Smpc Jauh Lebih Mewah Masih Mahu Peruntukan
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin Biarlah mereka ugut, kerajaan jangan tunduk dengan tekanan		  			 			
BANGI – Pertikaian beberapa pihak terutama DAP dan MIC susulan tiada  peruntukan untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan  penjelasan khas mengenai peruntukan sekolah vernakular dalam Belanjawan  2021, tidak perlu dikecohkan.
Sebaliknya,  mereka patut sedar dan tahu jawapannya kenapa tidak diberi sebarang  peruntukan, sindir Kluster Bahasa, Budaya, Sejarah & Sastera Majlis  Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani.  
Beliau  berkata, sejarah telah membuktikan mereka sendiri yang menolak tawaran  untuk bersama-sama membentuk sekolah aliran kebangsaan. 
“Mereka  sanggup bersendirian menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa  pengantar pendidikan meliputi bahasa pentadbiran, urusan peperiksaan dan  sebagainya. 
“Walhal, ia  amat bercanggah dengan sistem dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang  menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. 
“Apatah lagi  semacam ugutan yang bertalu-talu oleh Dong Zong dan sekutunya agar  Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) turut diiktiraf walaupun jelas banyak  hal yang pincang,” katanya kepada Ismaweb.net.
Justeru, Kamal berkata, amat wajar sekolah persendirian Cina ini tidak diberi sebarang bantuan. 
Apatah lagi,  jika ditinjau kebanyakan SMPC di seluruh negeri infrastruktur bangunan  mereka sudah elok, bahkan mewah berbanding sekolah milik kerajaan  sendiri. 
“Jadi  amatlah wajar dan munasabah serta adil mereka tidak diberi peruntukan  seperti sekolah yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan tidak sesekali tunduk dengan sebarang tekanan pihak yang mahukan peruntukan. 
“Biarlah  mereka terus menuntut atau mengugut. Malah, tiada peruntukan khusus  undang-undang dalam Perlembagaan yang mewajibkan bantuan kepada sekolah  berkenaan. 
“Bantuan jika diberi pun sebelum ini atas ihsan, dan tidak keterlaluan rasanya jika dianggap sebagai satu kesilapan.
“Kesilapan  yang sama tidak patut diulang lagi oleh pihak kerajaan dan Kementerian  Pendidikan sebagaimana kesempatan yang pernah diambil oleh kerajaan  sebelum ini. Tahniah atas ketegasan pihak berwajib,” katanya.
Terdahulu,  Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S Ananthan berkata, peruntukan khas  untuk sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021 perlu diumumkan demi  mengelakkan sebarang kekeliruan.
Pengerusi  MIC Kedah itu berkata, beliau mendapati tiada pengumuman berhubung  peruntukan khas untuk sekolah vernakular walaupun peruntukan sebanyak  RM800 juta diumumkan untuk sekolah, kelmarin.
Selain itu, Ahli Parlimen DAP mengecam kerajaan kerana tidak memperuntukkan dana untuk SMPC dalam Belanjawan 2021. 
Dalam satu  kenyataan, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, semasa  era Pakatan Harapan, SMPC diperuntukkan RM12 juta pada tahun 2019 dan  dana tersebut meningkat kepada RM15 juta di bawah Belanjawan 2020.
Namun, Khoo  yang tidak berpuas hati dengan Belanjawan 2021 berkata, tidak satu sen  pun akan masuk kepada 60 SMPC di negara ini dan jelas bahawa PN tidak  menghormati sekolah-sekolah vernakular.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/smpc-jauh-lebih-mewah-masih-mahu.html