Zaman Bn Boleh Bagi Subsidi Jemaah Haji Kenapa Ph Pula Mahu Kurangkan Subsidi
 MINDA RAKYAT 

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) mengecam Datuk  Seri Dr. Mujahid Yusof yang didakwa menggunakan istilah Arab dan bermain  dengan kata-kata sahaja untuk melaksanakan pengurangan subsidi kepada  bakal jemaah haji. 
Selama ini, rakyat hanya membayar RM9,980  berbanding kos sebenar RM22,900 untuk membolehkan mereka mengerjakan  ibadah rukun Islam kelima itu. 
Ketua Dewan Pemuda Ikatan,  Shahril Adnan berkata, jika dahulu kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh  menjaga kebajikan umat Islam, kenapa hari ini kerajaan Pakatan Harapan  (PH) pula membebankan. 
Lantaran itu beliau menggesa kerajaan memperhalusi balik keputusan ini kerana keputusan sebegini menekan rakyat. 
“Bagaimanakah  pak cik dan mak cik di kampung hendak mengumpul RM 22,900 di waktu  keadaan ekonomi Malaysia sendiri makin tenat dengan kos sara hidup makin  melambung tinggi. 
“Pak cik dan mak cik di kampung juga tertekan  dengan penurunan harga getah dan kelapa sawit yang mencari punca mata  pencarian mereka. 
“Jika pak cik dan mak cik berjimat dan  menyimpan sebanyak RM 100 sebulan, mereka memerlukan masa menyimpan  selama 229 bulan atau 19 tahun!,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata,  kerajaan akan mengurangkan subsidi Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas  jemaah haji dengan menggunakan konsep “Istito’ah”. 
Konsep berkenaan diperkenalkan bagi mengurangkan bantuan TH kepada jemaah yang akan mengerjakan haji. 
Istito’ah bermaksud seseorang hanya boleh pergi haji dalam keadaan yang mampu. 
Shahril berkata, subsidi perlu terus diberikan kepada rakyat Malaysia untuk pergi mengerjakan haji pertama. 
“Itulah  yang dinamakan kerajaan berkebajikan. Banyak aset TH yang sudah  diletakkan di bawah syarikat bertujuan khas (SPV). Ke manakah perginya  apa jua pulangan dan keuntungan daripada dasar penstrukturan semula  aset-aset TH ini hingga kerajaan masih mahu memeras segalanya daripada  rakyat? 
“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia sekali lagi menggesa YB  Menteri memperhalusi kembali keputusan memotong subsidi haji demi  menjaga kebajikan rakyat, dalam kes ini rakyat yang beragama Islam,”  ujarnya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/zaman-bn-boleh-bagi-subsidi-jemaah-haji.html