Sop Baharu Umrah Perlindungan Insurans Ditetapkan Kepada Jemaah
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Kerajaan Malaysia mengumumkan menangguhkan kebenaran mengerjakan ibadah umrah.
															 																					 									 							 					 						Prosedur operasi standard (SOP) baharu umrah menetapkan jemaah  mempunyai insurans kesihatan, bagi keperluan rawatan, pengasingan dan  kuarantin bagi jangkitan Covid-19 semasa di Arab Saudi dan pulang ke  Malaysia.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan SOP itu juga  memastikan jemaah lengkap pelalian dan mewajibkan dos penggalak, demi  keselamatan dan kesejahteraan mereka, menurut laporan Bernama.
Selain itu, syarikat pengendali umrah bertanggungjawab memaklumkan  kepada jemaah mengenai tanggungjawab, tatacara, liabiliti dan arahan  sepanjang perjalanan umrah jemaah.
Kementerian itu menyatakan SOP baharu perjalanan umrah itu  diperhalusi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan  Bencana Negara (NADMA) dan akan dibawa ke mesyuarat kuartet untuk  kelulusan.
Kementerian itu berkata, SOP berkenaan panduan untuk mengekang penularan Covid-19 ketika jemaah mengerjakan umrah.
Katanya, proses memuktamadkan SOP baharu mengambil kira kepentingan  semua pihak secara menyeluruh, termasuklah mengimbangi umrah dengan  pelaksanaan prosedur protokol kesihatan dan keselamatan yang lebih rapi,  demi memelihara kebajikan jemaah di Tanah Suci dan juga ketika jemaah  pulang ke tanah air.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari lalu  bersetuju untuk membenarkan semula perjalanan umrah bagi jemaah dari  Malaysia bermula 8 Februari ini, selepas kerajaan menggantung sementara  perjalanan menunaikan ibadah umrah dan menilai data penularan Covid-19  varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang ke tanah air.
Selain daripada penilaian data KKM, penggantungan sementara pada masa  ini bertujuan untuk memberi ruang kepada agensi kerajaan dan semua  pihak menilai dan menambah baik SOP umrah.
Lapan sesi libat urus telah diadakan sejak Disember tahun lalu di  Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dengan syarikat pengendali umrah  seperti Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia  (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH),  Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/sop-baharu-umrah-perlindungan-insurans.html