Pelarasan Tarif Baharu Air Bukan Langkah Popular Tetapi Satu Keperluan Tidak Dapat Di Elakkan
Pelarasan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Labuan membabitkan kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari ini bukan langkah popular, tetapi keperluan tidak dapat dielakkan.
Apatah lagi ada tarif ditetapkan operator air negeri sudah 40 tahun tidak disemak atau dikaji semula sedangkan kos penyediaan perkhidmatan bekalan meningkat hingga RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.
Ini boleh menjejaskan kemampanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang yang akhirnya terpaksa ditanggung rakyat sendiri sebagai pengguna akhir sama ada dari segi mutu air terawat atau gangguan bekalan.
Justeru, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan kadar pelarasan tarif air baharu itu tidak dibuat secara sewenang-wenang, sebaliknya atas permintaan operator pembekalan dan negeri bagi meningkatkan perkhidmatan untuk manfaat rakyat.
Bagaimanapun atas tanggungjawab mewakili rakyat, kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jika gagal dipatuhi boleh mengakibatkan tindakan dikenakan termasuk penarikan semula lesen, selain denda.
Kita mengingatkan syarikat operator pembekalan dan negeri bahawa kenaikan tarif bukanlah sekadar alasan meningkatkan keuntungan tanpa memberikan perkhidmatan setara, sebaliknya mereka perlu membuktikannya dengan memberikan perkhidmatan terbaik.
Apatah lagi di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM), tarif air itu akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran. Kita meminta operator air bersedia membuat pelaburan berterusan membangunkan infrastruktur seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air dan menggantikan paip usang.
Dalam hal ini, kerjasama strategik dengan universiti dan institusi Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peningkatan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) wajar dibuat bukan sahaja untuk penghasilan teknologi lebih moden selaras kemajuan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), bahkan lestari dan hijau.
Kepada pengguna pula, kita meminta mereka lebih berperanan dalam memastikan keberkesanan pengurusan air dengan menggunakannya secara berhemat dan bijak. Ini termasuk aplikasi produk cekap air dan pemasangan sistem penuaian air hujan serta kitar semula air untuk kegunaan bukan minuman yang dapat membantu mengurangkan tekanan ke atas bekalan air.
Malah, orang ramai boleh terbabit secara aktif dalam pemantauan penggunaan air melalui audit air kendiri yang menjadi asas pengurusan lebih berkesan pada peringkat isi rumah.
Hakikatnya, kenaikan tarif air bukanlah persoalan kewangan semata-mata sama ada daripada perspektif negara, korporat atau rakyat, sebaliknya ia peluang untuk mengubah dan memajukan landskap pengurusan air negara.
Semua pihak sama ada kerajaan, operator atau pengguna, perlu melaksana peranan dengan penuh tanggungjawab dan sepakat untuk mencapai keseimbangan pintar antara keperluan kewangan dengan kepentingan rakyat, sekali gus mencipta sistem pengurusan air lebih efisien, berkesan dan lestari. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.pahangdaily.net/2024/01/pelarasan-tarif-baharu-air-bukan.html