Rm18 000 Untuk Guru Inovatif Tangani Pembelajaran Semasa Pandemik
MALAYSIAKINI 
Lima  guru memenangi hadiah - dengan jumlah keseluruhan RM18,000 - untuk  membantu mereka melaksanakan inovasi bagi menangani 'kehilangan' waktu  pembelajaran semasa Covid-19.
Seramai 15 guru menyertai  pertandingan Cikgu Kickstart yang julung kali diadakan itu. Semuanya  mengemukakan idea untuk menambah baik pelaksanaan pembelajaran semasa.
Malam  tadi Mohammad Aliff Othman yang berkhidmat di Maktab Rendah Sains Mara  (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens di Sandakan, Sabah, diumum sebagai  pemenang dan menerima geran RM6,000 untuk mengembangkan ideanya, Kampung Code.
Melalui  inisiatif berkenaan pelajar ditunjukkan bagaimana menggunakan bahan  daripada kertas untuk membuat kod tanpa perlukan bantuan komputer.
Ia  menyasarkan sekolah di kawasan luar bandar serta komuniti kurang  berkemampuan yang menghadapi kekangan kepada akses internet serta  peranti digital.
Sejak 2019, Mohammad Aliff giat mengendalikan  bengkel untuk lebih 1,000 pelajar dari 14 sekolah di sekitar Sandakan,  Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

Mengenai  hadiah yang diterimanya itu, Mohammad Aliff berkata, dia bercadang  untuk menggunakannya menambah baik bahan mengajar, menghasilkan video  panduan, menyesuaikan kit Kampung Code untuk pelajar kelainan upaya serta menjangkau lebih banyak pelajar.
Pemenang  kedua pula ialah trio guru dari Perak, Mohd Razif dari Kolej Melayu  Kuala Kangsar, Mohd Izham (SK Trolak Utara) dan Mohd Azhar (SMK Simpang  Beluru).

Mereka  mendapat RM6,000 untuk membangunkan laman sesawang Educogator yang  menyediakan pembelajaran dalam talian dan menggabungkan kandungan  pendidikan dari blog, laman sesawang, podcast, YouTube dan media sosial  dalam satu platform.
Untuk rekod Educogator membawa maksud kandungan “educational content and collaboration aggregator” (kandungan pendidikan dan kolaborasi pengagregat).
Dengan  dana yang diterima itu mereka merancang untuk menambah baik laman  sesawang, membabitkan lebih ramai pendidik bagi mencipta kandungan  pendidikan dan menghasilkan aplikasi sesuai untuk telefon genggam.

Sementara itu guru SK Tebrau Bakar Satu di Johor, Ishwaar Singh, diumum sebegai pemenang ketiga dengan program Convertible English Teacher.
Melalui  inisiatif itu Ishwaar menunjukkan jalan kepada ibu bapa agar menjadi  pengajar anak masing-masing dengan kaedah fonik bahasa Inggeris.
Kata  Ishwaar, kerana ancaman Covid-19 ramai ibu bapa terpaksa menjadi guru  secara tiba-tiba apabila sekolah ditutup bagi mengelak penularan wabak  tersebut.
Dengan program diilhamkannya itu guru-guru  boleh mengajar satu set pembelajaran yang menyeronokkan kepada ibu bapa  agar mereka boleh membantu anak masing-masing mengukuhkan penguasaan  bahasa Inggeris di rumah.
Katanya ia bukan saja dapat meningkatkan  tahap penguasaan pelajar, malah ia boleh membina hubungan lebih baik di  antara guru dan ibu bapa, serta ibu bapa dan anak-anak mereka.

Dengan  dana RM6,000 yang diterima itu Ishwaar bercadang untuk memanfaatkannya  dengan membeli satu unit pencetak, komputer tablet, buku, set mainan  fonik dan bahan bacaan bagi melaksanakaan inisitif tersebut.
Turut  dihargai malam tadi ialah 12 finalis lain yang menerima RM2,000 setiap  seorang sebagai bantuan mereka melaksanakan projek masing-masing.
Cikgu  Kickstart dianjurkan Edufication, iaitu sebuah NGO diasaskan Samuel  Isaiah, seorang guru yang menjadi seorang daripada 10 pendidik terbaik  dunia tahun lalu hasil dedikasinya ke atas pelajar Orang Asli. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/rm18000-untuk-guru-inovatif-tangani.html