Umno Tolak Syor Rais Cadang Semula Darurat Kepada Agong
 Senior Editor     MINDA RAKYAT  

Umno  menolak syor Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim supaya kerajaan  mencadangkan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan  darurat.Seorang anggota majlis tertinggi (MT) Umno yang enggan  namanya disiarkan berkata, usaha mendapatkan pengisytiharan darurat  sekali lagi adalah tidak selaras dengan pendirian parti itu.
"Tindakan  Speaker Dewan Negara Rais Yatim yang meminta kerajaan meneruskan  cadangan darurat adalah satu tindakan yang tidak mementingkan rakyat.
"MT  tegas untuk menolak mana-mana tindakan yang akan menjejaskan  keselamatan rakyat dan patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia," kata  pemimpin berkenaan.
Semalam Rais dalam satu laporan yang disiarkan Utusan Malaysia mengesyorkan  agar pelaksanaan darurat di kawasan terlibat kes Covid-19 dicadangkan  sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Sultan  Ahmad Shah.
Rais berkata, sangat mustahak untuk rakyat menghormati  keputusan Seri Paduka yang menolak cadangan tersebut tetapi penting  juga untuk mengasingkan antara isu kesihatan dan politik.
“Dengan  keadaan pandemik Covid-19 yang meningkat serta situasi ekonomi rakyat  yang terhimpit, amat wajar kiranya pihak berkuasa menyembah jelaskan  kepada Seri Paduka sekali lagi agar menerima apa-apa fakta tambahan  daripada pihak berkuasa.
“Rakyat harus menghormati titah Seri  Paduka tempoh hari, bagaimanapun kehendak Perkara 40 itu perlu dipatuhi  walaupun bersyarat. Moga langkah-langkah wajar kerajaan dalam konteks  pentadbiran darurat tidak disalahertikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Perkara  40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang diPertuan Agong  mesti bertindak atas nasihat kabinet kecuali jika diperuntukkan oleh  perlembagaan.
Rais mengatakan perkara itu jelas dan tidak memerlukan "interpretasi yang bukan-bukan".
Bagaimanapun  pengkritik berkata Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan harus dibaca  bersama dengan Perkara 150 (1) yang mengatakan Agong harus berpuas hati  bahawa ada keperluan untuk meminta darurat.
Semalam presiden Umno,  Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata "Umno tidak akan teragak-agak  untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-raja  dan kepentingan rakyat."
Ditanya apakah 'tindakan tegas' berkenan, sumber tersebut menjawab: "Ada banyak option kalau kerajaan tidak menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia".
Umno  sebelum ini mempertimbangkan untuk menarik sokongan kepada kerajaan  Perikatan Nasional susulan hubungan yang tegang dalam gabungan itu.
Minggu  lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong  bagi meminta darurat diisytiharkan, yang dikatakan bagi menangani wabak  Covid-19.
Bagaimanapun, pembangkang berpendapat langkah itu  bertujuan mengelakkan kerajaan tewas dalam undi Belanjawan 2021 yang  akan dibentangkan di parlimen bulan depan. 
Pada masa ini  Muhyiddin mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat dan sekiranya  Belanjawan gagal diluluskan, keadaan itu boleh menyebabkan kerajaan  tumbang dan pilihan raya mengejut diadakan.
Setiausaha Agung BN,  Annuar Musa sebelum ini memberi bayangan bahawa darurat adalah jalan  terbaik untuk mengelakkan PRU ketika wabak Covid-19 sedang melanda  negara.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/umno-tolak-syor-rais-cadang-semula.html