Rfid Kabinet Putus Pengguna Perlu Diberi Pilihan Untuk Pembayaran Tol Pm
                                                                                                                        Oleh- Bernama                                                                                                                                                                                                                                             Pengguna PLUS boleh menggunakan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol sejak 15 januari lalu.  GAMBAR: Abd Razak Aid                 PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengguna jalan  raya mesti diberi pilihan untuk pembayaran tol sama ada mahu  menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch ‘n Go  (TnG) atau SmartTAG.
      Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet hari  ini yang berpendapat pengguna mesti diberi pilihan seperti sewaktu TnG  diperkenalkan di peringkat awal dengan  pembayaran secara tunai masih  diteruskan.
   “Pengguna mesti diberi kebebasan sama ada nak guna RFID, Touch ‘n Go  atau SmartTAG,” beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya  mengenai perkembangan pelaksanaan RFID selepas melancarkan program  Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya malam ini.          

ISMAIL  Sabri Yaakob ketika menghadidi sidang akhbar bersama pemberita selepas  majlis pelancaran  program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di  Putrajaya malam tadi.    Ismail Sabri berkata RFID diperkenalkan untuk mempercepatkan  perjalanan merupakan cadangan yang bagus tetapi pengguna juga mesti  diberi pilihan memandangkan RFID adalah projek rintis dan ia akan  mengambil masa untuk disesuaikan.
   Terserah kepada pengguna untuk membuat pilihan dan kalau RFID  memudahkan perjalanan mereka, pengguna lebuh raya boleh berhijrah kepada  sistem RFID, katanya.
   Ismail Sabri berkata pemegang konsesi lebuh raya perlu mengekalkan lorong untuk pengguna TnG dan SmartTAG.
   “Jangan semua RFID lah. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong  untuk RFID and the rest (dan selebihnya) masih lagi untuk TnG dan  SmartTAG. Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya,”  katanya.
   Ditanya sama ada pemegang konsesi lebuh raya telah dimaklumkan  mengenai keputusan Kabinet itu, Ismail Sabri berkata Menteri Kanan Kerja  Raya Datuk Seri Fadillah Yusof akan memanggil pemegang konsesi untuk  berbincang dan membuat keputusan lanjut.
   Ismail Sabri juga berkata mesyuarat Kabinet itu juga memutuskan apa  sahaja perkara melibatkan bayaran oleh rakyat perlu dirujuk kepada  Kabinet.
   Media dan netizen melaporkan keadaan di beberapa plaza tol di Lembah  Klang terutamanya pada Isnin lepas yang mengalami kesesakan didakwa  akibat kegagalan RFID berfungsi.
   Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan  persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga  ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan lepas.
   Sistem RFID membolehkan pengguna menikmati perjalanan lebih lancar  tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30  km/j serta melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.
   RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa  tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi  mengunjungi kaunter tambah nilai— BERNAMA 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/rfid-kabinet-putus-pengguna-perlu.html