Tok Mat Gesa Semua Parti Beri Laluan Kepada Warisan Dalam Prk Batu Sapi
PETALING JAYA: Seorang pemimpin tertinggi Umno menggesa semua parti  memberi laluan kepada Warisan di Parlimen Batu Sapi tanpa dicabar bagi  mengelakkan pertandingan dalam pilihan raya kecil (PRK) yang bakal  diadakan.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, perisyitiharan darurat  untuk menangguhkan PRK Batu Sapi atau pilihan raya negeri Sarawak bukan  sahaja tidak perlu, malah bukanlah langkah terbaik.
“Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding  di Batu Sapi dan gesaan saya ialah parti lain juga memberikan laluan  kepada Warisan.
“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi  laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan  nasional mengurangkan impak wabak Covid-19 kepada masyarakat.
“Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Dis ini dengan hari penamaan calon pada 23 Nov dan pengundian awal pada 1 Dis.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Liew Vui Kong pada 2 Okt dipercayai akibat jangkitan paru-paru.
PRK Batu Sapi adalah pilihan raya kecil ke-13 selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi  dengan baik dan mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekali  pun.
“Justeru, semua pihak mesti menghormati kearifan Yang di-Pertuan  Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf  pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik pada waktu ini,” katanya.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas semalam berkata  hanya perisytiharaan darurat akan membolehkan PRK Batu Sapi dan PRN  Sarawak ditangguhkan sehingga pandemik Covid-19 berakhir.
Mengulas mengenai PRN Sarawak, Mohamad berkata, tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ialah pada 7 Jun 2021.
“Jika kerajaan negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN  akan diadakan 60 hari dari 7 Jun 2021 dan ini membolehkan PRN Sarawak  diadakan dalam bulan Ogos 2021,” katanya.
Beliau turut mengingatkan tentang implikasi jika darurat  diisytiharkan hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia hanya  boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.
“Saya sangat meyakini kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak (Abang  Johari Abang Openg) dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik  dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum  membubarkan DUN Sarawak.”
Malah katanya, beliau yakin dengan kemampuan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya dalam keadaan apa sekali pun  sesuai dengan tuntutan Perlembagaan.
“SPR perlu membuat keputusan bagaimana ia akan mengendalikan pilihan raya dengan protokol kesihatan sewaktu pandemik.
“SPR berwibawa memastikan proses demokrasi berjalan dengan sebaiknya,” katanya.
#Sumber : FMT  
MR :  Cadangan yang baik 
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/11/tok-mat-gesa-semua-parti-beri-laluan.html