Kisah Raja Muda Nak Cari Isteri
Gambar hiasan hasil carian Google.
Tersebutlah kisah seorang Raja Muda yang sangat tampan dan baik budi pekerti di sebuah negeri ingin beristeri. Hajat itu disampaikan kepada ayahandanya serta menyerahkan kepada ayahandanya untuk mencarikan calon yang sesuai untuknya. Ayahandanya sungguh gembira mendengar keinginan anakandanya itu.
Lalu ayahandanya yang bijaksana dan sangat disayangi rakyat jelata membuat pemakluman kepada seluruh isi negeri mempelawa sesiapa yang sudi menjadi isteri Raja Muda supaya hadir ke istana pada hari yang ditetapkan untuk dilihat dan ditemubual oleh Sang Raja. Sebelum itu baginda telah menitahkan Mamak Bendahara menyediakan satu raga besar buah mangga muda yang masam rasanya. Raja Muda tertanya-tanya dalam hati akan tujuan ayahandanya menyediakan buah mangga muda itu, tetapi dia tidak berani bertanyakan hal itu kepada ayahandanya.
Pada hari yang ditetapkan, berduyun-duyunlah anak gadis dari seluruh pelusuk negeri hadir untuk ditemubual. Setiap calon dipanggil masuk ke dalam istana seorang demi seorang untuk melalui proses pemilihan. Adapun Raja dan Raja Muda pagi-pagi lagi sudah bersedia untuk bertemu dan menemuduga calon-calon yang datang. Sebelumnya Raja telah berpesan kepada anakandanya supaya duduk diam-diam sebagai pemerhati di sebelahnya.
Setiap calon disuruh mengambil sebiji mangga muda yang telah disediakan dalam raga yang diletakkan berhampiran. Kemudian mereka dipersilakan duduk dan makan buah mangga itu sampai habis dan mereka diminta memberitahu Raja akan rasa buah mangga itu. Sang Raja berbisik kepada anakandanya, jika ada calon yang mengatakan buah mangga itu manis, maka dia layak dipertimbangakan untuk menjadi isteri si Raja Muda.
Dipendekkan cerita, semua calon yang telah memakannya berkerut muka dan mengatakan buah mangga itu masam. Calon yang menunggu hanya tinggal seorang sahaja lagi. Raja Muda sudah hampir kecewa. Akhirnya masuklah calon yang tinggal seorang itu. Sebaik melihatnya, Raja Muda terus jatuh hati dengan gadis tersebut. Dia berdoa agar gadis ini nanti mengatakan buah mangga itu manis. Setelah gadis itu mengambil sebiji mangga yang masih banyak berbaki, dia pun memakan dengan sopan tanpa mengerutkan muka dan memberitahu betapa manisnya buah mangga itu.
Raja Muda pun tersangat gembira tetapi kehairanan mendengar kata-kata gadis tersebut, namun kegembiraannya disembunyikan (tak macam Haiqal) kerana malu dengan ayahandanya. Kemudian ayahandanya bertanya kepada gadis itu mengapa dia mengatakan buah mangga itu manis sedangkan berpuluh-puluh gadis sebelumnya mengatakan rasanya masam. Gadis itu pun menjawab dengan suara yang perlahan penuh sopan,
"Apa sahaja yang tuanku beri, akan manis belaka kepada patik".
Sekurang-kurangnya ada 3 pengajaran dari cerita ini.
1. Jangan ketepikan ibu bapa dalam mencari jodoh.
2. Jangan cepat kecewa dalam berusaha mencari sesuatu yang berharga kerana mungkin yang terakhir itulah yang kita cari.
3. Pengajaran ke 3, anda kena fikir sendiri.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://al-lavendari.blogspot.com/2021/04/kisah-raja-muda-nak-cari-isteri.html