Malaysia Rekod 198 992 Kematian Pada 2024 Ischaemic Heart Diseases Punca Utama
Malaysia Rekod 198,992 Kematian Pada 2024, “Ischaemic Heart Diseases” Punca Utama
PUTRAJAYA, 18 DISEMBER 2025 – Sebanyak 198,992 kematian direkodkan pada 2024 yang mana 133,844 (67.3%) adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan dan 65,148 (32.7%) adalah sebab kematian yang tidak disahkan secara perubatan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Ischaemic heart diseases terus menjadi sebab kematian utama di Malaysia pada 2024 dengan 17,421 kematian atau 13.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.
Menurutnya, bilangan kematian disahkan secara perubatan meningkat daripada 60.7 peratus (119,652 kematian) kepada 67.3 peratus (133,844 kematian) pada 2024.
Data ini dikeluarkan menerusi laporan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia, 2025 dengan menggunakan International Statistical Classification of Diseases and Related Health Problems, 11th Revision (ICD-11) yang diterbitkan oleh World Health Organization (2022).
“Malaysia merupakan salah satu di antara negara terawal di rantau Asia-Pasifik yang menerbitkan statistik sebab kematian menggunakan ICD-11.
“Laporan ini membentangkan statistik punca kematian di Malaysia bagi tahun 2024 mengikut ciri demografi di peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.
“Statistik ini menjadi input utama untuk penggubalan dasar kesihatan, perancangan program, rujukan penyelidikan serta penilaian keberkesanan sistem kesihatan, pengagihan sumber yang lebih bersasar dan usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 12,112 kematian lelaki (15.3%) adalah disebabkan oleh Ischaemic heart diseases, manakala sebab kematian utama bagi perempuan adalah Pneumonia iaitu 6,776 (12.4%).
“Ischaemic heart diseases juga merupakan sebab kematian utama bagi etnik Melayu dan etnik India masing-masing merekodkan 10,291 kematian (13.9%) dan 2,161 kematian (17.6%) pada 2024. Sementara itu, etnik Cina dan Bumiputera Lain masing-masing merekodkan Pneumonia sebagai sebab kematian utama iaitu 4,231 kematian (12.7%) dan 1,016 kematian (9.7%)”.
BACA JUGA: 10 Daerah Di Malaysia Muncul Daerah Menua Baharu Pada 2025 – DOSM
“Selain itu, Pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di Malaysia dengan 15,332 kematian atau 11.5 peratus diikuti Diabetes mellitus (6,929 kematian; 5.2%) dan Transport accidents (4,428 kematian; 3.3%).
“Statistik juga menunjukkan bahawa kematian yang disebabkan oleh Neoplasms (Cancer) meningkat sejak tahun 2001 daripada 5,231 kematian kepada 19,180 kematian pada 2024.
“Malignant neoplasms of digestive organs merekodkan kematian tertinggi berbanding kanser lain iaitu 5,825 kematian, diikuti oleh Malignant neoplasms of middle ear, respiratory or intrathoracic organs (2,987 kematian) dan Malignant neoplasms of breast (2,173 kematian),” katanya.
Tambahnya lagi, kematian disebabkan Ischaemic heart diseases dipengaruhi terutamanya oleh amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat.
Ia disokong oleh kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Ischaemic heart diseases berlaku apabila saluran darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh plak kolesterol.
Faktor risiko utama penyebab penyakit ini adalah termasuk merokok, paras kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes dan faktor usia. Selain itu, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi seperti obesiti, kurang menjalankan aktiviti fizikal dan sejarah keluarga.
Kematian Pneumonia adalah disumbangkan oleh kesan pasca pandemik di mana jangkitan paru-paru dalam komuniti terutama bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dan masalah kesihatan sedia ada. Selain Ischaemic heart diseases dan Pneumonia, beberapa penyakit tidak berjangkit lain seperti Diabetes mellitus dan Kidney failure turut disebabkan oleh amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat.
Ketua Perangkawan turut berkata, sebab kematian utama bagi penduduk berumur 60 tahun dan lebih dan 0-14 tahun adalah Pneumonia yang masing-masing merekodkan 11,989 kematian (13.9%) dan 244 kematian (5.6%).
Selain itu, Transport accidents merupakan sebab kematian utama bagi penduduk berumur 15-40 tahun yang merekodkan 2,547 kematian (20.0%), manakala penduduk berumur 41-59 tahun merekodkan Ischaemic heart diseases pada 17.6 peratus (5,380 kematian).
Mengulas lanjut, 13 negeri di Malaysia merekodkan Ischaemic heart diseases sebagai sebab kematian utama manakala tiga negeri lain iaitu Perak, Sabah dan Sarawak merekodkan Pneumonia sebagai sebab kematian utama. Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi bagi Ischaemic heart diseases iaitu 3,038 kematian diikuti oleh Johor (2,620 kematian) dan Kedah (2,349 kematian).
Laporan ini turut membentangkan sebab kematian utama di peringkat daerah pentadbiran di Malaysia. Ischaemic heart diseases merupakan sebab kematian utama di 79 daerah pentadbiran (50.6%) daripada 156 daerah pentadbiran.
Sementara itu, Pneumonia merupakan sebab kematian utama bagi 67 daerah pentadbiran yang lain (42.9%). Selain itu, lima daerah lagi merekodkan Diabetes Mellitus sebagai sebab kematian utama. Manakala, Kidney failure dan Heart failure masing-masing direkodkan sebagai sebab kematian utama di dua daerah. Metabolic disorders menjadi sebab kematian utama di satu daerah.
Ketua Perangkawan berkata, di kalangan negara terpilih, Heart diseases merupakan sebab kematian utama bagi United States of America dan Australia pada 2023. Sementara itu, Republic of Korea, Japan, Canada dan Singapore merekodkan Cancer sebagai sebab kematian utama pada tahun yang sama. United Kingdom menunjukkan trend yang berbeza iaitu Dementia and Alzheimer diseases direkodkan sebagai sebab kematian utama pada 2023.
Malaysia buat julung kalinya telah menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain. Pencapaian ini merupakan lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.
“OpenDOSM NextGen adalah medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my,” kata kenyataan itu lagi.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia
The post Malaysia Rekod 198,992 Kematian Pada 2024, “Ischaemic Heart Diseases” Punca Utama appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/18/malaysia-rekod-198992-kematian-pada-2024-ischaemic-heart-diseases-punca-utama/