Peruntukan Rm5 1 Bilion Masih Boleh Beri Manfaat Menyeluruh Bung Moktar
 Oleh Izwan Abdullah 

 Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Bung Moktar Radin.- Foto fail NSTP/Malai Rosmah Tuah  KOTA  KINABALU: Walaupun kurang sedikit berbanding peruntukan tahun ini,  RM5.1 bilion yang diberikan kepada Sabah untuk pembangunan infrastruktur  dalam Belanjawan 2021 masih boleh memberi manfaat secara menyeluruh  kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia  turut menunjukkan, kerajaan Pusat masih mampu memberikan peruntukan yang  besar walaupun dalam keadaan ekonomi negara merudum disebabkan pandemik  COVID-19.
"Kita bersyukur dan berharap, daripada sejumlah peruntukan itu  Kementerian Kerja Raya negeri akan mendapat agihan lebih banyak  memandangkan ia memerlukan peruntukan yang lebih tinggi  bagi  melaksanakan pelbagai projek infrastruktur.
"Ia termasuk kerja menambah baik kualiti jalan persekutuan, jalan  raya di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), bekalan air, menaik  taraf sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan di bawah kawalan JKR,"  katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri  Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat  pada Jumaat lalu.
Menerusi belanjawan itu, Sabah menerima peruntukan pembangunan  sebanyak RM5.1 bilion berbanding RM5.2 bilion dalam belanjawan tahun  ini, namun masih tinggi berbanding Sarawak yang hanya mendapat RM4.5  bilion.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Belanjawan  2021 bersifat menyeluruh kerana banyak lagi peruntukan lain diberikan  kepada Sabah dalam Belanjawan 2021, termasuk RM3.8 bilion untuk  kesinambungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
Katanya, peruntukan itu untuk memulihkan pelaksanaan projek berkenaan  selain memulakan Pakej Serusop ke Pituru sepanjang 21 kilometer  menghubungkan Tuaran dan Kota Belud yang sebelum ini menjadi 'missing  link."
Tambahnya, JKR Sabah berharap bukan saja 11 pakej Projek Lebuh Raya  Pan Borneo yang sudah diluluskan sebelum ini diteruskan, malah baki 24  pakej lagi dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)  yang bermula tahun depan.
Secara keseluruhan, katanya Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah  mempunyai 35 pakej dengan 11 pakej sedang dalam pelaksanaan, satu pakej  ditender semula di Tawau, tiga  pakej dalam pemilihan kontraktor  pelaksana, manakala baki 20 pakej belum dimulakan.
"Kita berharap kerajaan persekutuan dapat meluluskan peruntukan  segera bagi melaksanakan baki 20 pakej lagi agar pelaksanaannya dapat  dimulakan seawal RMK-12 ini," katanya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan  berkata, peruntukan yang diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021  mencerminkan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan taraf  hidup rakyat di negeri ini.
"Penyambungan semula projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan projek  pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sudah pasti akan membawa  limpahan ekonomi  kepada akyat dan memberi keyakinan kepada pelabur  masuk ke Sabah," tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Bung Moktar turut mengulas beberapa  inisiatif yang diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 seperti  menerus dan meningkatkan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dinamakan semula  sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Katanya, keprihatinan kerajaan terhadap keadaan hidup rakyat memberi  kelegaan kepada ramai orang khususnya dalam membantu meringankan beban  mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang juga Ketua UMNO Sabah  itu turut menyambut baik peruntukan untuk pembangunan insfrastruktur di  bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Jelasnya, Sabah wajar menerima peruntukan terbesar dalam pelaksanaan  projek itu memandangkan masih banyak kawasan khususnya di luar bandar  belum mendapat liputan jalur lebar yang baik.
"Pelaksanaan projek ini penting untuk menyediakan liputan jalur lebar  berkualiti kepada rakyat kerana kemudahan internet semakin penting  khususnya untuk menyokong pertumbuhan perniagaan secara dalam talian  atau e-Commerce.
"Pada masa sama, liputan jalur lebar secara meluas juga perlu untuk  memastikan semua sekolah di negeri ini dapat memanfaatkan kemudahan  digital selain menyokong kaedah pembelajaran secara dalam talian yang  kini menjadi norma baharu dalam usaha mengekang penularan COVID-19,"  katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/peruntukan-rm51-bilion-masih-boleh-beri.html