Sudah Sampai Masa Kerajaan Ph Kurang Bercakap Lebih Bekerja Kata Rafidah
(Bernama) – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu “kurangkan bercakap, lebihkan bekerja” dalam usaha meletakkan semula negara di landasan yang tepat, kata Tan Sri Rafidah Aziz.
Beliau yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi tempoh 1987 hingga 2008 berkata, kerajaan perlu menumpukan tadbir urus negara dan bergerak dengan menggalas tanggungjawab besar dalam membangunkan negara.
Tokoh wanita ini turut senada dengan kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan perlu menghentikan tindakan menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara selama 61 tahun lepas.
Daim mahu kerajaan hari ini mula menumpukan kepada usaha menunaikan janji mereka kepada rakyat yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Kita teruskan mentadbir urus kerajaan, namun apabila masalah yang dibuat kerajaan terdahulu timbul, kita perlu memberitahu kepada rakyat, siapa yang melakukannya. Bagaimanapun, rakyat juga perlu tahu siapakah sebenarnya yang perlu dipersalahkan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai peranan yang boleh disumbangkan beliau sebaik sahaja menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Rafidah menyatakan akan memberi komitmennya kepada kerajaan PH menerusi keanggotaannya dalam parti itu.
Rafidah, yang kini Pengerusi AirAsia X Bhd, menekankan bahawa hasratnya untuk bersama-sama Bersatu bukan didorong faktor “orang lain turut menyertainya”.
“Saya menyertainya bukan untuk rancangan atau agenda peribadi…bukan budaya saya. Bagi saya, ia adalah penyertaan sokongan, saya telah melaksanakannya semasa membantu PH memenangi PRU14,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perdagang ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, pihaknya melahirkan kelegaan atas nasihat yang dibuat Daim.
“Komen (Tun) Daim adalah bijak, penuh kewarasan dan bertanggungjawab, selari dengan tugas beliau sebagai penasihat kerajaan.
“Budaya mengutuk, mengata dan mengumpat perkara lama tidak mengguntungkan kerajaan yang baharu, lebih-lebih lagi dengan konsep keterbukaan yang diamalkan di dalam Parlimen, ditambah apabila setiap orang yang memiliki telefon pintar dapat mengakses pendebatan anggota parlimen,” katanya.
Moehamad Izat berkata, walaupun setiap maklumat diperkatakan adalah betul, rakyat sudah mula muak dan jemu dengan kata-kata yang tiada perubahan.
“Kita juga melihat pertandingan di dalam empat parti di dalam Pakatan Harapan yang kita kurang faham. Datang berpasukan, berjuang berlawan-lawan, tetapi yang mana satu boleh dijadikan amalan?,” katanya.
Apa yang penting, menurut bekas Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia itu adalah jelas bahawa Malaysia mahukan kebaikan dan kemajuan malah Tun Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang masih diperlukan untuk mengelakkan perpecahan.
Penasihat Korporat Sunway Group, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata rakyat sudah mula jemu dengan tindakan menyalahkan banyak pemimpin terdahulu yang amat mengecewakan.
“Kita perlu mengkaji dan menyemak semula, melaksanakan pembaharuan serta bangkit dengan pantas di semua peringkat pembangunan sosio-ekonomi dan politik, manakala kerajaan perlu merancang untuk era masa kini, dan masa depan perlu diberikan teras yang kukuh,” katanya.
Ramon, yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, menjelaskan Daim merupakan antara beberapa pemimpin ulung yang boleh memberitahu kerajaan mengenai apa yang perlu dilaksanakan dan didengar.
“Golongan yang merasakan mereka sahaja yang betul dan pelampau perlu diasingkan untuk kita bergerak maju sebagai Malaysia baharu yang lebih bersatu dan progresif,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2018/11/10/sudah-sampai-masa-kerajaan-ph-kurang-bercakap-lebih-bekerja-kata-rafidah/