Saya Kuat Kerana Dia Kuat Anak Hidap Hydrocephalus Ibu Lega Umar Selamat Jalani Pembedahan Ketiga
Menerima takdir Allah saat dikurniakan anak sulung yang menghidap penyakit Hydrocephalus, iaitu lebihan cecair dalam kepala memang payah. Ibu mana yang mampu menerimanya. Saat hati teruja menanti anak pertama tetapi bertukar sayu bila mana anak disahkan sakit, tidak sempurna seperti bayi yang lain. Namun semua ini ketentuan Allah yang Maha Esa.
Bagi Nur Hidayah Zolkifli, 33 tahun dan suaminya, Mohd Firdaus Hazizan, 32 tahun, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Semua ini diterima dalam senyuman manis tanda syukur bila anak sulung mereka, Umar Haziq yang kini berusia 6 tahun disahkan menghidap hydrocephalus.
“ Syukur alhamdulillah, selepas 10 hari berada di hospital akhirnya Umar dibenarkan keluar. Malah Umar makin sihat dan mampu makan dan minum seperti biasa. Selepas jalani pembedahan dia bangun dan bertanyakan adiknya, Zahra Auliya yang kini berusia 4 bulan.
Hidap Hydrocephalus Selepas Seminggu Kelahiran
“Jujurnya ketika itu saya dan suami langsung tidak bersedia menerima semua ini. Saya dan suami memang teruja nak sambut kelahiran anak pertama kami dan langsung tidak menjangkakan semua ini. Tambah pula saya langsung tidak alami apa-apa masalah ketika hamil, jadi saya tak jangkakan semua ini. Setiap hari saya menangis dan lama kelamaan barulah saya makin pulih.
Umar dikesan mengalami masalah Hydrocephalus selepas seminggu kelahirannya. Bila di bawa balik ke rumah, jururawat yang datang buat lawatan beritahu tubuh anak saya makin kecil dan kepalanya membesar. Jadi dia minta kami rujuk kepada pihak hospital.
Setelah melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan anak saya menghidap Hydrocephalus dan terpaksa di rujuk ke Hospital Alor Setar. Doktor beritahu anak saya tidak mempunyai saluran dari kepala ke bahagian tubuh lain dan inilah penyebab cecair dalam kepala tidak dapat dikeluarkan. Dan ini jugalah penyebab kepalanya menjadi semakin membesar.
Saya dan suami redha dengan ketentuan ini. Hampir sebulan juga Umar ditahan di wad kerana ada jangkitan kuman dalam otaknya. Pelbagai proses dan rawatan yang dilaluinya termasuklah pembedahan memasukkan alat VP Shunt bagi membolehkan cecair dari kepala dikeluarkan ke bahagian tubuh yang lain.
Doktor pasang alat ini di bahagian belakang telinga dalam tubuhnya membawa ke bahagian perut. Namun malangnya bila Umar dibawa balik ke rumah, dia alami muntah-muntah yang teruk, sakit dan menangis tanpa henti.
Rupanya VP Shunt yang dipasang tidak serasi dengan tubuhnya. Kali ini Umar terlantar lama di hospital. Tiga bulan saya dan suami berkampung di hospital dan saya nekad untuk berhenti kerja ketika itu, demi memberi tumpuan pada Umar,” katanya.
Cahaya Baru Umar
Terlantar lama di hospital, Umar dipasangkan dengan alat bantuan, Ommaya Shunt yang membawa air keluar daripada kepalanya. Cahaya baru buat Umar bila mana keadaannya makin stabil.
“Umar seterusnya menjalani pembedahan semula untuk memasangkan VP Shunt buat kali kedua. Kali ini alat ini serasi dengan dirinya dan alhamdulillah akhirnya Umar mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain walaupun dia tidak boleh berjalan dan hanya berbaring serta kadangkala duduk sambil menonton televisyen di rumahnya. Walaupun tidak boleh berjalan tapi Umar anak yang petah berkata-kata,” ceritanya lagi.
Rawat Lebih Awal
“Bagi saya, mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak-anak syurga ini, ambillah rawatan seawal mungkin. Insyaallah kalau kita rawat lebih awal kita boleh mencegah dari jadi lebih teruk.
Kalau sayangkan anak kita buatlah sesuatu untuk dia, supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Sekurang kurangnya kita berusaha dan berikhtiar untuk kesembuhannya. Semua penyakit kesembuhannya hanya dari Allah. Kita merancang tapi Allah yang menentukan. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik.
Kalau ditanya dari mana datangnya kekuatan saya , pastinya kekuatan yang saya ada kini datangnya dari Umar. Kalau dia kuat menghadapi ujian ini, kenapa tidak kita.
Anak-anak istimewa ini adalah anugerah Allah buat kita, jadi peliharalah ia sebaik- baiknya dan ingatlah anak-anak istimewa jaminan syurga buatnya. Dan mungkin juga dia mampu membawa kita juga ke syurga Allah. Insyaallah…amin,” katanya penuh redha sambil mengharapkan kesihatan berpanjangan buat amanah Allah yang satu ini.
The post “Saya Kuat Kerana Dia Kuat”, Anak Hidap Hydrocephalus, Ibu Lega Umar Selamat Jalani Pembedahan Ketiga! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/saya-kuat-kerana-dia-kuat-anak-hidap-hydrocephalus-ibu-lega-umar-selamat-jalani-pembedahan-ketiga/