Ekspo Tatu Mujahid Lepas Tangan
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar Kerajaan PH tidak bersungguh untuk mendaulatkan syariat Islam

BANGI– Sikap lepas tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr  Mujahid Yusof Rawa yang kononnya mendakwa ada pihak cuba menyerang  kerajaan dengan isu peragaan tatu dalam keadaan separuh bogel pada  program ‘Tattoo Malaysia Expo 2019’ amat dikesali
Mujahid sebelum ini dilaporkan berkata,  program itu bukan di bawah kendalian kerajaan dan tidak pernah mendapat  pengiktirafan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
“Penafian daripada kementerian itu  membuktikan kita tidak pernah menyokong program itu. Cuma, saya fikir  dalam hal ini, pihak tertentu sekali lagi dan buat sekian kalinya  menjadikan isu ini untuk menyerang kerajaan. Kononnya dulu tak pernah  berlaku tapi sekarang berlaku
“Sedangkan kita tidak ada kena mengena  dengan apa yang berlaku dan sengaja disebarkan dalam media seolah-olah  kitalah yang merencanakannya. Jadi, dengan itu naratif mereka tercapai.  Apa naratif mereka? Kerajaan hari ini tidak menjaga Islam dan  sebagainya,” kata Mujahid
Kesal dengan kenyataan menteri agama itu,  Ahli Jawatankuasa Pusat Tarbiyah, gerakan Islam, Ikatan Muslimin  Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, hampir tidak percaya  kenyataan sebegitu boleh keluar dari mulut seorang menteri yang  bertanggungjawab menjaga agama Islam di negara ini
Beliau berkata, Mujahid sepatutnya  melihat kelemahan penguatkuasaan yang ada di pihak kementerian atau  undang-undang negara berbanding membuat tuduhan
“Menteri itu bersikap lepas tangan tanpa  memberikan teguran tegas apatah lagi memanggil pihak terbabit.  Seolah-olah menyatakan berbogel, berzina dan berparti boleh selagi dalam  keadaan tertutup walapun kerajaan boleh halang,” kata Ustaz Omar kepada  Ismaweb
Bahkan beliau menyifatkan, tiada  kesungguhan daripada kerajaan PH untuk mendaulatkan syariat Islam  apabila tidak bertindak menghalang ‘majlis maksiat’ seperti itu
“Memetik hadis, sesiapa yang melihat  suatu kemungkaran, hendaklah dia cegah dengan tangannya dalam erti kata  kekuasaan, jika dia tidak mampu, dengan lidahnya, jika tidak mampu  dengan hatinya. Itulah selemah iman. Saya nak tanya, siapa yang memiliki  kuasa sekarang?,” soalnya
Terdahulu tular gambar-gambar lelaki dan  wanita bertatu separuh bogel yang menyertai ekspo bertaraf antarabangsa  itu. Ekspo itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan  Budaya (MOTAC) seperti yang tertera di layar belakang pentas
Penganjuran ekspo terbabit menghimpunkan  peserta dari 35 negara berbanding penganjuran pada tahun 2015, 2016 dan  2017 yang diadakan di Sabah sebelum ini
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/ekspo-tatu-mujahid-lepas-tangan.html