Pas Tidak Diperlu Damaikan Umno Ppbm
PAS telah memilih Perikatan Nasional (PN) daripada mengutamakan Muafakat Nasional (MN). Kepimpinan PAS juga telah menetapkan bahawa ahlinya akan mengundi PN dan bukan Barisan Nasional (BN).
UMNO menerima keputusan itu dengan berlapang dada. UMNO tegas dengan pendirianya untuk bertanding atas tiket BN secara sendirian.
Jelas sekali bahawa MN tidak mudah dioperasikan. Keputusan PAS bermakna MN itu hanya wujud pada nama, tidak pada semangatnya.
Laungan MN demi perpaduan ummah hanyalah halwa telinga. Hakikatnya, dalam politik, pelbagai kepentingan lain adalah keutamaan.
UMNO tegas untuk tidak bekerjsama dengan PPBM bukan kerana ia membelakangkan kepentingan ummah dan bangsa Melayu.
Tetapi kerana PPBM itu dibidani kelahirannya untuk mengganti UMNO. Ia secara terang dan jelas, seteru UMNO.
PAS wajar mengerti kedudukan ini. Kerana itu UMNO tidak memerlukan PAS untuk mendamaikan ia dengan PPBM.
Seperti UMNO juga tidak pernah mengusahakan damai antara PAS dan Amanah demi kepentingan ummah kerana UMNO tahu sejarah keduanya.
PAS tidak boleh mengikat UMNO dengan MN dan pada masa yang sama mendambakan PN. PAS wajar terus dengan PN kerana ia tidak boleh terus keliru dengan apa yang ia kehendaki.
Dalam politik, tiada parti yang patut mencari keuntungan dari pelbagai pihak, dalam pelbagai keadaan dan pada setiap masa.
Keputusan PAS sebenarnya memberikan UMNO ruang dan peluang untuk kembali kepada BN yang sederhana, multicultural dan progresif. Ia tidak lagi terbelenggu dengan sesiapa, bebas mencorakkan jalan kehadapanya.
Kerana UMNO sedar, jalan kemenangan ialah sokongan semua kaum dan bukan hanya Melayu. Kerjasama parti Melayu bukan satu-satunya jalan untuk menguasai kerajaan.
Dalam politik yang telah sangat ‘disruptive’, kemenangan akan banyak bergantung kepada tawaran dasar yang lebih baik, kepimpinan yang lebih dinamik, rencana ekonomi yang lebih lestari dan rencam generasi muda yang mesti difahami.
Jika hanya mencongak jumlah undi UMNO, PAS dan PPBM itu sebagai tanda aras kemenangan, maka sangat lah simplistik. Politik Malaysia bukan sebegitu simplistik.
Kerana rumitnya politik itulah, maka BN adalah taruhan terbaik UMNO untuk Malaysia. Yang lain hanya sampingan.
Datuk Seri Mohamed Khaled NordinNaib Presiden UMNO
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://lokmanismail.blogspot.com/2021/11/swd.html