Harga Sayur Diakui Naik
Oleh AMREE AHMAD

 ISKANDAR  Halim Sulaiman (kiri) mengetip kad perakam waktu pada hari terakhir  beliau bertugas di Putrajaya hari ini. Yang turut hadir Alexander Nanta  Linggi (dua kiri). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFAPUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Pengguna meminta orang ramai agar ‘bersabar dalam masa terdekat ini’  susulan kenaikan harga sayur di pasaran.
Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata,  pihak kementerian sememangnya memantau perubahan harga runcit sayur dan  mengakui ada peningkatan dikesan.
“Namun, kita sentiasa bekerjasama dan mendapat maklumat daripada  Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi mengetahui punca sebenar  isu kenaikan itu,” katanya dalam sidang akhbar khas sempena meraikan  persaraan beliau di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Kelmarin, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaporkan  kenaikan harga 67 peratus bagi daun sup dan 25 peratus daun bawang di  Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.
Turut melonjak tinggi ialah ubi kentang Holland apabila harganya  dikesan melambung cecah 33 peratus manakala bayam menokok sebanyak 17  peratus di Pasar Borong Kuala Lumpur.
Peningkatan harga sayur turut dilaporkan berlaku di banyak negeri  apabila peniaga terpaksa menaikkan harga runcit disebabkan pembekal  sudah bertindak menjualnya pada harga tinggi.
Iskandar Halim berkata, setakat ini kementerian itu mendapati isu  kenaikan tersebut lebih bersifat sementara ekoran hujan lebat disebabkan  musim tengkujuh akhir tahun.
“Senario ini memang biasanya berlaku dan mungkin menjadi punca harga  sayur naik apabila bekalan kurang terutama dari pengeluar di Cameron  Highlands, Pahang,” jelasnya.
Untuk itu beliau menyeru kerjasama semua pihak supaya bersabar  sepanjang tempoh kekurangan sayur di pasaran ketika ini kerana keadaan  sebenarnya masih lagi terkawal. – UTUSAN ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/harga-sayur-diakui-naik.html