Gunakan Tempoh Sebulan Untuk Stabilkan Negara Kata Menteri Ekonomi
AGENDA DAILY
Semua pihak digesa bersatu padu untuk mengembalikan kestabilan negara bagi memastikan iklim pelaburan negara lebih kukuh.
Semua pihak termasuk ahli-ahli politik tanpa mengira latar belakang parti perlu menggunakan tempoh sebulan ini sebelum Parlimen bersidang dengan sebaik mungkin untuk mengembalikan kestabilan negara, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa berkata hanya dengan kestabilan politik ia dapat mengembalikan iklim pelaburan yang kukuh dan memastikan negara menjadi destinasi utama pelaburan dari dalam dan luar negara yang merupakan salah satu prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Katanya pelaburan adalah di antara pemangkin kepada pemulihan ekonomi yang dapat menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan meningkatkan eksport.
“Oleh itu, seluruh rakyat khususnya pemimpin-pemimpin politik perlu mencari titik pertemuan dan kebersamaan di bawah kepemimipinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri.
Marilah kita bekerja sebagai satu pasukan demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak cucu kita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata kekuatan utama Malaysia sejak merdeka ialah kestabilan politik yang telah membolehkan negara ini mencapai kejayaan membanggakan dalam pelbagai bidang.
Justeru bagi memastikan Malaysia terus mencatatkan kejayaan, katanya keamanan dan kestabilan politik amat diperlukan.
Menurut Mustapa, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara maju.
“Kita mempunyai pelbagai sumber dan modal insan yang berkualiti. Untuk mencapai matlamat sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu mengembleng seluruh tenaga dan buah fikiran mewakili pelbagai sektor, bagi menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang tidak pernah kita alami,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/gunakan-tempoh-sebulan-untuk-stabilkan.html