Zahid Minta Campur Tangan Kes Jenayah Lepas Mesyuarat Di Rumah Kata Muhyiddin Dalam Pembelaan Saman Zahid

Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk  Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan sejumlah fail yang banyak  berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan  dalam prosiding mahkamah.
Menerusi dokumen yang difailkan di  Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 26 April lepas, Muhyiddin, 74,  mendakwa Ahmad Zahid, 69, telah membuat permintaan tersebut selepas  menghadiri mesyuarat di kediaman bekas perdana menteri itu.
“Selepas  saya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, satu mesyuarat  telah diadakan di kediaman saya bagi membincangkan, antara lain,  pembentukan Kabinet baru.
“Beberapa individu telah menghadiri  mesyuarat itu termasuk plaintif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan  Sri Abdul Hadi Awang. Selepas mesyuarat berakhir, plaintif meminta untuk  bercakap dengan saya secara peribadi dan saya telah meminta Azmin untuk  turut serta.
“Ketika perbincangan, beliau telah menunjukkan sejumlah besar fail yang dibawa ke mesyuarat itu. 
“Apabila  saya tanya kenapa dia bawa fail itu, dia kata fail itu ada kaitan  dengan kes jenayah terhadapnya yang didakwa mempunyai motif politik, dia  kata dia tak bersalah dan minta bantuan saya,” katanya.

Gambar fail, selepas Langkah Sheraton.Beliau  berkata demikian menerusi afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi  yang difailkan oleh Ahmad Zahid dalam saman fitnah berhubung dakwaan  bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah meminta bantuan  Muhyiddin untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes mahkamahnya.
Muhyiddin  juga mendakwa apabila mendengar permintaan itu, beliau telah  memaklumkan plaintif bahawa beliau tidak boleh dan tidak akan campur  tangan dalam prosiding mahkamah serta menasihati Ahmad Zahid untuk  membela dirinya jika beliau benar-benar tidak bersalah.
Menurut  Muhyiddin, beliau dimaklumkan oleh Abdul Hadi bahawa sebelum mesyuarat  itu, plaintif telah bertemu dengan Abdul Hadi dan turut menunjukkan  dokumen terbabit selain menyatakan bahawa dia tidak bersalah.
“Bagaimanapun,  Abdul Hadi memberitahu plaintif bahawa tujuan mesyuarat itu diadakan di  kediaman saya ialah untuk membincangkan hal ehwal kerajaan,” katanya.

Gambar fail, Zahid dan Abdul Hadi.Muhyiddin  berkata tiada sebab untuk Ahmad Zahid menunjukkan fail terbabit  kepadanya dan membuat permintaan itu melainkan ia bertujuan meminta  bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah terhadap  plaintif.
Muhyddin turut menafikan bahawa kenyataan yang dibuatnya  semasa kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Mersing iaitu di  pekarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16  Feb lepas adalah palsu atau berbaur fitnah atau mempunyai niat jahat.
Peguam  Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi  Bernama mengesahkan bahawa permohonan inter-parte untuk mendapatkan  perintah injunksi oleh anak guamnya dalam kes saman fitnah terhadap  Muhyiddin akan didengar pada 25 Mei ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi  Rozana Ali Yusoff melalui prosiding dalam talian.
Menerusi saman  yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon  perintah injunksi secara ex-parte supaya Muhyiddin atau wakilnya  menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa  terhadapnya.

Gambar fail.Plaintif  juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang defendan,  pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan,  menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan  atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk  Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
Turut diminta adalah  perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan memadam,  menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis  itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita  dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil 'Perikatan  Nasional,' YouTube Astro AWANI dan KiniTV.
Selain itu, plaintif  memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada  mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal  berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan  kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan  kenyataan fitnah berkenaan.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah  itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk  menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih  berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan  perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan  pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut  dihormati, diteladani serta disegani.
Ahmad Zahid menegaskan  kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu, bertujuan untuk menjatuhkan  reputasi dan nama baiknya. Ahmad Zahid juga mendakwa kenyataan fitnah  berkenaan dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya  Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.
Oleh itu, plaintif  menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta  perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak  bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh  plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan  sesuai oleh mahkamah.
- Bernama
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected]  
   
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2022/05/zahid-minta-campur-tangan-kes-jenayah.html