Najib Dan 39 Ahli Parlimen Bn Masih Sokong Kerajaan Pn Dipimpin Muhyiddin
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal mendapat sokongan 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional.
									 							 					 						Sebanyak 40 orang Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)  termasuk Datuk Seri Najib Razak masih setia kekal menyokong kerajaan  Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin  Yassin.
Pendirian tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan dikeluarkan  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas  mengadakan pertemuan dengan semua MP BN hari ini.
Kenyataan tersebut berkata:
Saya telah mempengerusikan satu perjumpaan bersama seramai 40 orang  Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional. Hasil daripada perjumpaan ini  adalah seperti berikut:
(i) Menjunjung kasih akan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah; dan
(ii) Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional sebulat suara menyokong Kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin; dan
(iii) Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional juga akur dengan titah  KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan  keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
Sebelum itu, Ismail Sabri juga menegaskan kerajaan PN masih mendapat  sokongan melebihi 110 Ahli Parlimen, ia selepas timbul polemik berhubung  kedudukan kerajaan dalam Dewan Rakyat ekoran kenyataan Istana Negara.
Terdahulu, PAS juga menyatakan pendirian sama mengekalkan sokongan  kepada Muhyiddin dan kerajaan PN, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri  Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.
Awal hari ini, kontroversi tercetus semasa sidang Dewan Rakyat  selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan  kenyataan Yang di-Pertuan Agong yang dimuat naik dalam laman Facebook  Istana Negara.
Susulan kenyataan tersebut, sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan  selepas timbul kes jangkitan Covid-19 yang dikesan berlaku dalam  Parlimen dan ujian saringan dijalankan kepada semua Ahli Parlimen dan  petugas yang berada di kawasan Parlimen. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/najib-dan-39-ahli-parlimen-bn-masih.html