Takut Sakit Tapi Keinginan Punya Zuriat Atasi Segalanya 8 Tahun Menanti Akhirnya Allah Kurniakan Kembar Comel
Mungkin bagi orang lain merasakan usia awal 30an masih terlalu muda namun bagi pasangan sama cantik sama padan ini, Tengku Farah Dayana Ku Mohd Fozi, 35 tahun dan suaminya Farhadi Abdullah, 33 tahun yang berkahwin hampir sembilan tahun merasakan sudah terlalu lambat untuk mereka memiliki zuriat sendiri.
Berkahwin pada tahun 2011 dan kini usia perkahwinan mereka memasuki usia sembilan tahun. Enggan menanti lama, mereka tekad untuk mencuba rawatan IVF untuk memiliki zuriat penyambung keturunan mereka.
Rezeki Allah tak pernah salah. Akhirnya berkat usaha yang tiada bertepi, Allah kurniakan pasangan ini kembar lelaki tidak seiras, Farhan Sameer dan Farhad Saif yang kini sudah pun berusia enam bulan. Comel sekali, gabungan raut wajah ibu dan bapanya.
“ Kami berkahwin pada tahun 2011 dan setahun selepas itu kami ada buat pemeriksaan dengan doktor. Doktor beritahu saya dan suami tak ada masalah apa-apa. Doktor minta saya cuba untuk hamil secara semujaladi namun masih tidak berjaya. Saya juga pernah mencuba rawatan IUI namun masih tidak menampakkan hasilnya.
Sebenarnya dah bermacam-macam cara dan rawatan kami cuba, jadi kami tekad untuk cuba IVF pula memandangkan umur kami yang semakin meningkat. Kami tidak teragak-agak untuk mencuba. Rasa takut tetap ada kerana bimbang sekali lagi tak berjaya, namun kami serahkan semuanya pada Allah.”
Sakit Tapi Berbaloi
Takut untuk melalui pengalaman ini namun keinginan mengatasi rasa ketakutan itu. Baginya pengalaman melalui kesemua proses rawatan IVF tidaklah sesukar mana. Sakit namun berbaloi.
“ Januari 2018 saya dan suami mula buat rawatan IVF. Kami jalani pemeriksaan doktor dan saya harus mengambil beberapa jenis ubat termasuk suntikan di perut khusus untuk mematangkan telur. Begitu juga dengan suntikan untuk menguatkan rahim.
Selepas dua hari bila doktor periksa semula dan doktor keluarkan telur untuk proses persenyawaan. Proses mengambil telur agak sakit walaupun saya dibius. Sama seperti proses ujian pap smear cuma ia mengambil sedikit masa. Bila sedar, saya rasa perut saya tegang. Bagi saya keinginan saya untuk punya zuriat mengatasi rasa sakit yang saya alami. Jadi semangat saya kuat untuk menempuh semua kesakitan ini.
Saya lalui pengalaman memasukkan embrio dalam keadaan yang cukup tenang. Ketika itu kami lakukan di Ipoh dan doktor yang melakukan proses ini adalah seorang doktor berbangsa Cina. Doktor tanya saya samada mahu dipasangkan lagu atau mahu pilih selawat ketika pembedahan berlangsung.
Saya pilih untuk dipasangkan selawat Nabi dan semuanya berlangsung dalam keadaan tenang walaupun saya langsung tidak dibius. Malah saya dan suami memilih untuk memasukkan dua embrio sekaligus kerana bimbang salah satu embrio tidak berkembang dan menggagalkan usaha kami.
Sepanjang tempoh 2 minggu saya tak ke mana-mana, hanya habiskan masa di rumah sahaja dan berehat sebaik mungkin. Setiap hari ibu datang sediakan makanan pada saya, langsung saya tak masuk dapur untuk memasak. Takut untuk memikirkan kegagalan, saya cuba bertindak positif setiap masa.
Rasa berdebar yang teramat sangat bila harinya tiba. Bila doktor beritahu hasilnya positif, saya rasa seperti mahu menangis, saya rasa lega dan bersyukur yang tak terhingga pada Allah. Masuk saja dalam kereta, kami suami isteri menangis terharu. Tak mampu kami tahan lagi kerana terlalu bersyukur dengan pemberian Allah ini. Rasa masih tak percaya saat memandang dua garisan merah pada alat ujian kehamilan UPT. Pertama kali saya mengandung setelah 7 tahun.
Saya selamat melahirkan Sameer dan Saif di Hospital Putrajaya pada 17 November 2018 melalui pembedahan pada minggu ke 36 kandungan. Malah berat mereka juga seimbang, iaitu 2.37kg bagi Sameer dan 2.26kg bagi Saif. Saya gembira mereka sihat. Tak terucap dengan perkataan bila tengok wajah Sameer dan Saif buat pertama kalinya. Rasa hilang semua kepenatan dan lelah saya selami ini. Saya rasa lega,” ceritanya lagi.
The post “Takut Sakit Tapi Keinginan Punya Zuriat Atasi Segalanya”, 8 Tahun Menanti Akhirnya Allah Kurniakan Kembar Comel! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/takut-sakit-tapi-keinginan-punya-zuriat-atasi-segalanya-8-tahun-menanti-akhirnya-allah-kurniakan-kembar-comel/