Sabah Beri Tempoh Sebulan Vaksin Pekerja Pasar Raya Restoran
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi tempoh selama sebulan kepada pekerja pasar raya dan restoran divaksin sebelum menguat kuasakan sepenuhnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.
Penguat kuasaan ini merujuk kepada langkah membenarkan pekerja dan pelanggan sudah lengkap divaksin sahaja memasuki pasar raya dan restoran.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pada peringkat awal ini, penguat kuasaan SOP bagi pasar raya dan restoran lebih berbentuk pendidikan dan peringatan, bukan bertujuan mengenakan penalti.
“Justeru itu, kita berharap semua yang terlibat dalam sektor ini akan memperolehi vaksin lengkap dalam masa sebulan. Penguat kuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masidi berkata, beliau faham ada di antara pekerja di pasar raya dan restoran belum menerima vaksin atau belum lengkap divaksin.
Maka, beliau menasihatkan agar semua pekerja yang belum divaksin supaya segera berbuat demikian di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat.
Bagi pekerja-pekerja pasar raya, restoran dan hotel di sekitar bandar raya ini, mereka boleh datang secara walk-in ke PPV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) untuk vaksinasi.
Jelas beliau, ketetapan SOP sebegini dilakukan setelah mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 di Sabah yang mencatatkan kes yang tinggi setiap hari. Hari ini sahaja, Sabah mencatatkan sebanyak 1,654 kes positif Covid-19.
Maka, perlu bagi kerajaan negeri untuk mengambil apa juga tindakan bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.
“Kerajaan negeri melihat tindakan menguat kuasakan SOP baharu di pasar raya dan restoran adalah sebahagian daripada langkah-langkah tersebut.
“Usaha ini bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dalam ruang perniagaan. Ini akan memberi manfaat dan jaminan kesihatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga pelanggan.
“Langkah ini akan membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 semasa berada di pasar raya dan restoran,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sabahup2date.blogspot.com/2021/08/sabah-beri-tempoh-sebulan-vaksin.html