Tol Sesak Penggunaan Laluan Rfid Menyusahkan
                                Oleh UtusanTV                                                                                                                                                                                                                                             

Pengguna PLUS boleh menggunakan sistem RFID sejak Sabtu lalu.              SEJAK pukul 10 malam Sabtu lalu, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan  (PLUS) dari laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor sudah  boleh membayar transaksi menerusi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio  (RFID).
      Langkah dilaksanakan PLUS itu merupakan langkah awal kepada  pelaksanaan pembayaran tanpa plaza tol menerusi Sistem Laluan Terus  Pelbagai Lorong (MLFF).
   Pada masa sama, kehadiran RFID juga dinyatakan PLUS bagi menambah  baik pengalaman perjalanan lebuh raya dengan mengurangkan kesesakan di  plaza tol.
          Bagaimanapun, selepas dua hari pelaksanaan teknologi itu di semua 83  plaza tol sepanjang lebuh raya berkenaan, kebanyakan pengguna masih lagi  memilih laluan Touch ‘n Go dan SmartTag.
   Malah, media melaporkan aliran trafik di plaza tol juga sesak teruk  didakwa berpunca daripada lorong-lorong RFID yang gagal mengesan pelekat  ditampal pada kenderaan pengguna.
   Pengguna juga terpaksa mengundurkan kenderaan dua ke tiga kali  sebelum sistem berkenaan mengesan pelekat sekali gus menyebabkan situasi  sesak.
   Kebanyakan pengguna juga mendakwa proses mendapatkan tempahan sistem itu sangat tidak mesra pengguna.
   Hal demikian kerana pengguna perlu mencari sendiri pengedar untuk  mendapatkan slot tempahan dan sekiranya terlepas tempahan, pengguna  terpaksa membuat janji temu baharu.   
   Kebanyakan netizen turut meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap sistem tersebut di laman media sosial.
   Warga net turut kecewa apabila ada operator plaza tol menukarkan  laluan SmartTag dengan RFID tetapi mengekalkan lorong Touch ‘n Go yang  didakwa menyebabkan kesesakan.
   Perkara itu didedahkan pengguna Twitter, @AimanPsikologi dalam ciapannya.
   “Hari ini plaza tol kawasan rumah kami akhirnya ‘robohkan’ lorong  SmartTag dan tukar jadi RFID, manakala lorong Touch ‘n Go kekal seperti  biasa.
   “Cuba teka apa terjadi? Penuh adegan lampu ‘reverse’ kereta menyala.  Mana entah aritu poster kata ‘ditukar secara perlahan-lahan,” ciapnya.
   Seorang lagi pengguna Twitter mendakwa operator plaza tol perlu  menaik taraf dahulu sistem tersebut sebelum menggantikan sepenuhnya  dengan SmartTag.
   “Setiap kali saya melalui tol, tiga daripada lima kali mesti ada seseorang tersangkut di lorong RFID.
   “Saya fikir itu tanda cukup jelas yang mereka perlu betulkan sebelum  menggantikan SmartTag sepenuhnya, nampaknya mereka tidak melakukannya,”  jelasnya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/tol-sesak-penggunaan-laluan-rfid.html