Pulau Pinang Negeri Dengan Tarif Air Domestik Paling Rendah Di Malaysia
Semenjak 21 tahun terakhir, saya pernah menetap di Selangor, paling lama di Negeri Sembilan (NS) dan kini di Pulau Pinang (PP)
Cerita tentang bil air, semasa menetap di Selangor dulu saya pernah menikmati bil air percuma bagi penggunaan 20 m³ yang pertama. Ketika itu Selangor berada di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Disebabkan penggunaan air kami tidak melebihi 20 m³ setiap bulan, maka tiada sebarang bayaran dikenakan. Jadi satu motivasi jugaklah supaya berjimat pakai air, bimbang melebihi 20 m³ nanti tak layak dapat air percuma pulak 😀
BIL AIR DUA BULAN CUMA RM5!Sebelum berhijrah ke PP, saya tak tahu atau tak perasan pun fakta bahawa Pulau Pinang merupakan negeri dengan tarif air domestik paling rendah di Malaysia.
Bila dah menetap di sini, saya dan Encik Suami rasa hairan tengok bil air sikit sangat. Bil air diterima setiap dua bulan sekali dengan caj cuma RM5! Seingat saya, cuma ada beberapa kali saja bil lebih RM5 iaitu tambahan beberapa puluh sen.
Ini bil air terkini rumah PP. Penggunaan 21 m³ untuk dua bulan, kalau bahagi dua bulan cuma 10.5 m³ sebulan dengan kadar RM0.22 bagi 20 m³ pertama.
Jadinya 10.5 m³ x RM0.22 = RM2.31 sebulan. Disebabkan caj minimum bil air adalah sebanyak RM2.50 sebulan, maka kami perlu bayar RM5 untuk kiraan dua bulan tersebut
Cukup murah dan rendah sungguh caj minimum RM2.50 sebulan, berbanding rumah NS (rumah kami yang kini jadi tempat persinggahan) caj minimum dikenakan sebanyak RM5 sebulan.
SURCAJ PENJIMATAN AIRUntuk mengelakkan pembaziran air kerana air PP murah, maka Surcaj Penjimatan Air dikenakan dengan kadar RM0.48 bagi penggunaan air melebihi 35 m³ sebulan. Menurut saya, ini satu langkah yang bagus untuk mendidik pengguna menggunakan sumber air secara berhemah
Tarif air PP. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas
Manakala negeri kampung halaman saya dan Encik Suami pula, iaitu Johor merupakan negeri dengan tarif air paling tinggi di Malaysia dengan kadar RM0.80 bagi 20 m³ pertama. Cukup jauh berbeza!
Berapa tarif air domestik bagi bagi 20 m³ pertama di negeri tempat tinggal kalian
Jadilah pengguna yang bijak, ambil tahu tarif air kita dan gunakan air secara berhemah supaya tak perlu bayar kadar lebih tinggi dan mengelakkan pembaziran sumber air
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/10/pulau-pinang-negeri-dengan-tarif-air.html