Strategi Hadapi Tuntutan Waris Sulu
Kita tidak boleh mengambil pendekatan politik sempit untuk faedah domestik apabila berdepan ancaman kedaulatan wilayah dari musuh kita yang berada di luar. Sebaliknya kita perlu mengambil pendekatan patriotik demi keutuhan negara. Seperti motto Malaysia: Bersatu Teguh; Bercerai Roboh.
Ancaman Waris Kesultanan Sulu adalah ugutan yang nyata, bukan diada-adakan. Dari isu wilayah berjiran, Malaysia dan Filipina, kini isu tuntutan tersebut telah menjadi isu global dan antarabangsa. Kedaulataan Malaysia sekarang sudah jadi buah mulut dan di jaja-jaja di tribunal timbangtara dan mahkamah antarabangsa di Eropah sana.
Malaysia boleh jadi bangkrap jika tuntutan Waris Kesultanan Sulu sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) berjaya mereka perolehi. Isu ini sekarang bukan isu meriam, senapang dan peluru. Ia kini sudah jadi isu perundangan antarabangsa (international laws).
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) + Barisan Nasional (BN) tidak boleh berhujah kepada dunia bahawa hal ini bukan kesalahan mereka. Mereka tidak boleh berkata : “Ini kesalahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lalu”.
Begitu juga mantan-mantan Perdana Menteri dan menteri-menteri PH tidak boleh melepaskan tanggunjawab mereka dan berkata, bahawa hal ini bukan salah mereka tetapi ini kecuaian Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan BN yang terdahulu. Undang-undang pentadbiran dalam Malaysia dan di pentas antarabangsa tidak beroperasi sedemikian. Tanggungjawab kerajaan Malaysia terhadap komitment dalam negeri dan di peringkat antarabangsa adalah berterusan tidak terhenti-henti. Apa juga keputusan yang dibuat atau yang ditinggalkan dari dibuat (omission) dipikul kesannya oleh kerajaan-kerajaaan yang berikutnya.
Jadi usaha menyalahkan kecuaian dan tindakan Perdana Menteri Najib Razak dalam isu tuntutan Waris Kesultanan Sulu boleh dibuat, boleh dilakukan. Tetapi ini hanya untuk mendapat skor politik semasa bagi faedah politik sementara dalam pilihanraya umum yang akan sampai tidak lama lagi. Tetapi tindakan menyalahkan bekas PM Najib tidak akan membantu usaha Malaysia untuk mencabar keputusan tribunal timbangtara di Mahkamah Perancis.
Begitu juga bagi golongan yang anti-PH dengan berusaha untuk menyalahkan Peguam Negara kerajaan PH, Tommy Thomas kerana mengirim surat kepada peguam Waris Kesultanan Sulu yang boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap kesahihan tuntutan Kesultanan Sulu, mungkin juga ada asasnya sama seperti ada asasnya menyalahkan Najib Razak kerana memberhentikan pembayaran kepada Waris Kesultanan Sulu pada tahun 2013 selepas berlakunya kejadian pencerobohan di Timur Sabah oleh tentera waris Kesultanan Sulu. Jika ada laporan polis hendak dibuat terhadap Tommy Thomas dan Najib Razak boleh sahaja dilakukan.
Tidak ada salahnya sekadar membuat laporan polis. Tetapi ia hanya sekadar mencapai kepentingaan politik tempatan. Boleh saja diteruskan tetapi percayalah ia tidak membawa apa-apa kesan terhadap kes tuntutan ini yang sekarang sedang berada di Mahkamah Perancis.
Dalam adab menghadapi musuh bersama dari luar, maka ada strategi yang perlu dipakai. Tidak kiralah siapa kerajaan yang sedang mentadbir Malaysia sekarang (selagi ia sah di sudut de facto dan de jure),maka semua pihak, rakyat dan parti-parti politik perlu bersatu menghadapi isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ini terhadap harta kerajaan Malaysia di luar negara.
Bukan harta milik Petronas sahaja sedang dituntut dan diugut, tetapi harta-harta Malaysia yang lain juga. Kenapa Waris Kesultanan Sulu memilih harta milik Petronas? Jawapannya, pertama kerana Petronas banyak harta di seluruh dunia. Kedua, kerana jenama atau “branding” Petronas dikenali di seantero dunia dalam perlumbaan kereta F1 yang bersifat global itu. Imej Petronas sangat dikenali di planet bumi.
Secara serius, yang perlu dilihat, disemak dan diteliti ialah apakah tindakan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri sekarang? Ismail Sabri yang dibantu oleh Jemaah Menteri atau kabinet pimpinaannya secara tanggungjawab bersama atau kolektif. De facto Menteri Undang-Undang Dr Wan Junaidi bersama Peguam Negara Idris Harun sekarang bersama Perdana Menteri dan Kabinet memikul tanggungjawab di baris hadapan (frontliners) untuk menghadapi tuntutan Waris Kesultanan Sulu dari sudut perundangan antarabangsa. Buat masa ini di Mahkamah Perancis.
Rakyat Malaysia perlu bertenang dan bersabar. Kita berikan kepercayaan dan sokongan kepada Kerajaan yang ada sekarang untuk menghadapi isu serius ini. Persoalan yang saya ingin kemukakan adalah persoalan undang-undang prosedure atau tatacara.
Perlu difahami bahawa keputusan apapun juga tribunal timbangtara bukannya keputusan muktamad sebuah mahkamaah. Keputusan tribunal timbangtara tidak bersifat muktamad kerana ia boleh dicabar di mahkamah. Dalam kes sekarang ini keputusan tribunal timbangtara yang telah diperolehi oleh Waris Kesultanan Sulu itu boleh dicabar di Mahkamah Perancis.
Persoalan relevan yang seluruh rakyat Malaysia perlu bertanya ialah adakah Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan di Mahkamah Perancis dalam tempoh masa yang dibenarkan oleh sistem Mahkamah Perancis (dalam prosedure merayu sesuatu keputusan tribunal timbangtara). Kalau Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negaranya telah berbuat rayuan dalam tempoh masa yang dibenarkan, maka Kerajaan Malaysia telah melakukan langkah yang betul. Tetapi jika sebaliknya, maka Kerajaan telah melakukan satu kecuaian yang serius. Kerajaan yang cuai wajib dihukum oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Bergerak ke hadapan secara bersangka baik, bahawa apabila udang-undang prosedural telah dipenuhi maka Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara hendaklah pula menumpukan isu substiantif (isu sebenar atau isu pokok) undang-undang dalam menghadapi tuntutan waris Kesultanan Sulu itu.Matlamat kita bersama ialah mengalahkan dan menewaskan di mahkamah tuntutan Waris Kesultanan Sulu tersebut secara perundangan dengan muktamad.
Tanggungjawab kini terserah kepada Kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan Peguam Negara Idris Harun.
Kerajaan Ismail Sabri mendapat sumber kuasanya bukan di tepi jalanraya, tetapi dari Parlimen juga. Jadi Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara mesti bersikap bertanggungjawab supaya membenarkan sebarang usul berkenaan tuntuan Waris Kesultanan Sulu ini dibahaskan di Parlimen.
Sila benarkan ahli-ahlu parlimen yang dipilih rakyat untuk bersuara dan berbahas dalam isu yang menyentuh kedaulatan negara. Jika di pihak kerajaan tidak mahu mendedahkan kepada dunia umum apa strategi yang sedang dan akan diambil dalam menghadapi tuntutan Waris Kesultanan Sulu itu, ia tidak bermakna menutup sepenuhnya ruang untuk berbahas isu tersebut di Parlimen.
Dalam hal ini peranan Perdana Menteri sebagai seorang pemimpin supaya jangan lari dan jangan mengambil jalan selamat sahaja. Perdana Menteri yang patriotik dan amanah serta bertanggungjawab dalam hal kedaulatan negara mesti berdiri di Parlimen memberikan komitmentnya untuk mempertahanakan kedaulatan Sabah dan kedaulatan Malaysia. Tugas ini bukan tugas Menteri Undang-undang Dr Wan Junaidi. Tetapi ini tugas seorang Perdana Menteri.
Demi melindungi strategi kerajaan, PM Ismail Sabri tidak perlu memberi jawapaan detail atau terperinci. PM tidak perlu mengemukakan strategi dan langkah-langkah rasmi kerajaan untuk menghadapi isu perundangan tuntutan Waris Kesultanan Sulu.
Ucapan Perdana Menteri di Parlimen memadai sekadar secara umum tetapi ia memberi keyakinan kepada rakyat. Pernyataan seorang Perdana Menteri di Parlimen Malaysia di Dewan Rakyat amat dituntut. Tidak ada gunanya mengadakan taklimat tertutup hanya kepada ahli-ahli Parlimen bagi memberi kefahaman tentang isu tuntutan waris kesultanan Sulu di sebuah hotel lima bintang tak jauh dari Parlimen.
222 orang ahli Parlimen Malaysia di seluruh negara tidak dipilih untuk jadi Ahli Hotel. Mereka dipilih untuk jadi ahli parlimen. Maka sebuah kerajaan yang bermaruah mesti memberi taklimat atau penerangan kepada seluruh ahli parlimen yang dipilih rakyat di dewan yang mulia iaitu di Dewan Rakyat.
Speaker dan Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis Dewan Rakyat perlu fahami prinsip demokrasi berparlimen ini.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Dan Hak-hak Di Bawah Perlembagaan Parlimen ke-14
23 Julai 2022 (Sabtu)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/07/strategi-hadapi-tuntutan-waris-sulu.html