Keputusan Prn Penentu Hayat Kerajaan Ph Bn Kata Penganalisis
agendaily.com18/04/2023
UMNO akan terus bersama Pakatan Harapan sehingga habis penggal Parlimen ke-15.
Kelangsungan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (PH-BN) bergantung kepada sama ada UMNO akan memenangi kerusi dalam pilihan raya enam negeri yang dijangkakan pada Ogos depan.
Sekiranya parti itu memenangi kerusi, maka ia akan kekal dengan kerajaan perpaduan, kata penganalisis politik, Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM
“Tetapi, jika mereka kalah teruk (dalam PRN), maka mereka mungkin mahu menggunakan strategi lain.”
Menurutnya UMNO akan tewas jika menarik diri daripada kerajaan perpaduan.
“Tetapi, mereka mungkin mahu mempertimbangkan semula pakatan dengan (DAP dan PH) di peringkat negeri atau Persekutuan pada PRU akan datang,” katanya menurut FMT.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Azmil Tayeb berkata tidak kira UMNO atau PH, kedua-duanya tidak mampu memutuskan kerjasama kerana mereka saling memerlukan untuk terus berkuasa.
Beliau berkata, PH memerlukan UMNO untuk membentuk kerajaan stabil, manakala UMNO pula perlu berada dalam kerajaan bersama PH untuk mengakses kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Bagi UMNO, bersekutu dengan PH lebih baik daripada Perikatan Nasional (PN) kerana ia akan menjadi ‘ahli peringkat ketiga’ dalam gabungan itu, di mana ia perlu bersaing untuk kerusi dan sumber sama dengan PAS dan Bersatu yang lebih dominan,” katanya.
PAS dan Bersatu, yang merupakan rakan kerjasama dalam PN, memenangi 74 kerusi pada PRU15, manakala UMNO hanya berjaya menguasai 26 kerusi.
Minggu lalu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran berhubung keretakan dalam “kahwin paksa” dengan PH, selepas pemimpin UMNO bertelagah secara terbuka dengan DAP.
Pemimpin UMNO dan DAP bertelagah mengenai pendirian UMNO dengan pengundi Melayu dan sokongan UMNO terhadap pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sedang dipenjarakan kerana rasuah.
Azmil berkata, kerajaan perpaduan akan bertahan sehingga tamat penggal selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat mengekalkan penguasaannya dalam parti itu
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/04/keputusan-prn-penentu-hayat-kerajaan-ph.html