Subsidi Haji Panas Kembali
ISMA WEB       
Mujahid kata kerajaan akan kurang kos bantuan pada masa depan

BANGI – Isu subsidi haji kembali menjadi perbualan hangat hari ini, apabila  kerajaan dilaporkan akan mengurangkan beban dihadapi Lembaga Tabung Haji  (TH) ke atas jemaah, pada masa depan.
Kali ini,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid  Yusof Rawa, terus mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kemarahan  umat Islam, dengan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa subsidi haji akan  dikurangkan pada masa depan.
Menjadikan  konsep istito’ah atau ‘kemampuan’ sebagai alasan untuk mengurangkan  subsidi haji yang ditanggung TH, Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata,  kos sebenar haji adalah RM22,900 dan jika jemaah tidak mempunyai wang  sebanyak itu untuk menampung perbelanjaa, bermakna mereka tidak mampu.
“RM22,900,  itu kos sebenar haji. Kalau tidak cukup, dia tidak mampu. Tabung Haji  bantu mengurangkan beban mereka. Tetapi dari sudut keperluan fikah, dia  hanya boleh pergi haji dalam keadaan mampu,” katanya pada sesi  pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga berkata, kemampuan adalah sebahagian syarat melakukan haji iaitu dari aspek kewangan.
Dalam  Islam, mereka yang cukup syaratnya, iaitu berkemampuan, wajib  mengerjakan haji sebagaimana yang dinyatakan dalam Rukun Islam.
Kewajipan mengerjakan haji diterangkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Di situ  ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di  antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya  aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat  haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai  kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu),  maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari  sekalian makhluk.” (Surah Ali Imran: 97)
Tanpa  menjelaskan bila konsep istito’ah itu akan diperkenalkan, Mujahid  berkata, ia akan dilaksanakan pada masa depan bagi mengurangkan beban  peningkatan kos mengerjakan haji yang ditanggung TH setahun ke setahun.
Hasil  carian Ismaweb.net mendapati kempen memperjelaskan konsep istito’ah ini  kepada umat Islam sudah dimulakan sejak pertengahan bulan lalu menerusi  laman Facebook rasmi TH.
Namun, menerusi komen netizen mereka mengatakan semua umat Islam memahami istilah ‘mampu’ untuk mengerjakan haji.
“Ini semua  orang tahu. Sebab itu TH ditubuhkan untuk mengurangkan beban dan  membantu umat Islam Malaysia yang dapat pergi haji dengan mudah. Duit  pendeposit bukan ke boleh dilaburkan untuk menjana keuntungan, jadi  keuntungan itu yang dikembalikan dalam bentuk subsidi haji.
“Kalau  pengurusan sekarang tak mampu buat macam tu, please resign! Kepercayaan  umat Islam terhadap TH semakin terhakis. Dulu satu institusi Islam yang  sangat dibanggakan,” kata seorang pengguna Facebook.
Pada masa  sama, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal  Agama), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap kerajaan tidak sesekali  mempertimbangkan cadangan mengurangkan subsidi haji bagi jemaah muasasah  kali pertama.
Katanya,  menggunakan alasan konsep ‘istito’ah’ atau ‘kemampuan jemaah’ untuk  menghalalkan TH mengurangkan komitmen subsidi yang diberikan selama ini,  bagaikan cubaan melupakan matlamat asal penubuhan TH.
“Sedarlah  bahawa tujuan utama penubuhan TH sejak awal penubuhannya 1969 adalah  untuk membantu memudahkan dan menguruskan segala aspek yang menyentuh  urusan haji rakyat Malaysia.
“Ini  termasuklah berfungsi menguruskan dana umat Islam bagi memperoleh  keuntungan yang membolehkan TH membantu mengurangkan bebanan jemaah  dengan menawarkan perkhidmatan terbaik pada kadar yang terendah,”  katanya mengulas perkembangan terbaharu isu subsidi haji itu dalam satu  kenyataan, hari ini.
Ketua  Pergerakan Pemuda UMNO itu mengimbas isu subsidi haji dengan menjelaskan  bahawa ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, tiga  kali pengurusan TH memohon kepada kerajaan untuk menaikkan caj  mengerjakan haji terhadap jemaah.
Namun,  katanya, ketika itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak tidak  pernah bersetuju dan sentiasa mengingatkan mengenai matlamat penubuhan  TH, malah membantu TH dengan memberikan peluang perniagaan, pelaburan  dalam pelbagai sektor, termasuk hartanah bagi memastikan TH mempunyai  kekuatan kewangan yang mantap dan memperoleh keuntungan optimum bagi  meneruskan usaha membantu rakyat, khususnya jemaah Haji.
“Apakah  kenyataan YB Dr. Mujahid yang terbaru ini memberikan indikasi bahawa  kerajaan PH tidak lagi mahu membantu TH mengembangkan perniagaan mereka?
“Atau,  apakah ini juga memberikan isyarat kegagalan penstrukturan semula TH,  termasuk kesilapan keputusan penjualan aset-aset strategiknya kepada SPV  di bawah Kementerian Kewangan yang bernilai RM19.9 billion?,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/subsidi-haji-panas-kembali.html