangat kaya dengan flora dan fauna, kalau anda inginkan lawatan ke ‘zoo’ yang realistik, apa kata kalau anda terokai kawasan hutan di sini.
Alamat: Bedugul, Bali
27. Pasar Seni Ubud Sumber: Alice Sophie Turrell Kalau anda pernah menonton filem Hollywood lakonan Julia Roberts, ‘Eat Pray Love,’ inilah salah satu lokasi pergambarannya.
Terletak di hadapan Istana Puri Saren Ubud, Pasar Seni Ubud adalah lokasi membeli-belah yang mana anda dapat menemui bermacam hasil kraftangan yang menarik seperti sulaman beg, bakul, topi, layang-layang dan banyak lagi.
Kalau anda tak nak shopping pun, seronok juga melihat kehalusan hasil tangan penduduk-penduduk Bali ini.
Anggaplah lawatan anda ke sini seperti lawatan ke pameran kraftangan. Andai kata anda jatuh hati dengan mana-mana barangan di sini, jangan lupa untuk tawar-menawar harga!
Alamat: Jalan Raya Ubud No.35, Ubud, Kabupaten Gianyar, Bali 80571
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)
28. Coffee Plantation Bali Pulina Sumber: AhiLe Ahl Suka minum kopi? Nak rasa kopi yang termahal di dunia? Ternyata kopi termahal di dunia bukanlah di Starbucks tapi di Bali.
Kalau anda nak tahu, kopi ini kalau di negara barat berharga sekitar 30 ke 50 dollar secawan. Kopi apa yang mahal sangat ni? Kopi ini dinamakan Kopi Luwak, luwak juga membawa maksud musang.
Mesti ada sebabnya kenapa ia dinamakan sempena musang kan? Jangan terkejut, sebab kopi yang termahal di dunia ini juga sebenarnya memiliki proses penghasilan yang agak geli didengar.
Buah kopi ini merupakan buah kegemaran musang, setelah makan, najis yang dikeluarkan musang ini adalah biji buah ini tadi.
Biji ini kemudiannya dikutip dan dipecahkan untuk mendapatkan isinya yang dijadikan biji kopi luwak dan dari sinilah mulanya pemprosesan kopi seperti kopi yang lain.
Nak tahu lebih lagi tentang proses pembuatan kopi di sini? Lawatlah Coffee Plantation Bali Pulina. Dapat juga anda merasa kopi-kopi lain yang dihasilkan di sini secara PERCUMA, kecuali kopi luwak. Bukan senang nak dapat biji kopi ni!
Alamat: Sebatu, Tegallalang, Gianyar, Bali 80561
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 7.00pm)
29. Tirta Gangga Sumber: Devi Matahari Tirta Gangga bermaksud air yang mengalir dari Sungai Gangga. Di sinilah terletaknya Istana Air Tirta Gangga, sangat indah pemandangan yang ditawarkan di sini.
Dikelilingi oleh kolam-kolam, pancuran air, taman mekar yang indah dan ukiran-ukiran batu.
Cukup menarik dan unik untuk dijadikan lokasi bergambar. Kalau anda teringin berendam badan di dalam kolam-kolam yang terdapat di sini, anda perlu membayar caj tambahan sebanyak Rp10.000.
Alamat: Ababi, Abang, Kabupaten Karangasem, Bali 80852
Waktu Operasi: Pejabat Jualan Tiket (7.00am – 6.pm) | Tirta Gangga (24 Jam)
30. Penglipuran Village Sumber: FRii Bali Echo Beach Terletak di kawasan tanah tinggi 700 meter dari aras laut, Kampung Penglipuran merupakan sebuah kawasan kampung tradisional yang memiliki karakternya tersendiri yang masih kukuh tanpa sentuhan modenisasi.
Di sekitar kawasan pergunungan yang sejuk ini anda dapat melihat ladang pertanian dan hutan pokok buluh yang agak luas dan terpelihara dengan baik.
Berjalan-jalan di sini boleh membuatkan anda terfikir sekiranya anda wujud pada abad yang betul ataupun kembali ke masa silam.
Alamat: Jl. Penglipuran, Kubu, Kec. Bangli, Kabupaten Bangli, Bali
31. Sanur Beach Sumber: Bali Scuba Kalau dibandingkan dengan Kuta dan Seminyak, Sanur terletak di tengah-tengah, ini kerana Sanur dikatakan sebagai kawasan pelancongan yang lebih mahal daripada Kuta tapi lebih murah daripada Seminyak.
Apa yang menarik di sini adalah pantainya yang menjadi tarikan peminat aktiviti-aktiviti air. Walaupun begitu, ia tidaklah sesibuk kawasan pantai yang lain dan cukup bersih. Di sekitarnya juga terdapat banyak kedai-kedai makan dan tempat penginapan.
Alamat: Sanur, Bali
32. Kebun Raya Bali Sumber: @roalan1962 Kebun Raya Bali ataupun The Bali Botanic Garden ini merupakan yang terbesar di Indonesia dan terletak di kawasan pergunungan Bedugul.
Dari kawasan berketinggian 1,300 meter dari aras laut, anda yang datang ke sini dapat melihat Kuil Ulun Danu dan Tasik Beratan yang sangat indah.
Dengan ketinggian ini, suhunya boleh membuat anda menggigil dan sebab itu jugalah begitu banyak tumbuhan yang sesuai ditanam di sini yang turut terdiri daripada pelbagai jenis orkid, kaktus, bunga-bungaan seperti ros dan macam-macam lagi.
Selain itu, anda sekeluarga juga dapat menyaksikan pelbagai jenis burung berterbangan di udara. Dikatakan terdapat sekitar 79 jenis burung di sini. Dapat bayangkan betapa indahnya kawasan taman botani ini?
Alamat: Jl. Kebun Raya Eka Karya | Candikuning, Tabanan 82191
33. Nusa Lembongan Sumber: Bali Buddies Berkeluasan 8 km kaki persegi, Nusa Lembongan adalah salah satu daripada 3 buah pulau yang saling bersebelahan iaitu Nusa Ceningan dan Nusa Penida.
Seperti pulau yang lain, lautan di sekitar pulau ini kaya dengan hidupan laut dan batu karang yang sangat mempesonakan, apa lagi cara untuk menikmati keindahan ini kalau bukan dengan snorkeling dan juga menyelam.
Air di laut ini juga sangat jernih untuk menikmati sepuas hati pemandangan di dalamnya. Selain itu, di kawasan pantai ini juga anda dapat melihat penyu-penyu berkeliaran di pasir pantai yang bersih. Mana tak seronok anak-anak kalau datang ke pulau ini.
Alamat: Lembongan island, Jungutbatu, Nusapenida, Klungkung Regency, Bali
34. Lovina Beach Sumber: Intro Travel Terletak 10 km dari pekan Singaraja, Pantai Lovina ini cukup indah dengan pasir yang kehitaman, air yang tenang tapi jangan terkejut pula, punyalah banyak ikan lumba-lumba yang dapat dilihat menonjolkan kecomelan mereka di permukaan air.
Kawasan Pantai Lovina ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan kepada para pelancong seperti kedai-kedai makan, pusat-pusat penginapan, kedai jualan karya seni, bank, dan pelbagai jenis kemudahan pengangkutan.
Alamat: Lovina Beach, Anturan, Buleleng Sub-District, Buleleng Regency, Bali
35. Agung Rai Museum of Art Sumber: ARMA Museum & Resort (Official) Bagi pencinta seni, jangan lupa untuk singgah ke Agung Rai Museum of Art di Bali nanti. Apabila anda sampai ke bangunan muzium ini, anda pasti teruja melihat bangunannya yang memiliki reka bentuk tradisional Bali dan dikelilingi oleh taman tropika.
Masuk pula ke dalam muzium ini, anda dapat menyaksikan pelbagai koleksi hasil seni abad ke-19, hasil karya dari tahun 1930-an ke 1940-an dan banyak lagi.
Bukan hanya karya seni lukisan sahaja yang ada di sini, anda juga dapat melihat kanak-kanak tempatan berlatih menari tarian tradisional Bali beserta latihan gamelan.
Di samping itu, di sini juga sering diadakan persembahan tarian Kecok dan Legong. Pendek kata, nak tahu lebih banyak tentang aspek-aspek seni masyarakat Bali, datanglah ke Agung Rai Museum of Art.
Alamat: Jalan Raya Pengosekan, Ubud
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
36. Puri Lukisan Muzium Sumber: Itsmicdb Travels and Vlogs Pergerakan kesenian moden Bali bermula di Ubud. Apa seni moden ni? Seni moden adalah apabila karya-karya seni yang dihasilkan mula lari daripada subjek-subjek keagamaan.
Terbahagi kepada 4 bahagian, di bahagian timur bangunan ini dikumpulkan koleksi hasil seni daripada Ubud termasuklah wayang kulit pada abad ke-16.
Di bahagian barat muzium ini pula ditempatkan karya seni moden yang dihasilkan pelukis-pelukis Bali selepas zaman peperangan.
Seterusnya, pada bahagian utaranya terletaknya lukisan-lukisan daripada Gusti Nyoman Lempad dan ramai lagi. Akhir sekali, dibahagian selatannya pula untuk pameran-pameran khas. Banyak juga untuk dilihat di sini kan?
Alamat: Yayasan Ratna Wartha | Gianyar, Ubud 80571
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)
37. Neka Art Museum Sumber: Neka Art Museum Dibuka pada tahun 1982, bangunan dengan seni binaan tradisional ini dinamakan Neka Art Museum sempena nama seorang guru yang gemar mengumpulkan karya lukisan, Suteja Neka.
Koleksi lukisan di muzium ini bertambah dari tahun ke tahun, dan sehingga sekarang terdapat lebih daripada 300 lukisan yang dihasilkan pelukis dalam dan luar negara dipamerkan di sini.
Selain daripada lukisan, anda juga dapat melihat hasil ukiran dan koleksi keris Bali. Lawatan ke muzium ini akan memberikan banyak info-info kepada anda sekeluarga berkaitan teknik dan sejarah perkembangan seni di Bali.
Alamat: Jalan Raya Camphuan, Kedewatan, Ubud
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (9.00am – 5.00pm) | Ahad (1.00pm – 5.00pm) | Cuti Kebangsaan (Tutup)
38. Waterbom Bali Sumber: Waterbom Bali Dah puas berjalan-jalan di Bali, apa kata kalau luangkan masa anda dengan aktiviti menyeronokkan bersama keluarga di Waterbom Bali.
Kalau anda nak tahu, salah satu tarikan di sini adalah gelongsor Climax yang merupakan gelongsor air tercuram di Asia! Ada berani nak cuba?  Bukan itu sahaja yang ada di sini, banyak lagi yang boleh menggugurkan jantung kalau dicuba.
Sekiranya anda inginkan aktiviti air yang lebih relaks, apa kata kalau anda mencuba aktiviti Lazy River, anda boleh bersantai di atas pelampung dan biarkan air ini bergerak membawa anda sekeluarga menyelusuri air sambil menikmati panorama indah flora di kiri dan kanan, best tak best? Jangan tertidur pula.
Alamat: Jl. Kartika Plaza Tuban, Kuta – Bali 80361
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)
39. Pantai Pasir Putih Sumber: Smailing DMC Salah sebuah tempat menarik di Bali yang sering menjadi sasaran pelancong terletak berdekatan dengan Candidasa Bali.
Pantai Pasir Putih ini sebenarnya memiliki banyak lagi nama lain diberikan seperti Pantai Perasi. Pantai ini susah juga untuk ditemui kalau anda tak pernah ke sini, sebab itulah ia agak kurang dilawati.
Kalau anda berjaya sampai ke sini, andalah antara orang yang beruntung, dapat bersantai bersama keluarga dalam suasana yang tenang.
Walaupun tak sesibuk pantai yang lain, kawasan di sekitar pantai ini tetap mewah dengan gerai-gerai untuk anda menjamu selera ditemani bayu laut.
Alamat: Karangasem, Karangasem Sub-District, Karangasem Regency, Bali 80811
40. Green Bowl Beach Sumber: @rodnaytetreault Macam pelik sahaja nama diberi, Green Bowl Beach, tapi sebenarnya dinamakan sedemikian kerana anda dapat melihat rumpai-rumpai laut yang menghijau dengan jelas di dalam air yang jernih.
Untuk pengetahuan anda, ini juga salah satu kawasan pantai yang jarang dilawati. Nak tahu kenapa? Sebabnya, untuk sampai ke sini, anda perlu menuruni tangga yang sangat curam. Mendebarkan jugalah perjalanan menuju ke pantai indah ni.
Kalau anda ingin ke pantai ini pastikan anda datang pada waktu air surut. Kerana semasa air pasang, airnya boleh mencecah aras tebing dan gua di sini. Tak dapatlah anda nak nikmati semua keindahan alam yang ditawarkan di sini. Rancang perjalanan anda dengan baik ya.
Alamat: Jalan Pura Batu Pageh, Ungasan
41. Pantai Yeh Leh Sumber: BALI – dotkněte se snů Kalau anda datang ke Pantai Yeh Leh,  anda boleh bersantai bersama keluarga di gazebo yang disediakan untuk menikmati pemandangan matahari naik atau terbenam.
Bukan itu sahaja yang indah di sini, di bahagian barat pantai ini terletak banyak batu-batu besar di sekitarnya, agak unik, kerana kebiasaannya permukaan seperti ini wujud di kawasan sungai.
Apa-apa pun, batu-batu yang terdapat di sini menambahkan lagi keindahan kawasan pantai. Apa lagi? Jangan lupa bergambar sepuas hati di sini.
Alamat: Gg. Tasik, Pengeragoan, Pekutatan, Kabupaten Jembrana
42. Besakih Temple Sumber: Kiswanti Ayu Bell Banyak betul kuil yang ada di Bali ni, tapi kalau anda tak sempat untuk kesemua lokasi purba ini, pastikan anda tak lepaskan peluang untuk ke Kuil Besakih. Kuil ini dianggap sebagai ibu kuil ataupun yang terpenting di antara kuil-kuil yang lain di Bali.
Berusia lebih daripada 1,000 tahun, kuil yang terletak pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut ini terdiri daripada 86 buah kuil termasuklah Kuil Besar Negeri iaitu Pura Penataran Agung.
Dikelilingi oleh kawasan sawah padi yang menghijau, pemandangan gunung-ganang, air sungai dan banyak lagi keindahan alam semulajadi yang mesti anda saksikan bersama keluarga.
Alamat: Jl. Raya Besakih, Karangasem
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)
43. Batu Bolong Beach Sumber: ExoticA Bali B&B Salah satu daripada pantai yang syok untuk berluncur ombak. Bukan itu sahaja, di sekitar Batu Bolong Beach ini terdapat agak banyak kedai-kedai makanan sihat untuk anda sekeluarga cuba.
Walaupun begitu, pantai ini tidaklah sesibuk kawasan tarikan pantai yang lain, ini menjadikan pantainya bersih dan cukup tenang untuk anda bersantai bersama keluarga.
Alamat: Jl. Pantai Batu Bolong, Canggu, Kuta Utara, Kabupaten Badung
44. Sekumpul Waterfall Sumber: Mohamed Elsayed Air Terjun Sekumpul merupakan salah satu daripada tarikan alam semulajadi yang terindah di Bali. Lihat sahaja air yang mengalir dari atas bukit di sini, bukan satu, bukan dua, tapi tujuh air terjun  yang dapat dilihat, masuk akallah kenapa dinamakan ‘sekumpul’.
Untuk menuju ke kawasan air terjun ini, anda boleh memilih untuk melalui trek yang lengkap dengan gazebo ditemani pemandangan indah air terjun ini, ataupun trek hutan dan perkampungan dengan pemandangan sawah padi, ladang kopi, kebun durian dan rambutan menemani anda sepanjang perjalanan.
Namun begitu, trek yang kedua ini mengambil masa lebih kurang dua ke tiga jam untuk anda sampai. Jalan mana yang sanggup anda lalui demi pemandangannya?
Alamat: Jalan Raya Desa Sekumpul, Sawan, Lemukih, Buleleng
45. Dream Museum Zone Sumbe: Catalina Liriano Bukan di Malaysia sahaja yang ada muzium 3D. Kalau di Bali pula anda boleh melawat Dream Museum Zone untuk melihat karya-karya lukisan 3D yang boleh membeliakkan biji mata, betapa realistik sekali efek lukisan yang dihasilkan di sini.
Antara lukisan yang dapat anda lihat dan posing bersama di sini adalah lukisan inspirasi Zaman Renaissance, Mona Lisa dan Van Gogh. Mesti anak-anak anda seronok melihat karya-karya yang unik ini.
Alamat: Jl. Nakula No. 33X, Legian
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 10.00pm)
46. Jatiluwih Green Land Sumber: Amazing Nature ‘Jati’ bermaksud asli dan ‘Luwih’ pula bermaksud cantik. Di kawasan penuh kehijauan di mana sawah padi terbentang dengan luas ini memang benar-benar menyejukkan mata, sesuai dengan namanya, kecantikan yang asli, Jatiluwih.
Anda boleh menikmati makanan di restoran-restoran kecil yang terdapat di sini sambil menikmati pemandangan indah ini.
Kalau dah puas melihat pemandangan dari jauh, anda boleh berjalan-jalan untuk menyelami keindahan kawasan sawah padi ini dengan lebih dekat lagi dan melihat bagaimana orang Bali membanting dan menuai padi.
Mungkin anda boleh mencuba bagaimana rasanya melakukan tugas ini sendiri?
Alamat: Jatiluwih, Penebel, Tabanan
47. Tasik Beratan Sumber: @emmett_sparling Terletak di Bedugul, bukan rendah kawasan Tasik Beratan yang juga dikatakan salah satu daripada 20 tasik terindah di dunia ini.
Berada pada altitud 1,240 meter dari aras laut, boleh anda bayangkan betapa sejuknya kawasan tanah tinggi ini?
Pada waktu malam suhu di sekitar kawasan ini boleh mencapai 18 darjah celsius dan pada sebelah siang pula sekitar 24 darjah celsius, jadi pastikan anda membawa pakaian yang sesuai kalau ke sini.
Sekiranya anda ingin lari dari kesibukan kawasan pekan dan inginkan pemandangan yang cukup memukau, datanglah ke Tasik Beratan.
Banyak juga aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti ski air, berkayak dan parasailing. Macam mana? Udara segar, pemandangan indah, aktiviti pun gempak, jadikan Tasik Beratan salah satu destinasi anda di Bali nanti ya?
Alamat: Jl. Bedugul, Candi Kuning, Tabanan 80345
48. Dream Beach Sumber: Info Seputar Bali Persis namanya, Dream Beach yang terletak di Nusa Lembongan ini memang cukup indah membuatkan anda tertanya-tanya, ini realiti atau mimpi. Cukup bersih, pasirnya juga putih, memang sedap dipijak.
Lagi best kalau anda berkelah bersama keluarga sambil menikmati pemandangan di pantai mimpi ini dengan menghirup air jus yang sejuk. Memang syoklah!
Alamat: Dream Beach, Jungutbatu, Lembongan Island, Klungkung Regency, Bali 80771
Begitu banyak tempat yang mesti anda lawati di Bali ini, tidak dapat MaiSinggah senaraikan kesemuanya.
Inilah sebabnya kenapa anda perlu tahu dengan lebih awal di mana destinasi-destinasi menarik di Bali supaya perjalanan anda lancar dan anda tahu ke mana mahu dituju. Setiap saat anda di Bali terlalu berharga untuk memikirkan hal-hal yang remeh-temeh.
Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Bali
Oleh kerana terlalu banyak sekali tempat yang best di Bali ini, mustahil dapat anda pergi dalam masa sehari dua kan? Dan mesti anda nak berbajet juga supaya dapat enjoy hampir kesemua yang ditawarkan di sini, jadi apa kata anda baca artikel di mana kami senaraikan 25 hotel murah yang menarik di Bali.
Jangan buang masa lagi, duduk beramai-ramai dan bincang dengan keluarga ke mana nak pergi di Bali nanti, pastikan ia menjadi percutian terindah anda sekeluarga!
The post 48 Tempat Menarik Di Bali | Panduan Bercuti Ke Pulau Cinta appeared first on Mai Singgah.


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

https://www.maisinggah.com/tempat-menarik-di-bali/

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Tempat Menarik Di Ipoh Jejak Warisan Concubine Lane Koh Heng Square Dan Bangunan Lama Jadi Tarikan

Tempat Menarik Di Ipoh Jejak Warisan Concubine Lane Koh Heng Square Dan Bangunan Lama Jadi Tarikan

papar berkaitan - pada 15/1/2024 - jumlah : 186 hits
Cadangan anak anak untuk menginap semalam di Ipoh tak dapat dipenuhi walau teringin sangat sebab dah lama tak real holiday dengan bermalam di inap desa atau hotel tapi sejak rutin berubah dah jadi tanggungjawab untuk bonda cadangan terpaksa...
33 Tempat Makan Menarik Di Bangi Restoran Paling Best

33 Tempat Makan Menarik Di Bangi Restoran Paling Best

papar berkaitan - pada 2/1/2024 - jumlah : 250 hits
Apa Sampai 33 kedai makan best dalam satu kawasan Biar betul Ya kami tak tipu sememangnya syurga makanan yang sejati Dari sajian utara ke selatan hidangan timur ke barat semuanya ada di Bangi dan kawasan sekitarnya Sediakan buku nota untuk ...
46 Tempat Menarik Di Kundasang Ranau Percutian Dingin Yang Menyeronokkan

46 Tempat Menarik Di Kundasang Ranau Percutian Dingin Yang Menyeronokkan

papar berkaitan - pada 3/1/2024 - jumlah : 372 hits
Terletak 2000 meter dari aras laut Kundasang adalah sebuah pekan kecil yang cukup istimewa di Negeri Bawah Bayu ini Dikelilingi dengan kehijauan alam yang menyejukkan pandangan mata udaranya juga mendamaikan jiwa Tidak lengkaplah percutian ...
39 Tempat Makan Menarik Di Kuantan Hidangan Lazat Suasana Istimewa

39 Tempat Makan Menarik Di Kuantan Hidangan Lazat Suasana Istimewa

papar berkaitan - pada 2/1/2024 - jumlah : 273 hits
Pahang adalah negeri yang terbesar di antara 14 negeri negeri lain yang terdapat di Malaysia Bukan hanya popular sebagai sebuah negeri yang terbesar dari segi saiz malahan Pahang juga turut terkenal dengan pelbagai aktiviti pelancongan yang...
34 Tempat Makan Menarik Di Seremban Restoran Best Untuk Foodie

34 Tempat Makan Menarik Di Seremban Restoran Best Untuk Foodie

papar berkaitan - pada 2/1/2024 - jumlah : 248 hits
Seremban merupakan sebuah daerah yang cukup terkenal dengan jolokan lubuk makanan orang Nogori untuk diterokai apatah lagi jika anda pertama kali menjejakkan kaki ke Tambahan pula jika anda seorang yang gilakan masakan pedas dan asli maka S...
7 Tempat Makan Menarik Di Setia Alam Restoran Sedap Wajib Cuba

7 Tempat Makan Menarik Di Setia Alam Restoran Sedap Wajib Cuba

papar berkaitan - pada 2/1/2024 - jumlah : 305 hits
Setia Alam merupakan antara bandar yang kian meningkat dari segi pembangunan dan juga populasi penduduk Semakin hari semakin banyak kedai makan dan restoran yang dibuka Mari kami kongsikan antara 7 tempat makan menarik di Setia Alam yang me...
77 Tempat Percutian Menarik Di Malaysia

77 Tempat Percutian Menarik Di Malaysia

papar berkaitan - pada 3/1/2024 - jumlah : 515 hits
Ada tak tempat menarik selain dari hotel yang boleh saya tinggal ketika bercuti nanti Soalan ini sering timbul setiap kali kita merancang percutian Ini kerana selain daripada tempat menarik untuk dilawati tempat yang dipilih untuk menginap ...
32 Tempat Makan Menarik Di Cyberjaya Khas Untuk Pencinta Makanan

32 Tempat Makan Menarik Di Cyberjaya Khas Untuk Pencinta Makanan

papar berkaitan - pada 2/1/2024 - jumlah : 224 hits
Bagi yang bercadang nak ke Cyberjaya hujung minggu ini atau pun sekadar santai membawa diri atau keluarga berjalan pasti tercari cari mana tempat makanan yang sedap dan menarik yang terdapat di Cyberjaya Jangan bimbang kerana di Cyberjaya b...
50 Tempat Makan Menarik Di Kuala Lumpur Restoran Best Di Kl

50 Tempat Makan Menarik Di Kuala Lumpur Restoran Best Di Kl

papar berkaitan - pada 2/1/2024 - jumlah : 189 hits
Kotaraya moden bukan sekadar terkenal dengan menara KLCCnya tapi juga dengan kebanjiran tempat makan yang agak mustahil untuk habis teroka Terlampau banyak dari yang terletak di tengah tengah kota hinggalah yang tersembunyi Yang menariknya ...
Ditch The Cubicle Your Home Office Guide

Scammer Di Facebook

Apa Kuasa Myeg Ke Atas Worldcoin

Major Projects Will Make Sarawak An Asian Economic Force Says Premier

Petua Kesihatan Untuk Orang Yang Sudah Berusia

Derma Jihad Untuk Siti Mastura Cubaan Normalisasi Fitnah Pas Patut Ajar Ahli Parti Dan Pimpinan Pas Jaga Bab Fitnah Ini

Police Arrest Two Over Fight Between Football Fans At Lrt Station

Kural Vista A Luxurious Waterfront Villa By Saota On Palm Jumeirah Dubai


echo '';
Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Curang Tanpa Niat Slot Megadrama Astro Ria

5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton


Doa Untuk Orang Tua Yang Sakit Arab Latin Artinya

Singgah Makan Di Restoran Lemang To Ki Bentong

Presiden Pas Kupas Isu Syria Balah Mazhab Gangguan Seksual Um

Shrink S One Year Suspension Over Lewd Text Shockingly Inadequate Victim

Do Our Infamous Bali Bombers Deserve A Second Chance At Life

Fishing As A Stress Reliever