Ph Tak Lagi Kuasai Kelebihan Media Sosial Kata Syahredzan
MALAYSIAKINI 
Pembangkang, terutama Umno, kini berjaya memanfaatkan media  sosial untuk mengambarkan bahawa kerajaan PH sedang didominiasi orang  Cina, kata setiausaha politik ahli parlimen Tanjung Puteri, Syahredzan  Johan
Menurut Syahredzan, apabila BN gagal mendapat mandat untuk  menjadi kerajaan pada 2018, gabungan itu memerlukan naratif tertentu -  sebagai pembangkang - bagi menyerang PH yang menjadi kerajaan.
"Dengan  ramai pemimpin yang kini berdepan dengan banyak kes rasuah, mereka  perlukan suatu mesej yang mudah - tetapi berkesan - untuk menyerang  kerajaan PH.
"Justeru, dengan PAS sebagai rakan baru, mereka bergantung kepada mesej (kononnya) kerajaan ini didominasi atau dikawal Cina.
"Sudah tentu apa yang mereka katakan itu tidak benar sama sekali," katanya seperti dipetik Malay Mail Online hari ini.
BN  gagal untuk menjadi kerajaan buat kali pertama sejak merdeka dengan  kemenangan PH menguasai kerusi di Dewan Rakyat. Sejak itu sebahagian  besar parti bertindak meninggalkan gabungan tersebut.
Dalam  keadaan menjadi pembangkang di peringkat pusat buat kali pertama, BN -  khususnya Umno - menjalin kerjasama dengan PAS melalui Muafakat  Nasional. MCA dan MIC pula berhubung dengan parti yang menjadi kerajaan  di Kelantan serta Terengganu itu secara tidak langsung.
Antara  isu yang banyak dimainkan pembangkang untuk menyerang PH ialah gabungan  tersebut dikawal oleh "parti cauvinis Cina" merujuk kepada DAP. Hal itu  bagaimanapun dinafikan PH
BN semakin tingkatkan
Selain DAP, PH juga dianggotai PKR, Amanah dan Bersatu.
Syahredzan  berkata, ketika ini kerajaan PH tidak memiliki kelebihan dari segi  penguasaan media sosial dan kalah kepada pembangkang.
"Kita tidak  lagi dapat menyanggah ini kerana ia sudah dibina begitu lama. Kita perlu  mengakui bahawa sebagai suatu pakatan, kita sudah kalah dari segi  kesepaduan dan keberkesanan komunikasi media sosial.
"Pembangkang mengambil kesempatan daripada kebebasan yang diberikan PH kepada rakyat untuk mereka menyebarkan propaganda.
"Kita sudah kehilangan kelebihan media sosial yang sebelum ini kita miliki," katanya.
Justeru,  peguam itu berkata, PH mesti bekerjasama sebagai suatu gabungan untuk  menyanggah naratif pembangkang melalui penggunaan media sosial.
Katanya,  pembangkang berjaya mewujudkan persepsi dalam kalangan orang Melayu  kononnya DAP ialah sebuah parti dianggotai cauvinis Cina.
Sementara  itu Adun Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari, berkata naratif sebegitu  yang diulang-ulang akhirnya dipercayai orang ramai.
Katanya media sosial kini dipenuni dengan berita palsu serta serangan laskar siber pembangkang.
"BN menggunakan cara ini sebelum PRU14 lagi, cuma sekarang mereka meningkatkannya lagi.
"Jumlah berita palsu yang ditularkan saban ahari agak mengecewakan. Kebenaran selalu ditenggelamkan oleh berita palsu," katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/ph-tak-lagi-kuasai-kelebihan-media.html