Kenapa Yang Keluar Mengundi Cuma 65 58 Peratus
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi kehadiran pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang merekodkan peratusan rendah tidak menepati sasaran 70 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, antara faktor yang dikenal pasti ialah tahap kesediaan dan kesedaran pengundi untuk keluar mengundi termasuk kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19.
“SPR telah menjalankan tanggungjawab untuk menguruskan penjalanan pilihan raya ini tetapi selebihnya adalah bergantung kepada kehendak dan kemahuan para pengundi keluar menunaikan kewajipan masing-masing,” katanya di sini semalam.
PRN Melaka Sabtu lalu merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 65.58 peratus, tersasar daripada jangkaan sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi yang keluar mengundi.
Situasi itu, turut diambil kira sebagai alasan utama parti politik terutama Pakatan Harapan (PH) yang membangkitkan soal jumlah keluar mengundi rendah sebagai faktor utama kekalahan gabungan parti politik itu.
PRN Melaka menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar apabila berjaya menguasai 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan manakala PH (lima) dan Perikatan Nasional (dua), selain semua calon bebas hilang wang pertaruhan.
Malah, BN juga berjaya mengungguli dengan undi popular sebanyak 40 peratus, diikuti PH (33 peratus) dan PN (24 peratus).
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, pilihan raya norma baharu disifatkan tidak meriah, tiada bantuan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau jentera parti yang turun dengan bas atau van untuk membawa pengundi dari rumah ke kawasan membuang undi disebabkan prosedur operasi standard (SOP).
“Pengundi luar Melaka yang tidak ramai pulang untuk membuang undi melainkan yang tinggal di bandar berhampiran seperti Seremban dan Muar.
“Selain itu, turut dikenal pasti pengundi muda yang layak mengundi ada yang mengutamakan masa untuk bekerja kerana kilang-kilang baru beroperasi walaupun SPR telah memaklumkan kepada majikan untuk memberi kebenaran,” katanya.
Beliau tidak menolak sentimen rakyat ramai yang sudah muak dengan permainan politik, maka tidak mahu menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.
Katanya, ada juga yang keliru merasakan PRN akan diulang semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan mereka mahu mengundi sekali sahaja.
“Walhal PRN ini memilih wakil DUN untuk tempoh lima tahun dan PRU15 hanya akan memilih wakil Parlimen sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/11/kenapa-yang-keluar-mengundi-cuma-6558.html