Sop Umrah Baharu Dimuktamad Setelah Diperhalusi Nancy
 azrulhakimie
 		 			Kuarantin jemaah antara perkara yang sedang diteliti

		  			 			PUTRAJAYA – Prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah baharu akan  dimuktamadkan setelah diperhalusi dan dipersetujui beberapa agensi  berkaitan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy  Shukri.
Beliau berkata SOP berkaitan kuarantin  jemaah umrah adalah antara perkara yang sedang diteliti dengan  mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi  Pengurusan Bencana dan Kementerian Kewangan kerana urusan kuarantin  bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.
“Pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan,  Seni dan Budaya) telah menyiapkan SOP terbabit namun kita perlukan input  seperti dari KKM,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan  Busana Tradisional Malaysia di sini hari ini.
Semalam kerajaan mengumumkan umat Islam  di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini  selepas ditangguhkan sementara pada 8 Jan lepas susulan peningkatan  varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah.
Mengenai tuntutan ganti rugi jemaah  umrah yang terkesan akibat penangguhan tersebut, Nancy berkata pihaknya  sedang mengadakan sesi perbincangan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan  mekanisme pembayaran.
Terdahulu dalam ucapannya sempena majlis  tersebut, Nancy berkata inisiatif Diplomasi Budaya Bagi Memperkasakan  Aktiviti Seni, Budaya dan Warisan Negara itu merupakan program kerjasama  dengan Kementerian Luar bertujuan mempromosikan budaya Malaysia di  semua kedutaan di luar negara.
Beliau berkata lima set busana  tradisional Malaysia akan diserahkan ke 10 pejabat kedutaan dan  pesuruhjaya tinggi Malaysia antaranya di Paris, London, Bangkok, Tokyo  dan Beijing.
“Besar harapan MOTAC agar program  diplomasi budaya ini akan meningkatkan penghayatan dan peranan duta-duta  Malaysia di luar negara bagi mempromosikan seni serta budaya negara. Ia  juga dapat mengukuhkan kolaborasi budaya dengan negara luar,” katanya. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/sop-umrah-baharu-dimuktamad-setelah.html