1 000 Jemaah Umrah Ke Tanah Suci 8 Februari Ini
 Oleh Latifah Arifin

 Gambar  hiasan. Seramai 1,000 jemaah umrah dijadual berlepas ke Tanah Suci pada  hari pertama pembukaan semula umrah, 8 Februari depan. KUALA LUMPUR: Seramai 1,000 jemaah umrah yang terkandas susulan  penutupan sementara selama sebulan Januari lalu, dijadual berlepas ke  Tanah Suci pada hari pertama pembukaan semula, 8 Februari depan.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia  (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata pihak pengendali umrah  sudah melakukan semua persiapan, walaupun sehingga kini prosedur operasi  standard (SOP) baharu belum dimuktamadkan. 
"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan SOP  masih belum dimuktamadkan, walaupun kerajaan sudah umumkan pembukaan  semula umrah 8 Februari ini. 
"MOTAC memaklumkan sedang mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat keputusan (memuktamadkan SOP) segera. 
"Kami di pihak pengendali, berpegang kepada pengumuman MOTAC mengenai  pembukaan semula umrah 8 Februari ini dan jemaah juga maklum  mengenainya. Kami agak  agak bimbang jika pada saat akhir ia  dibatalkan," katanya kepada BH, hari ini. 
Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy  Shukri, dalam satu kenyataan berkata, SOP baharu perjalanan umrah sudah  diperhalusi kementerian itu bersama KKM serta Agensi Pengurusan Bencana  Negara (NADMA) dan akan dibawa ke Mesyuarat Kuartet untuk kelulusan.
Razali berkata, pihaknya kecewa kerana sehingga kini SOP baharu masih  belum dimuktamadkan, sekali gus menyukarkan pihak agensi memulakan  operasi mengikut ketetapan baharu kerajaan. 
"Dalam keadaan sekarang dengan SOP belum ada, kami tidak ada pilihan  selain meneruskan sahaja persiapan umrah untuk 1,000 jemaah yang akan  terbang 8 Februari ini kerana semua urusan sudah disiapkan, termasuk  pengeluaran visa. 
"Saya lihat seakan tidak ada koordinasi antara KKM dan MOTAC menyebabkan perkara ini masih belum selesai.
"Malah, ketika sesi libat urus pada Rabu minggu lalu, Menteri  Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan umrah dibuka 15 Februari tetapi  kemudian MOTAC umum lebih awal," katanya.   
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/1000-jemaah-umrah-ke-tanah-suci-8.html