Dua Sindiket Proses Edar Dadah Rm5 16 Juta Tumpas
KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Dua sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah di Kuala Lumpur dan Selangor tumpas dengan penahanan 17 individu dalam operasi polis di Lembah Klang pada Selasa dan Rabu lepas.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Zainudin Ahmad berkata mereka yang ditahan dalam operasi dua hari itu terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita tempatan serta dua wanita Vietnam, yang kesemuanya berumur 28 hingga 59 tahun.
Beliau berkata pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM5.16 juta turut dirampas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama narkotik Kuala Lumpur dan Selangor itu.
Katanya dalam operasi pertama, pihaknya menahan lima individu termasuk seorang ketua sindiket dan menyita pelbagai barangan serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM6.68 juta.
“Melalui operasi itu, polis juga berjaya membongkarkan sebuah makmal memproses dadah di sebuah rumah sewa di Damansara, di sini,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Zainuddin berkata dalam operasi pertama pada 3.30 pagi Selasa lepas, polis merampas dadah jenis ketamin seberat 43.5 kilogram (kg), syabu (154 gram), pil Erimin 5 (34.8 gram), pil ekstasi (1.5 gram), mushroom (11.6 gram) dan ganja (8.68 gram), bernilai RM2.25 juta dalam enam serbuan berbeza.
“Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM63,350, empat kenderaan mewah, dua utas rantai leher, tiga bentuk cincin, dua pasang subang, satu utas gelang tangan dan tujuh utas jam tangan berjenama yang kesemuanya bernilai RM334,750,” katanya.
Zainudin berkata dalam operasi kedua pada 4.30 petang Rabu, polis menahan 12 individu termasuk seorang ketua sindiket berkenaan.
“Polis merampas serbuk dadah jenis MDMA seberat 32.72 kg, syabu (1.4 kg); pil ekstasi (11.4 kg); pil Erimin 5 (2.9 kg); ketamin (3.3 kg) serta peralatan memproses dadah dalam sembilan serbuan berbeza di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Beliau berkata polis juga merampas wang tunai berjumlah RM393,905, mata wang asing bernilai USD115, 14 kenderaan pelbagai jenama, lima utas jam tangan dan pelbagai barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM1.2 juta.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis akan terus mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya sambil menambah pihaknya telah melakukan siasatan terhadap kedua-dua sindiket itu selama tiga minggu sebelum operasi ini dijalankan.
-BERNAMA
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Tonton TV online secara percuma dari handfon atau android box anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ohsemput.blogspot.com/2020/09/dua-sindiket-proses-edar-dadah-rm516.html