Wawasan 2020 Akhir Sebuah Impian
WAN HAMIDI HAMID    ULASAN | Ketika Dr  Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 pada 1991, saya sebagai  seorang wartawan yang makan gaji dengan sebuah akhbar prokerajaan BN  memandangnya dengan sinis
Bukan kerana saya berasa diri hebat  atau berilmu tinggi, cuma memang pesisme saya tidak pernah yakin dengan  idealisme Umno-BN. Apatah lagi apabila ia mahu melahirkan satu Bangsa  Malaysia yang bersatu padu.
Saya pesimis dengan wawasan itu kerana  tidak yakin ia mampu mengubah struktur negara. Wawasan 2020 lahir  selepas tamatnya tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1990.
Maksudnya  DEB yang dijelmakan sebagai hak Melayu (walaupun matlamatnya adalah  untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan) secara  tiba-tiba mahu ditinggalkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang  rakyatnya (mungkin) setara dan berpeluang saksama. 
Namun,  dalam pesisisme itu, saya turut meraih nikmat pertumbuhan ekonomi dekad  1990-an.
 Memang malu juga mahu mengakuinya, tetapi itulah hakikatnya.
Secara  peribadi, perkembangan ekonomi dan kekuatan ringgit  membolehkan saya  berbelanja mewah membeli buku dan majalah luar negara, serta barangan  import lain dengan harga mampu milik.
Pada masa itu nilai AS$1  bersamaan RM2.5 manakala £1 setara RM3.8 dan S$1 bersamaan RM1.5 –  walaupun gaji zaman itu tidaklah sebesar mana pun.
Jadi contoh negara membangun
Kini,  melihat kembali wawasan Dr Mahathir itu, semuanya hanya tinggal impian.  Sama ada saya betul atau tidak (kerana pesimisme diri), yang jelas kita  bukan sahaja gagal mencapai matlamat wawasan tersebut, malah kita  semakin berundur ke arah curiga antara satu sama lain, benci sesama  sendiri, dan semakin tidak bermoral dalam aspek rasuah, korupsi dan  salah guna kuasa.
Matlamat dan cabaran Wawasan 2020 semakin jauh  kita tinggalkan. Sama ada kita cipta wawasan lain untuk tahun 2030, 2040  atau 2050, ia sudah tidak memberi banyak makna lagi kerana matlamat  asas Bangsa Malaysia sudah kita bakul sampahkan.
Antara matlamat utama Wawasan 2020 yang jauh ditinggalkan itu ialah cita-cita murni menjadikan Malaysia sebagai “sebuah  negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup  dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri  daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan  dedikasi kepada negara”.
Juga tiada lagi impian untuk mewujudkan “masyarakat  demokratik yang matang, yang mengamalkan demokrasi Malaysia yang  mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi  contoh kepada beberapa banyak negara membangun”.

Apa lagi harapan untuk melahirkan sebuah “masyarakat  liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas  mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa  sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara”.
Sudah tiada lagi.
Malah, dari sudut ekonomi, tiada lagi impian untuk “memastikan  masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi... yang melaksanakan  pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama dengan wujudnya  perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi” dan “masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental”.
Kita  sekarang seperti kehilangan arah. Kita mudah tergoda dengan imej-imej  agama dan kaum daripada pengisian serta maknanya. Kita berbalah dan  bertegang leher, malah sanggup mencabar ke arah keganasan atas jenama,  lambang dan simbol.
Barang jadi mahal
Hanya  kulit menjadi pujaan kerana isi sudah lama hilang. Ia seperti tidak  ramai yang pedulikan spesies Harimau Malaya yang bakal pupus tidak lama  lagi kerana kita lebih sayangkan gambar, imej dan simbolismenya  berbanding benar-benar memulihara hidupan liar yang terancam itu.
Dengan  atau tanpa sebarang wawasan, 2020 telah pun tiba - sama ada kita  bersedia atau tidak. Saya masih kekal pesimis dan sinis.
Memang  saya sendiri tidak suka dengan perangai ini tetapi sukar untuk  membuangnya. Mungkin saya boleh berazam untuk lebih positif sempena  tahun dan dekad baru ini, tetapi itu juga sekadar angan-angan

Sementara  itu, nilai ringgit untuk hari ini adalah AS$1 bersamaan RM4.1 manakala  £1 bersamaan RM5.4, manakala di seberang Tambah Johor, S$1 bersamaan  RM3.0.
Saya pun jarang lagi membeli majalah antarabangsa kerana  ia kini menjadi terlalu mahal. Kos sara hidup semakin meningkat manakala  gaji masih di takuk lama.
Dan ini bukan soal parti politik mana yang memerintah atau membangkang.
Ini  bukan kisah orang lain. Ini adalah cerita tentang diri kita sendiri.  Sama ada saya pesimis atau optimis, beginilah realitinya. Sama ada mahu  hidup benci-membenci atau bantu-membantu, itu pilihan peribadi. Tiada  apa yang akan berubah jika kita terus kaku dan bisu.
Kalau setakat  pandai mencari kesalahan, kekhilafan dan kesilapan orang lain, memang  kita adalah juara. Saya sendiri pun dengan sedihnya terpaksa mengaku ada  “kepandaian” ini.
Persoalannya, selepas daripada itu, apa? Tepuk dada tanya selera, ukur baju di badan sendiri.
WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, kolumnis, pemerhati politik dan penggemar muzik.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/wawasan-2020-akhir-sebuah-impian.html