Rakyat Akan Hukum Ph Jika Asyik Jual Aset Negara Kata Wakil Rakyat Pasir Gudang
Wartawan MalaysiaGazette                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Hassan Abdul Karim
                      KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan diminta tidak mengambil jalan mudah untuk membayar hutang negara dengan menjual aset negara.
 Malah kerajaan digesa mencari jalan lain untuk menyelesaikan masalah tersebut.
 Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, rakyat akan  menghukum Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang  jika kerajaan sekarang menjual aset Khazanah Nasional Bhd. untuk  membayar hutang negara.
 “Pakatan Harapan mengkritik bekas Perdana Menteri Najib dan Barisan  Nasional kerana menyebabkan negara memikul beban hutang yang besar  akibat rasuah dan salahurus negara.
 “Najib dan BN telah dihukum oleh rakyat kerana itu di dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu.
 “Jika Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir sekarang  menjual harta-harta Khazanah Nasional untuk membayar hutang sehingga  negara kehilangan harta, percayalah rakyat yang melihat dan membuka mata  akan menghukum PH dalam Pilihanraya Umum akan datang,” katanya dalam  kenyataan.
 Bekas Ketua PKR Johor itu juga mempersoalkan adakah anggota Kabinet  yang diketuai perdana menteri kehabisan idea sehingga terpaksa mengambil  jalan menjual harta negara.
 “Jadi apa yang Kerajaan Persekutuan perlu buat sekarang untuk mengelakkan lebih banyak harta Khazanah daripada dijual?” katanya.
 Berikutan itu, Hassan mencadangkan Perdana Menteri dan Kabinet  membawa perkara tersebut ke Parlimen yang akan bersidang pada 7 Oktober  ini.
 Katanya, ini akan memberi peluang kepada Ahli-ahli Parlimen dari  kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang memberikan idea dan buah  fikiran untuk membantu kerajaan menangani isu pembayaran hutang negara  yang melebihi RM1 trilion.
 Hassan mendakwa peningkatan hutang negara itu angkara salah urus  kewangan dan ekonomi serta rasuah dan salah guna kuasa kerajaan Barisan  Nasional (BN).
 Untuk sementara waktu, beliau meminta kerajaan menghentikan dahulu  sebarang langkah untuk menjual lagi harta-harta Khazanah Nasional atau  lain-lain syarikat milik kerajaan. – MalaysiaGazette     
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/09/rakyat-akan-hukum-ph-jika-asyik-jual.html