Jasa Besar Dr Yahya Awang Diiktiraf Terima Ijazah Doktor Kehormat Universiti Monash
KUALA LUMPUR – Tokoh kardiotorasik negara, Tan Sri Dr Yahya Awang, hari ini menerima Ijazah Doktor Undang-Undang (Doktor Kehormat) daripada Universiti Monash sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang kardiotorasik, termasuk peranan penting dalam penubuhan Institut Jantung Negara (IJN).
Ijazah kehormat itu disampaikan oleh Ahli Majlis Universiti Monash merangkap Dekan Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan, Kejururawatan dan Sains Kesihatan, Profesor Wayne Hodgson, yang mempengerusikan majlis penganugerahan bagi pihak Majlis Universiti.
Penganugerahan tersebut berlangsung dalam satu majlis khas bersempena pelancaran buku memoir tulisan Dr Yahya berjudul Heart to Heart, yang merakam perjalanan hidup serta sumbangan beliau kepada dunia perubatan negara.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama isteri Tun Dr Hasmah Mohd Ali selaku tetamu kehormat.
Sementara itu, menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan majlis berkenaan sebagai satu detik yang amat bermakna buat keluarganya.
“Hari yang bermakna buat kami sekeluarga. Berbangga menyaksikan pelancaran memoir Heart To Heart oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengangkat perjalanan hidup dan jasa abang ipar saya, Tan Sri Dr Yahya Awang — legenda Institut Jantung Negara dan tokoh kardiotorasik negara,” tulisnya.
Kisah Jasa Dr Yahya Undang Sebak Netizen
Di ruangan komen, ramai netizen berkongsi pengalaman peribadi dan meluahkan rasa terharu terhadap jasa besar Dr Yahya Awang yang disifatkan sebagai penyelamat nyawa.
Antara yang mencuri perhatian, ada yang mengimbau keberanian Dr Yahya ketika masih muda apabila diberi kepercayaan melakukan pembedahan jantung ke atas Perdana Menteri ketika itu, selain ramai pesakit tampil menceritakan bagaimana beliau sendiri pernah menjalani pembedahan jantung di tangan tokoh berkenaan.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah, Dr Yahya membuat pembedahan jantung ayah saya dan ayah kini sihat,” kata seorang netizen.
Seorang lagi berkongsi, “Tan Sri Dr Yahya pernah melakukan pembedahan jantung saya sebelum IJN wujud. Jasa beliau memang tak akan dilupakan.”
Turut mengundang sebak ialah perkongsian seorang individu yang menceritakan bagaimana Dr Yahya menyelamatkan nyawa suaminya pada tahun 2007 melalui pembedahan aortic dissection di KPJ Damansara, pada waktu yang sama beliau juga menjalankan pembedahan ke atas Tun Dr Mahathir di IJN.
Rata-rata netizen mendoakan agar Tan Sri Dr Yahya Awang terus dikurniakan kesihatan yang baik serta dipanjangkan usia, sambil menyifatkan beliau sebagai antara tokoh perubatan negara yang jasanya kekal terpahat dalam sejarah dan hati rakyat. – The Malaysian Update
The post Jasa Besar Dr Yahya Awang Diiktiraf, Terima Ijazah Doktor Kehormat Universiti Monash appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/15/jasa-besar-dr-yahya-awang-diiktiraf-terima-ijazah-doktor-kehormat-universiti-monash/