Wanita Orang Asli Lahir Bayi Kembar Dalam Bot
 Oleh ASLIZA MUSA 

 NUR  Shaffriza Mohd. Shaffril (kiri) dan rakan pasukan perubatan yang  membantu kelahiran bayi kembar di dalam bot ambulans yang sedang  bergerak melalui Tasik Banding di Gerik, Sabtu lalu. - IHSAN NUR  SHAFFRIZAGERIK:  Seorang wanita Orang Asli melahirkan bayi kembar lelaki dalam sebuah  bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk ke Hospital Gerik, Sabtu  lalu. 
Zantima Zabree, 34, selamat  melahirkan bayi kembarnya pada pukul 11.20 hingga 11.25 pagi, dibantu  pegawai perubatan, jururawat kesihatan, jururawat masyarakat dan  penolong perawatan kesihatan Klinik Pos Kemar.
Kelahiran  bayi dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram itu dikongsi Jabatan Kesihatan  Negeri (JKN) Perak melalui hantaran di laman sosial Facebooknya hari  ini
Menurut JKN Perak, kelahiran itu  berlaku semasa usaha membawa wanita dengan usia kandungan 35 minggu ke  Hospital Gerik setelah dikesan sedang sakit untuk bersalin oleh  jururawat masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.
Katanya, tindakan pantas anggota kesihatan membolehkan wanita terbabit melahirkan bayi kembarnya dengan selamat.
“Ibu dan bayi kembar itu dirujuk ke  Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi mendapatkan rawatan  susulan,” ujar kenyataan itu.
Sementara itu, jururawat  kebidanan, Nur Shaffriza Mohd. Shaffril, 34, berkata, meskipun telah  biasa menyambut kelahiran bayi, proses kelahiran kembar itu bagaimanapun  berbeza kerana dilakukan ketika bot sedang bergerak.
Namun katanya, kerjasama pegawai perubatan dan jururawat masyarakat memudahkan proses kelahiran bayi itu dengan selamat.
“Ibu  bayi itu mengadu sakit mahu bersalin ketika lawatan jururawat  masyarakat ke rumahnya di Kampung Bal Stol, Rancangan Penempatan Semula  (RPS), Kemar. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, wanita itu  memberitahu mahu meneran di mana pemeriksaan mendapati kepala bayi juga  sudah kelihatan,” katanya.
Menurutnya, meskipun berasa cemas,  dia bersyukur kerana proses kelahiran berjalan lancar kerana kelengkapan  untuk bersalin memang telah disediakan sejak awal.
“Proses kelahiran bayi kembar ini  bagi saya amat menarik kerana saya dapat melihat sendiri bayi kedua  dilahirkan dalam keadaan masih di dalam ‘karung’.  Kami perlu pecahkan  karung itu untuk keluarkan bayi tersebut. Bagi saya, pengalaman ini amat  bermakna kerana ia jarang berlaku,” katanya yang telah berkhidmat  sebagai jururawat kebidanan sejak empat tahun lalu.
Untuk rekod, Pos kemar adalah sebuah  petempatan orang asli di kawasan Gerik di mana penduduk menggunakan bot  sebagai pengangkutan utama untuk keluar masuk.
Jarak antara perkampungan itu untuk  ke Hospital Gerik mengambil masa hampir dua jam menggunakan laluan air  dan darat. – UTUSAN ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/wanita-orang-asli-lahir-bayi-kembar.html