Ramai Naik Angin Tengok Harga Barang
Oleh Teon Eg 
Bawang melambung mana Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Penguna (KPDNHEP). Adakah kerajaan perlu lantik Menteri Bawang, baru  masalah ini boleh diselesaikan.
Itu antara gelagat seorang wanita dipercayai suri rumah yang `naik  angin’ ketika melihat tanda harga bawang ros kecil sebungkus RM8.90 di  sebuah pasar raya di Selangor dua hari lalu. Berat bawang tersebut  sekitar 500 gram. Jika sekilogram sudah tentu harganya RM17.80.
Cetusan rasa tersebut rasanya bukan hanya membabitkan wanita itu  tetapi ia mewakili hampir semua penduduk Malaysia. Turut terbeban sudah  tentu pemilik restoran mahupun peniaga makanan kecil-kecilan. Jadi  sebenarnya ramai yang `naik angin’ apabila ternampak harga bawang dan  juga harga barang lain yang ketika ini melambung-lambung.
Harga bawang ros kecil sebelum September sekitar RM4 hingga RM6  tetapi selepas itu melambung sampai ada mendakwa mencecah RM21. Rungutan  mengenai harga bawang juga semakin kedengaran susulan kedatangan  Krismas minggu depan. Belum lagi kita merenung sehingga menjelang  sambutan Tahun Baru Cina pada Februari 2021.
Bawang tidak kira membabitkan etnik apa, setiap masakan memerlukan  bawang. Jadi adalah rasional jika wanita di pasar raya tersebut `bising’  sehingga menyindir kerajaan melantik Menteri Bawang.
Sebelum ini, bawang ros paling laris digunakan suri rumah dan  pengusaha restoran kerana harganya murah berbanding bawang Siam sekitar  RM9 hingga RM14 sekilogram. Namun sejak kenaikan harga bawang ros,  bawang Siam juga semakin mahal sekitar RM3 hingga RM5 bagi setiap  sekilogram.
Menyelami harga barang, sebenarnya barang basah lain termasuk cili  iaitu cili merah besar, cili merah kecil dan cili hijau juga tidak  terkecuali. Kseimpulannya kenaikan harga barang-barang tersebut  membuatkan orang ramai semakin terhimpit.
Daripada bawang, kini harga cili naik masing-masing melebihi RM20  sekilogram. Bukan itu sahaja, cili kering turut terkesan yang kini  sekitar RM15 hingga RM18 sekilogram. Sebelum ini, harga semua cili segar  gred sederhana bawah RM18 sekilogram manakala cili kering sekitar RM10  hingga RM14 sekilogram.
Justeru, pengguna sudah tentu mencari mana kerajaan atau lebih dekat  dengan isu tersebut KPDNHEP. Tugas KPDNHEP jangan hanya nampak sempurna  ketika mengiystiharkan senarai harga barang kawalan setiap kali  menjelang perayaan.
Jika harga barang dan ditambah lagi harga petrol berterusan naik  macam mana lagi cara rakyat berpendapatan sederhana mahu merancang  kehidupan ditengah-tengah Covid-19 belum reda.
KPDNHEP kena  agresif menjaga nasib rakyat dan jangan memberi jawapan  akan dipantau atau akan diselesaikan kerana jawapan tersebut sangat  membosankan.
(*) Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/ramai-naik-angin-tengok-harga-barang.html