Ramai Melayu Tak Senang Dengan Ph Peluang Di Rantau 50 50
Hidir ReduanDiterbitkan Hari ini 6:43 petang
PRK RANTAU | Selepas dua kekalahan berturut-turut dalam pilihan raya kecil (PRK) di Cameron Highlands dan Semenyih, PH sekali lagi akan berdepan jentera kempen Umno dan PAS, kali ini bagi merebut kerusi DUN Rantau, yang akan ditentukan pada 13 April ini.
Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu, Dr Rais Hussin berkata, PH mempunyai 50 peratus peluang untuk menang di kubu kuat Umno yang disandang oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.
Rais berkata, pengundi Melayu yang mewakili 53 peratus pengundi Rantau, kurang senang dengan pentadbiran kerajaan PH.
"Rantau akan sangat mencabar (buat PH)...
"Ramai orang Melayu tidak senang dengan PH kerana rasa terancam. Ada 50-50 peluang (untuk PH menang kerusi ini)," katanya.
Rais berkata hubungan rasmi Umno dan PAS yang merupakan antara dua parti Melayu terbesar di negara ini, akan mencerahkan peluang Mohamad untuk menang.
Bercakap kepada pemberita selepas forum berkaitan kewangan strategik Malaysia di Petaling Jaya hari ini, Rais berkata jangkaannya selari dengan kekalahan PH dalam dua PRK baru-baru ini.
"Nasihat saya kepada PH adalah untuk menubuhkan petugas khas untuk memahami hubungan Umno-PAS dan memahami kesannya terhadap Malaysia kerana ini akan membantu (berdepan PRK Rantau)," katanya.
Rais juga menggesa PH mengambil langkah memenuhi janji manifesto pilihan raya yang dibuat pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, selain menyampaikan kepada rakyat janji-janji yang sudah dipenuhi.
"Kerana akhirnya, kita tidak boleh mengabaikan manifesto. Sudah tentu mereka (pentadbiran sebelum ini didakwa) merompak berbilion dolar, tapi rakyat juga berharap agar manifesto ini dipenuhi.
"Kita perlu tunaikan manifesto. Jangan cari alasan untuk tidak tunaikan, tapi cari sebab dan cara untuk laksanakannya. Hanya setelah itu kemerosotan kepercayaan rakyat terhadap PH dapat dipulihkan," katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/03/ramai-melayu-tak-senang-dengan-ph.html